Saturday, March 26, 2011
MENGENALI KEPERIBADIAN DIRI (DEALING WITH SANGUINE PERSONALITY)
Belakangan ini, kajian keperibadian makin mendapat perhatian ibu bapa, guru dan majikan. Mereka berminat untuk mengenali tingkah laku anak, murid dan pekerja. Walaupun bijak pandai telah lama membuat klasifikasi keperibadian manusia, namun idea tentangnya masih dikembangkan, diulang-ulang, bahkan dikitar semula.
Cikgu-cikgu terlatih pasti arif akan aplikasi kecerdasan pelbagai yang dirumuskan oleh Howard Gardener. Sarjana psikologi dan pengurusan pula telah lama membahaskan penyesuaian tingkah laku (behaviour modification) dalam organisasi yang menampung kepelbagaian latar belakang. Kepentingan mengenali keperibadian sudah dianggap sebagai asas kelangsungan sesebuah organisasi.
Antara klasifikasi yang cuba dipopularkan semula ialah empat jenis keperibadian yang disebut sebagai sanguin (sanguine), kolerik (choleric), melankolik (melancholic) dan felgmatik (phelgmatic). Seseorang itu mungkin memiliki keperibadian tunggal, atau gabungan dua hingga tiga jenis keperibadian yang dominan dalam diri mereka. Ibu bapa, guru dan majikan disarankan supaya peka terhadap keperibadian dominan setiap subordinat masing-masing supaya kesampaian komunikasi berlaku secara berkesan.
Keperibadian kolerik lebih menjurus kepada kepimpinan, iaitu kebolehan mempengaruhi orang lain bagi mencapai matlamat organisasi. Keperibadian melankolik pula lebih mengutamakan kesempurnaan, kreativiti dan sikap berdikari. Seterusnya, keperibadian felgmatik berasa selamat dengan keadaan stabil, konsistensi, rasionaliti dan ketenangan.
Dalam sebuah masyarakat dan organisasi yang normal, kebiasaannya keperibadian sanguin lebih ketara. Secara amnya, sanguin paling mudah dikendalikan. Mereka menampilkan tingkah laku yang berani, berterus terang, ceria, yakin diri, mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baharu dan sukakan perincian. Sanguin bersifat ekstrovert (banyak bercakap), memerhati dan mendengar kerana naluri ingin tahu yang tinggi.
Keperibadian sanguin juga dapat dikenal pasti menerusi tingkah laku mereka yang suka memuji, sentiasa cuba mengambil hati dan tidak terlalu berkira dalam pergaulan. Sanguin sangat mengalu-alukan perubahan, serta mudah beralih angin. Walaupun kadangkala sanguin melayan emosi, tetapi secepat mana emosi mereka datang, secepat itu pula emosi pergi.
Sisi lemah sanguin ialah mereka mudah memberi jaminan lisan, tetapi lambat untuk melaksanakannya. Sanguin juga cepat makan puji (diperdaya), kurang setia (mudah melupakan sesuatu), membuat keputusan mengikut perasaan dan tidak peka terhadap halangan. Sanguin juga cepat bosan dengan sesuatu keadaan dalam masa yang singkat, serta tidak betah duduk diam dalam tempoh yang lama.
Dalam konteks bilik darjah, murid sanguin paling mudah dikendalikan kerana mereka sentiasa memberi perhatian terhadap aktiviti dan komunikasi yang berlaku sepanjang sesi pembelajaran. Mereka tidak menolak tugas, tetapi harus sentiasa diawasi dan diingatkan kerana komitmen mereka sukar untuk diambil serius. Guru sebenarnya bertuah dikelilingi murid sanguin, tetapi harus bersabar dalam proses memberi bimbingan supaya hanya pengaruh yang baik-baik sahaja menghiasi tingkah laku mereka, selain tidak menjejaskan kelompok tingkah laku dan keperibadian rakan mereka yang lain...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment