Era gemilang atau zaman keemasan umat Islam yang lalu berpunca daripada kedua-dua sumber hikmah. Sudah tentulah pembelajaran al-Quran perlu disokong oleh al-Hadith, ijmak, qiyas, masalih mursalah, istihsan, istishab, 'uruf dan sesenarai panjang kesahihan ilmu. Walaupun, terdapat begitu banyak prinsip umum kehidupan yang digariskan oleh al-Quran tanpa perlukan pengajian yang khusus.
Sebagai contoh, kejujuran dalam urus niaga. Surah al-Mutaffifin (83: 1-2) dimulai dengan amaran kepada kaum peniaga supaya sentiasa mencukupkan sukatan dan timbangan. Surah Ali Imran (3:191-192) pula menggesa manusia supaya sentiasa memerhatikan penciptaan langit dan bumi, dan silih berganti siang dan malam, lalu mengingati Pencipta dalam sebarang keadaan (berdiri, duduk, baring). Manusia yang sedemikian bakal dibukakan pintu (hikmah), iaitu tergolong sebagai uli'l-albab, orang-orang yang bijaksana.
Generasi awal Madinah, as-sabiquna'l-awwalun yang disebut-sebut sebagai bayangan masyarakat syurga berjaya menggunakan hikmah hingga berupaya memimpin dua per tiga dunia. Hanya apabila generasi terkemudian jauh daripada hikmah, kekuatan yang mereka miliki mulai goyah. Pesona duniawi, tipu daya syaitan laknatullah, dan tunduk kepada hawa nafsu menjadikan umat alpa, cuai, leka, lalai dan lesu.
Setelah sekian lama empayar terakhir Uthmaniah Turki berjaya dijatuhkan oleh musuh pada tahun 1924, kini seruan kecemerlangan umat kembali bergema di seluruh penjuru dunia. Umat perlu kembali kepada sumber hikmah yang menjadi kekuatan mereka selama ini. Mereka tidak boleh diperdaya dengan melayan al-Quran sebagai semata-mata rutin bacaan, atau hanya dialunkan untuk orang-orang yang sedang bertarung dengan sakaratul maut, atau dibacakan di pusara.
Hikmah al-Kitab perlu dikembalikan kepada orang-orang yang hidup, orang yang sihat dan orang yang mukallaf. Keseluruhan pembelajaran al-Quran hendaklah diinstitusikan dalam kehidupan masyarakat yang beraqidah, bersyariat dan berakhlak. Insya-Allah, umat akan segera dihormati...
(sedutan mimbar Jumaat)
No comments:
Post a Comment