SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, April 25, 2012

GAJI BAHARU KAKITANGAN AWAM: BELANJA SAKAN ATAU JIMAT? (BUDGETING THE HIGHER INCOME)

Hari ini, 25 April 2012 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1433, senyuman kakitangan awam melebar sampai ke telinga. Maklumlah, bulan ini moncah dengan tunggakan tiga bulan kenaikan 13 peratus gaji pokok dan tambahan elaun sara hidup (Cola) sebanyak RM50, kecuali penerima RM300 sebelum ini. Masing-masing membawa pulang antara RM200 hingga RM1,000 kali 3 bulan!

Sebulan dua lagi dapat pula tunggakan kenaikan gaji untuk setengah tahun kerana pada hari ini juga penyata perubahan gaji (pergerakan gaji) diterima semula oleh pihak pejabat. Maka, masing-masing akan mencongak tambahan antara RM100 hingga RM500 kali 6 bulan pula. Kalau rezeki sudah murah, jangan lupa sujud syukur dan menyediakan peruntukan untuk kebajikan dan infaq.

Kenaikan gaji 13 peratus hanya akan bermakna jika kadar inflasi dapat bertahan antara 4 hingga 6 peratus sahaja. Ramai yang tidak begitu menyedari bahawa antara fungsi kenaikan upah dan gaji ialah sebagai elaun inflasi atau kemerosotan nilai wang. Kuasa beli wang ialah pendapatan benar seseorang setelah pendapatan wang atau pendapatan nominal mereka mengalami diskaun inflasi!

Apabila wang tunai berada dalam tangan, orang kata wang menjadi panas dan mudah sangat licin sekelip mata. Godaan para peniaga begitu licik dan mempersonakan untuk ditolak begitu sahaja. Mereka akan mengambil kesempatan sebelum kakitangan awam dapat berfikir secara masak dan jangka panjang.

Belanja Sakan, Belanja Berhemah


Madu di tangan kananmu, racun di tangan kirimu... Lirik lagu seberang itu mungkin boleh menjadi renungan dalam menghadapi kegembiraan dan rezeki yang melimpah ruah. Kebijaksanaan silam menyebut bahawa ikut rasa, binasa; ikut hati, mati.

Dalam ajaran Islam, terdapat tegahan tentang sikap kikir (kedekut melampau) dan sikap boros (belanja melampau). Sebaik-baik pertimbangan ialah sikap pertengahan dan sederhana. Segala sikap melampau, melulu dan ekstrem disebut sebagai taghut.

Nikmat rezeki dan kekayaan ialah ujian berbentuk kesenangan supaya manusia menunaikan hak-hak orang lain yang tidak memperoleh peluang itu. Maka, beruntunglah orang-orang yang mensucikan jiwa mereka dengan amalan kebaikan,  kebajikan dan kebaktian (qad aflaha man zakkaha, 91:9). Amalan yang dimaksudkan termasuk untuk diri sendiri, kaum keluarga, jiran tetangga dan golongan yang memerlukan.

Aktiviti mencari rezeki ialah tuntutan bagi setiap insan yang berakal dan sihat tubuh badan. Setiap individu hendaklah berdikari, serta tidak sesekali menjadi beban kepada orang lain (kallan 'alan-nas). Aliran mensucikan kemiskinan tidak mungkin datang daripada fikiran yang bijak.

Keputusan untuk berbelanja jangan ditanya pada nafsu dan selera yang bersifat serakah, tetapi rujuklah kepada iman dan taqwa. Biarlah setiap sen yang dibelanjakan menjadi ibadah dan dikira sebagai amal soleh. Tiada perbelanjaan yang bersifat sia-sia dan membazir.

Kuasa Memegang Tunai

Sesetengah orang berpendapat bahawa wang tunai yang terkumpul boleh digunakan untuk membeli aset atau  harta semasa orang lain sibuk untuk menjualnya. Semasa rezeki moncah, sebahagian wang tunai ditabungkan di institusi kewangan bagi mengekalkan kuasa beli wang itu menerusi perolehan dividen atau perkongsian keuntungan sebagai elaun inflasi. Apabila peluang muncul untuk membeli harta, wang yang terkumpul itu menjadi senjata untuk bertindak dengan serta-merta tanpa mengharapkan pembiayaan secara pinjaman.

Nasihat di atas boleh diperoleh daripada orang-orang yang berjaya dalam bidang keusahawanan dan perniagaan berskala besar. Ketepatan masa dalam strategi pelaburan bakal memberikan pulangan lumayan (infinity). Orang yang sentiasa berpegang kepada prinsip cukup makan samalah seperti analogi binatang yang paling miskin, iaitu ayam yang kais pagi, makan pagi; kais petang, makan petang.

Kesan Pengganda dan Paradoks Penjimatan


Bahagian pendapatan yang dibelanjakan, iaitu penggunaan akan meningkatkan perbelanjaan agregat dan akhirnya akan merangsang aktiviti ekonomi. Setiap urus niaga akan mencetuskan 27 urus niaga yang lain. Contohnya, setiap unit burger yang dibeli mewujudkan peluang pekerjaan dalam industri roti, mayonis, gas masak, sos cili, kobis, daging proses dan rantaian lain.

Maka, kalau setiap orang berhenti membeli burger, 27 urus niaga rantaian tadi juga akan terputus. Pembaziran faktor dalam bentuk pengangguran dan kehausan barang modal akan berlaku. Aktiviti ekonomi akan terjejas kerana penganggur tadi hilang kuasa beli untuk membeli barang lain seperti pakaian dan item penjagaan diri, lalu menyebabkan pengangguran merebak pula kepada industri pakaian, kosmetik dan sebagainya.

Fenomena enggan berbelanja seperti di atas dipanggil sebagai paradoks penjimatan. Kesan akhirnya ialah ekonomi akan mengalami kemerosotan. Saiz aliran pusingan pendapatan akan menjadi kecut.

Sebaliknya, jika perbelanjaan berlaku secara berlebihan, permintaan agregat yang tinggi bakal melonjakkan harga, dan seterusnya mendatang kesan inflasi (tarikan permintaan). Saiz aliran pusingan pendapatan yang  bertukar menjadi gelembung itu boleh menyebabkan agihan pendapatan bertambah buruk dan ekonomi terperangkap dalam ketidakseimbangan.

Walaupun kesan inflasi boleh dikurangkan menerusi dasar belanjawan dan dasar kewangan, keputusan orang ramai untuk memegang tunai (kecairan) atau berpisah dengan tunai akan mempengaruhi tingkat aktiviti ekonomi secara agregat. Kakitangan awam mungkin enggan berfikir sejauh itu kerana tidak mahu fikiran menjadi serabut. Justeru, sumbangan kecil dalam berhadapan dengan nikmat rezeki yang melimpah ruah ialah sikap pertengahan, sederhana dan berhemah dalam mengurus perbelanjaan...

No comments: