SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, April 12, 2012

ANARKIS DAN DEMOKRASI: SATU PERSPEKTIF PENDIDIKAN (THE LEADERS WE DREAM)

Aktiviti politik sangat dominan dalam kehidupan sesebuah masyarakat, lebih-lebih dari dalam era kampung sejagat dan komunikasi masa sebenar (real time communication) kini. Politik sebagai satu seni kemungkinan telah menyaksikan begitu banyak perubahan dalam sejarah kepimpinan di seluruh dunia, sama ada menerusi gerakan massa, mahupun ketenteraan. Akses terhadap pendidikan formal dan ilmu pengetahuan telah menjadikan lebih banyak pihak bercakap tentang hak politik masing-masing.

Politik tertinggi dikaitkan dengan kuasa menjalankan pemerintahan sesebuah kerajaan. Dalam disiplin ekonomi, fungsi tunggal kerajaan ialah untuk memaksimumkan kebajikan rakyat. Kepimpinan kerajaan yang ditadbir oleh orang-orang politik bertanggungjawab mengagihkan nilai-nilai yang terhad untuk dikongsi oleh sekian banyak rakyat dengan yang cara yang paling adil.

Antara naskhah politik yang berorientasi sekular dan utilitarian ialah "The Prince" karya Niccolo di Bernardo dei Machiavelli, ahli falsafah zaman pencerahan dari Florence, Itali (3.5.1469 - 21.6.1527) dengan doktrin matlamat menghalalkan cara, the ends justify the means, al-ghayah tubarriru'l-wasilah. Maka, ahli politik yang malas mengkaji etika yang luhur akan terus berpegang kepada pendapat bahawa dalam politik tiada kawan yang kekal dan tiada musuh yang kekal. Hal-hal dosa dan pahala tidak masuk dalam pertimbangan teratas ahli politik sekular dan utilitarian.

Perolehan kuasa pemerintahan secara paksa, autoritarian, diktator dan kuku besi lazimnya hanya mampu bertahan dalam tempoh yang singkat. Empayar USSR rentetan Revolusi Bolshevik akhirnya runtuh dalam tempoh tujuh dekad sahaja. Demikian juga dengan gerakan rakyat di timur tengah baru-baru ini yang mengangkat kepimpinan baharu di sesetengah negara. Maknanya, gerakan anarkis atau politik jalanan tidak boleh lagi dipandang sebelah mata atau sebagai ancaman yang ringan.

Politik demokrasi atau pilihan raya memberi peluang kepada rakyat jelata memilih pemimpin yang paling mereka inginkan menerusi peti undi. Parti-parti politik yang mengambil bahagian akan berusaha sedaya upaya bagi memenangi hati pengundi yang berdaftar secara sah. Ahli-ahli politik demokrasi sering dilabel sebagai saudagar persepsi, iaitu mempengaruhi emosi dan sentimen pengundi supaya hanya berpihak kepada mereka.

Amerika Syarikat dan Britain sering dirujuk sebagai ikon demokrasi moden, walaupun dalam arena politik antarabangsa, kedua-dua kuasa besar itu ialah contoh demokrasi yang hodoh dengan sokongan membabi buta kepada rejim zionis Tel Aviv. Perubahan politik juga sedang melanda kedua-dua buah negara berkenaan kerana nisbah demografi pengundi kaum imigran, hispanik dan kulit berwarna selain  putih makin meningkat. Barangkali hanya manipulasi mampu menyekat perubahan buat sementara.

Masyarakat tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada ahli-ahli politik untuk mempamerkan teladan akhlak yang terbaik. Medan pertarungan kuasa telah mengakibatkan ahli-ahli politik seolah-olah bersifat riak, iaitu memuji diri sendiri dan kumpulan masing-masing sahaja, sambil memburukkan pihak lawan semahu-mahunya. Tiada kamus belas kasihan melainkan belasah semua, atau dalam kata lain, membujur lalu melintang patah.

Ahli-ahli politik juga ialah manusia biasa, tetapi mereka memiliki akses yang sangat luar biasa terhadap kuasa dan proses membuat keputusan. Peringatan tentang amanah, dosa pahala dan keutuhan peribadi boleh disampaikan kepada mereka secara paling hikmah. Mudah-mudahan rakyat jelata akan memperoleh hanya kebaikan dan kebajikan yang didambakan menerusi aktiviti politik yang menjunjung adab dan maruah yang luhur...

No comments: