Salam sejahtera dan selamat pagi
Terima kasih pengacara majlis
Guru dan murid yang dikasihi sekalian
Begitulah perjalanan masa. Setiap detik berlalu meninggalkan kenangan dan sejarah. Bersyukur ke Hadrat Ilahi justeru kita masih diberi kesempatan untuk terus melangkah sambil meniti kemaraan yang penuh cabaran dan peluang selagi terdaya. Tahun 2014 telah hampir dua minggu melabuhkan tirainya. Maka, tahun 2015 yang menjelma datang bersama seribu harapan, impian dan kecemerlangan.
Guru dan murid yang dimuliakan,
Kita semua maklum bahawa sesi persekolahan tahun ini telah dianjak seminggu ke hadapan dari tarikh asal. Hari ini, Isnin 12 Januari 2015 bersamaan 21 Rabiul Awwal 1436 Hijriyyah mencatat rekod baharu permulaan sesi persekolahan. Musibah banjir terburuk dalam sejarah telah menguji kekuatan jasmani, emosi, rohani dan intelek semua pihak terutamanya mangsa banjir, pasukan bantuan dan menyelamat serta pemimpin dan masyarakat seluruhnya.
Alhamdulillah, mangsa banjir telah membuktikan betapa mereka berusaha sehabis daya untuk bertahan dalam keadaan yang sangat cemas dan genting. Sebagai masyarakat yang empati, marilah kita menghulurkan pertolongan kepada mereka dalam lingkungan keupayaan masing-masing. Mudah-mudahan kesan trauma yang dialami dan kepayahan bagi menampung keperluan hidup yang penting dapat diringankan.
Sepanjang tahun 2014 yang berlalu juga mencatat episod duka dalam industri penerbangan negara. Ujian yang datang bertimpa-timpa itu diharap tidak bakal melemahkan daya saing negara di persada antarabangsa, bahkan sebaliknya. Kreativiti dalam mengurus krisis dan isu besar sudah pasti menjadi kayu ukur atau penanda aras kritikal ke arah pencapaian status sebuah negara maju berpencapaian tinggi acuan sendiri dalam tempoh lima tahun.
Tuan puan dan anak didik yang dihormati,
Tidak kira peristiwa yang terjadi atau persekitaran baharu yang tiba, kehidupan dan perjuangan hendaklah diteruskan jua. Pembelajaran di sekolah ini bergerak menuju pincak kecemerlangan. Selamat datang kepada murid tingkatan satu sekalian. Gunakanlah segala pengalaman di sekolah rendah dahulu untuk melanjutkan harapan dan impian yang hendak digapai. Gantungkan cita-cita setinggi bintang, tetapi jangan lupakan rumput di bumi.
...bersambung
...
...
...
...
...
...
...
...
...
...
...
No comments:
Post a Comment