Seperti yang dilaporkan, dapatan kajian Kementerian Pelajaran sendiri menunjukkan betapa tujuan asal PPSMI sendiri tidak tercapai. Majoriti murid didapati bukan sahaja tidak meningkat dari segi penguasaan bahasa Inggeris, malah menunjukkan kemerosotan dalam pencapaian mata pelajaran sains dan matematik. Maka, apa lagi hujah Page dan kumpulan yang sealiran?
Tidak ada yang pelik apabila sains dan matematik dipelajari dalam bahasa Melayu. Kebanyakan istilah yang digunakan pun sama, kecuali sedikit ubah suai ejaan dan sebutan. Misalnya oxygen dieja sebagai oksigen, photosynthesis sebagai fotosintesis, dan bacteria sebagai bakteria.
Istilah dalam bahasa Melayu juga sangat dekat dengan budaya tempatan dan pengalaman harian murid. Pembezaan (dahulu pengkerbedaan) lebih senang difahami berbanding dengan differentiation. Halaju lebih mudah menangkap imaginasi murid berbanding dengan velocity.
Tukang puja bahasa penjajah itu juga kononnya khuatir bahawa perkembangan sains dan teknologi yang pantas tidak dapat ditampung dengan kaedah terjemahan. Siapa yang suruh terjemah dan susah apa terjemah? Google dan banyak lagi perisian percuma internet boleh menterjemah daripada bahasa apa pun dengan sekelip mata walaupun perlu dibaiki di sana sini.
Itali, Jepun, Jerman, Sepanyol dan Switzerland tidak payah bergantung kepada bahasa Inggeris untuk bidang kejuruteraan termaju mereka. Tiada rasa rendah diri kerana tidak fasih berbahasa Inggeris. Malangnya, si kulit sawo matang berasa malu dengan peradaban dan tamadun bangsa mereka sendiri.
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ialah bukti kejayaan bahasa Melayu sebagai sarana ilmu tinggi. Lepasan aliran Melayu telah membuktikan keupayaan mereka bertaraf dunia setelah mengikuti pengajian dalam bahasa Melayu di UKM. Begitu ramai siswazah UKM telah menamatkan pengajian doktor falsafah, Ph.D di universiti terkemuka dunia dalam tempoh 3 tahun tanpa perlu ijazah sarjana.
Siapa sangka anak-anak pesawah padi, anak penoreh getah getah dan anak nelayan dari sekolah kampung mampu mengubah nasib keluarga dan mengalami mobiliti ekonomi, serta transformasi sosial yang hebat setelah berpeluang belajar di menara gading yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di bilik kuliah dan makmal. UKM berjaya memecahkan monopoli lulusan sekolah aliran Inggeris dalam bidang-bidang pengajian yang dianggap kritikal seperti ekonomi, optometri, perakaunan, perubatan dan sains nuklear. Lulusan sekolah aliran Melayu tidak lagi hanya layak memenuhi fakulti sastera dan sains sosial untuk persiapan menjadi pegawai tadbir dan diplomatik (PTD).
Syabas atas keberanian mengembalikan martabat bahasa Melayu dalam sistem persekolahan dan pengajian tinggi negara. Malaysia akan lebih dihormati justeru memiliki jati diri dan maruah. Kepentingan bahasa Inggeris, bahasa Arab, dan bahasa-bahasa asing yang lain akan terus dijaga...
No comments:
Post a Comment