SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, March 18, 2011

LIHATLAH PERBEZAAN SECARA POSITIF (PRUDENT ENVIRONMENTAL SCANNING)

Setiap kejadian memiliki ciri dan keunikan yang tersendiri. Sejumlah 6 bilion manusia yang masih hidup di bumi memiliki profil DNA, cop jari, suara dan wajah yang tidak sama. Kemungkinan mirip atau seiras memang ada,tetapi hanya dalam beberapa dominan sahaja.

Dari segi jantina, manusia dikategorikan kepada lelaki dan perempuan. Seterusnya masyarakat terbentuk daripada pelbagai suku dan bangsa yang bertutur dalam bermacam-macam bahasa. Adat resam, budaya, cara hidup, dampak seni dan ekonomi setiap satunya juga berlainan.

Asas pembentukan sesebuah keluarga ialah institusi perkahwinan yang mencantumkan sejumlah perbezaan. Persefahaman memerlukan pengorbanan dan tolak ansur, serta kesanggupan menghargai kelebihan yang ada pada pasangan. Sang isteri memiliki kekuatan emosi dan intuisi yang luar biasa untuk memenuhi fungsi fisiologi kehamilan dan melahirkan anak.

Sang suami pula memilki kekuatan akliah (akal) yang menjadi faktor kritikal kepimpinan rumah tangga. Suami yang normal harus dapat bersabar dengan tingkah laku isteri yang berbeza dari segi pertimbangan dan proses membuat keputusan. Suami isteri mesti memilih jalan yang terbaik supaya perbezaan yang berlaku tidak mencetuskan krisis yang menggoncang mahligai kebahagiaan yang dikecapi.

Anak-anak memang mewarisi ciri genetik tertentu daripada orang tua mereka, tetapi apabila darjah kebergantungan (dependency) mereka menurun manakala autonomi mereka meningkat, mereka lebih cenderung dipengaruhi faktor persekitaran dan rakan sebaya. Pengalaman pembelajaran yang mereka lalui juga sudah berbeza dengan zaman ibu bapa mereka. Maka, sebarang perbezaan yang masih dalam lingkungan al-ma'lum min-'addin bi'd-darurah hendaklah diterima dengan lapang dada (tasamuh).

Dalam masyarakat pascamoden yang bersifat nukleus, kita tidak lagi dapat memilih jiran tetangga, terutama apabila berkhidmat di luar kampung halaman. Maka, rumah sewaan atau kediaman kerajaan yang kita huni mungkin bersebelahan dengan jiran yang tidak begitu dikenali. Sekali lagi perbezaan yang diakibatkan oleh faktor pendidikan, sosioekonomi dan tatacara ibadah akan menghadirkan cabaran buat kita.

Walaupun demikian, perbezaan latar belakang kejiranan dan masyarakat hendaklah dilihat sebagai suatu kesempatan dan peluang untuk menyampaikan keindahan risalah tawhid secara hikmah. Keunggulan tingkah laku dan sikap sebagai insan yang beriman ialah suatu bentuk da'wah bi'l-hal. Tanggungjawab berkenaan mampu dilaksanakan tanpa disertai apa-apa bentuk indoktrinasi atau desakan yang ketara.

Kesedaran yang utuh terhadap hakikat perbezaan dalam kalangan manusia membolehkan kita berperanan sebagai pemimpin yang berkesan terhadap diri sendiri dan orang lain. Kita tidak melihat perbezaan itu sebagai masalah yang rumit, sebaliknya sebagai satu peluang dan ruang untuk menyampaikan mesej kebenaran dan keadilan secara paling bijak. Persoalan tentang pencapaian kita serahkan semata-mata kepada-Nya...

(sedutan mimbar Jumaat)

No comments: