Jika diperhatikan bahawa prinsip pembinaan item soalan komsas dikategorikan kepada aras petikan, aras kbkk dan aras komsas. Berdasarkan aras soalan berkenaan, baharulah calon sepatutnya menentukan sumber ambilan jawapan. Perkara itu sangat penting supaya calon tidak terbawa-bawa dengan penulisan jawapan yang menurut perasaan semata-mata.
Soalan petikan bermakna bahawa sumber ambilan jawapan ialah daripada petikan. Calon hanya perlu mencantumkan ayat soalan dengan fakta yang ada dalam petikan, tidak lebih tidak kurang. Jika tiada huraian atau penjelasan diperlukan, maka frasa penerangan hendaklah digugurkan.
Soalan kbkk pula bermakna bahawa sumber ambilan jawapan ialah idea luar petikan, atau idea calon sendiri. Supaya idea yang dikemukakan tidak berlegar terhadap idea yang sama dan berulang, maka calon harus memiliki kemahiran penyeluruhan (generalisasi). Kemahiran membina "payung" penyeluruhan ini juga tercatat dalam huraian sukatan pelajaran
Hanya tugasan soalan komsas yang memerlukan contoh peristiwa daripada cerpen, drama, prosa klasik, prosa moden, puisi tradisional dan novel mengikut zon. Lazimnya, tugasan soalan menghendaki calon menyatakan unsur komsas bermula daripada tema, watak dan perwatakan, latar (masyarakat, masa, tempat), nilai, persoalan, pengajaran dan teknik plot. Dalam keadaan ekstrem, andai calon tidak pernah membaca keseluruhan karya yang ditanya, kemungkinan untuk hilang markah hanya sekadar 2 markah!
Hakikatnya ialah peperiksaan memang akan akur terhadap segala kehendak sukatan pelajaran dan huraian sukatan pelajaran. Murid yang berjaya menikmati karya komsas semasa proses pembelajaran yang terancang tidak akan terpancing dengan soalan atau tajuk ramalan yang membuat mereka berasa cemas dan terkejar-kejar. Malangnya, disebabkan sudah sekian lama belajar untuk peperiksaan semata-mata membawa akibat murid sekolah tidak benar-benar menikmati pelbagai genre komsas yang disajikan.
Tidak hairan jika calon peperiksaan selalu bertanya tentang berapa panjang jawapan yang perlu mereka tulis. Untuk soalan karangan dan rumusan, memang ada jumlah perkataan tertentu yang mesti dipatuhi. Namun, bagi pecahan soalan komsas yang hanya membawa markah tidak sampai 10 bagi setiap satunya, mengapa harus menulis jawapan hingga hampir semuka surat penuh?
Kesimpulannya, pegangan calon semasa merancang jawapan ialah mengenal pasti aras soalan (petikan, kbkk, komsas), mematuhi tugasan soalan (perhatikan kata kunci: apakah, bagaimanakah, mengapakah), isu tugasan (orang, tingkah laku orang, ciri-ciri persekitaran, aspek ekonomi dan lain-lain). Jika soalan tidak menghendaki huraian, maka tulis sekadar subjek dan predikat. Akhir sekali, huraian ialah frasa penerangan yang boleh dimasukkan dalam ayat yang sama, atau tentang peristiwa yang menyokong unsur komsas yang dikemukakan sebagai jawapan...
No comments:
Post a Comment