II
Catatan setelah kembali ke Malaysia
Aktiviti pelancongan dan perjalanan akan dikira sebagai amal ibadah jika niatnya tulus semata-mata untuk menuju Reda-Nya. PB menganggap kunjungan sebentar ke Jakarta sebagi suatu proses pembelajaran, di samping melihat-lihat kelainan persekitaran dan ragam di tempat orang. Pengalaman peribadi tentulah tidak sama dengan mendengar cerita orang lain sama ada menerusi pembacaan atau perbualan tidak formal.
Jakarta ialah sebuah kota besar yang dihuni oleh kira-kira 13 juta jiwa. Ibu negara Republik Indonesia itu berfungsi sebagai nadi kegiatan kecendekiawanan, pentadbiran, perniagaan, pelancongan dan perindustrian. Cara berurusan, pergerakan dan wajah-wajah penghuninya menampakkan kepelbagaian berdasarkan akses peluang ekonomi dan pencapaian sosial masing-masing.
Pada umumnya, masyarakat Jakarta sibuk dengan perjuangan mencari rezeki demi kelangsungan hidup. PB menginap di Hotel Bintang berhampiran Menteng, Jakarta Pusat, yang dilingkungi kediaman orang-orang berada dan orang-orang berkuasa seperti Presiden Indonesia, pak-pak menteri, tokoh perniagaan dan selebriti. Bahkan, Barrack Hussien Obama, Presiden Amerika Syarikat pernah menetap dan bersekolah di Menteng kerana mengikut ibunya yang berkahwin kali kedua dengan orang tempatan.
Namun, di kawasan sekeliling Menteng juga sendat dengan petempatan setinggan yang tidak dapat dipastikan status sosioekonomi para penghuninya, justeru ada juga yang memiliki kenderaan mewah. Golongan tunawisma (tidak berumah) juga bergelandangan di jalanan. Masyarakat Jakarta pada amnya sangat gigih bekerja termasuk menjadi maskot jalanan (freelance mascot), mengusung alat muzik ke sana ke mari atau menjual cenderamata dan koran (surat khabar) di tengah-tengah arus kenderaan yang bersesak-sesak memenuhi pusat bandar raya.
Walaupun kesesakan jalan raya kota Jakarta begitu luar biasa, pemandu kenderaannya sangat terpuji kerana tidak berkira-kira untuk memberi laluan, bahkan sangat menghormati kenderaan lebih kecil dan pejalan kaki. Untuk melintas, pejalan kaki hanya perlu menunjukkan isyarat "minta nyawa", iaitu dengan mendepangkan sebelah tangan. Semua kenderaan, besar dan kecil, akan memperlahankan kelajuan atau terus pegun sehinggalah si pejalan kaki tadi selamat menyeberang.
Dikotomi begitu ketara antara penjual amatur jalanan dengan jurujual di gedung-gedung berhawa dingin. Penjual jalanan bersifat lebih agresif dalam mendesak supaya pelancong membeli barangan jualan mereka yang diletakkan harga permulaan sekurang-kurangnya tiga kali ganda lebih tinggi hinggalah pembeli tewas dalam tawar-menawar mereka. Jurujual di gedung niaga hanya membiarkan sahaja pengunjung toko mereka membelek-belek barangan hinggalah diminta untuk membantu.
Premis perniagaan mulai ditutup seawal pukul 5 petang. Tiada warung makan atau restoran yang dibuka 24 jam, kecuali sangat kecil bilangannya yang beroperasi di kawasan perumahan mewah. Masalah kegendutan atau melepak tidak begitu ketara di kota Jakarta.
Dianggarkan sejumlah 20 peratus penduduk kota Jakarta tergolong dalam status berpendapatan tinggi, memandu kenderaan mewah sera berurus niaga di gedung eksklusif. Jika dasar agihan kemakmuran negara diurus secara adil dan telus, nescaya sumbangan kumpulan ini akan memajukan masyarakat Jakarta secara keseluruhan. Sebahagian besar golongan senang di Jakarta bersikap sangat pemurah, ramah dan tidak meninggi diri.
Sebagai lubuk ilmu dan rezeki, Jakarta akan terus menjadi destinasi masyarakat Indonesia yang bercita-cita besar. Sekuat manapun usaha bagi menahan aliran pertumbuhan penduduk Jakarta, yang berasal daripada nama Pengeran Jayakarta, daya tarikan magnet sakti Jakarta tetap berkuasa hebat. Akses pendidikan mesti diperkasa supaya proses transmigrasi antara wilayah di semua 17,000 pulau di negara besar Indonesia diterima baik dan pusat-pusat pertumbuhan ekonomi yang baharu dapat muncul setanding Jakarta...
No comments:
Post a Comment