SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, March 4, 2011

PROGRAM MURID HARAPAN LULUS @ HALUS (THE IMPLIMENTATION OF MINIMUM ADEQUATE SYLLABUS, MAS)

Sebagai organisasi yang berperanan memupuk pembelajaran, sekolah perlu memastikan bahawa semua murid menimba pengalaman pembelajaran yang mencukupi bagi menghadapi cabaran zaman dan persekitaran yang dilalui. Maka, segala perancangan yang dilakukan oleh pihak sekolah hendaklah menjurus kepada berlakunya proses pembelajaran. Setiap hari murid akan membawa pulang pengalaman pembelajaran yang baharu, dan bukannya pulang dengan tangan kosong.

Kaedah klasik bagi mengukur bahawa proses pembelajaran telah berlaku ialah menerusi penilaian dan pentaksiran sama ada secara formatif, mahupun sumatif. Penilaian formatif ialah proses mendapatkan maklum balas yang berterusan dalam persekitaran bilik darjah, manakala penilaian sumatif dijalankan secara topikal, penggalan dan selesai segala sukatan pelajaran. Kedua-dua bentuk penilaian itu menjadi petunjuk tentang pencapaian pembelajaran dan kesesuaian reka bentuk perancangan kurikulum sekolah.

Dalam konteks Malaysia, semua murid juga perlu disediakan untuk berhadapan dengan peperiksaan awam secara berpusat. Sistem peperiksaan daripada UPSR, PMR, SPM dan STPM masih lagi mendapat kepercayaan tertinggi ibu  bapa, masyarakat, bakal majikan dan institusi pengajian pascamenengah. Buku-buku berformat peperiksaan meraih perhatian yang lebih besar daripada buku teks.

Kategori murid berdasarkan pencapaian akademik dibuat pada pelbagai peringkat bermula dengan take off value, TOV, sasaran jangkaan (expected target result, ETR) dan pencapaian sasaran sebenar (actual target result, ATR). Dua kelompok pencapaian yang paling diperhatikan ialah murid berpencapaian cemerlang, dan murid berpencapaian rendah yang dilunakkan dengan panggilan harapan lulus (halus). Pelbagai bentuk program dikhususkan kepada dua kelompok berpencapaian ekstrem dalam kalangan murid sekolah itu.

UPSR dan PMR menetapkan wajib lulus bagi semua mata pelajaran yang diambil sebagai syarat persijilan. Hal itu bermakna bahawa pihak sekolah tidak mempunyai pilihan selain menentukan bahawa semua sekali calon sekolah melepasi tahap minimum gred lulus tanpa kecuali. Kedudukan, serta penarafan sekolah dalam peperiksaan awam sangat bergantung kepada peratus calon yang lulus, sebelum gred purata sekolah (GPS) diambil kira.

Syarat persijilan SPM dan STPM pula begitu berbeza, iaitu hanya memerlukan kelulusan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Pengajian Am bagi setiap satunya. Maka, kumpulan calon Halus akan difokuskan terhadap mata pelajaran yang disebutkan. Setelah itu baharulah strategi lain diaturkan bagi meningkatkan pencapaian mata pelajaran yang lain.

Rancangan Sifar E (UPSR, PMR), Sifar G (SPM) dan Sifar F (STPM) perlu direka bentuk dan diperhalusi dengan mengambil kira aras kognitif, psikomotor dan afektif murid Halus. Sebagai kelompok bermasalah pembelajaran, pendekatan bimbingan dan motivasi yang diperlukan akan berbeza dengan kelompok murid yang lain. Tahap paling awal yang perlu dilaksanakan ialah penguasaan minimum sukatan pelajaran bagi melepasi gred lulus dalam peperiksaan.

Sebagai contoh, untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, murid Halus dilatih dengan penulisan karangan dalam bentuk yang paling asas, bermula daripada perenggan pengenalan yang menjurus kepada penyataan semula tugasan soalan. Teknik asas mengorganisasi isi karangan juga boleh didedahkan secara paling mudah, misalnya secara analogi atau anekdot. Perenggan penutup yang seragam juga boleh "dihafaz" oleh murid Halus.

Untuk kertas 2 SPM, tumpuan latih tubi boleh diberikan kepada penulisan rumusan bahagian pengenalan, isi tersurat dan kesimpulan. Bahagian pemahaman pula ditumpukan kepada soalan aras petikan, iaitu ambilan jawapan isi daripada petikan yang diuji. Jika murid Halus telah bersedia, barulah tumpuan ditingkatkan kepada bahagian tatabahasa dan novel.

Andainya segala ikhtiar telah dilakukan, dan murid Halus didapati masih buntu, mungkin pendekatan yang lain boleh difikirkan. Sebagai organisasi yang memupuk pembelajaran, pihak sekolah tidak akan berhenti daripada peranan itu supaya kesungguhan yang ditunjukkan juga menjadi sebahagian proses pembelajaran murid Halus. Dalam jangka panjang, murid Halus yang bermasalah pembelajaran perlu dikategorikan dalam kumpulan pendidikan khas yang dikendalikan oleh guru-guru yang terlatih dalam bidang berkenaan...

1 comment:

AMAR said...

Tqvm Cg Azhar.. membantu sedikit sebanyak dalam penulisan jurnal saya