SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, April 2, 2012

IBU BAPA SEBAGAI IDOLA (FAMILY = FATHER AND MOTHER I LOVE YOU)

"Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya bapa tiada terhingga..." Demikian lebih kurang lirik sebuah lagu tentang jasa, kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa dalam mengasuh, menjaga dan memberi pendidikan yang terbaik kepada kita. Ibu bapa ialah hubungan darah daging yang paling rapat dengan kita.

Kehadiran anak ialah penyeri kehidupan berumah tangga. Ibu bapa sanggup berhabis-habisan demi memenuhi keperluan anak yang dikasihi bagaikan menatang minyak yang penuh. Mereka bertungkus-lumus memerah keringat dan minda supaya dengan pendapatan yang berkat, halal dan sah dapat digunakan bagi menanggung anak-anak yang bermula sebesar telapak tangan hinggalah besar panjang sebagai persediaan untuk berdikari.

Ibu bapa ialah contoh gandingan pemimpin yang hebat. Bapa ialah nakhoda keluarga yang menggalas tanggungjawab besar bagi melindungi seisi keluarga, selain menyediakan segala keperluan yang layak. Seseorang bapa memiliki tahap kesabaran tertinggi dalam menghadapi kerenah seisi keluarga.

Ibu ialah insan yang paling rapat dengan si anak. Ibu sanggup mengusung janin dalam kandungan, berkongsi makanan, menahan alahan, mengalami berat badan yang memboyot, menelan pelbagai dos ubat, suplemen dan herba. Ibu juga sanggup bertarung nyawa dan menahan kesakitan yang tidak terkira ketika melahirkan si anak.

Si bapa hanya mampu memberi sokongan kepada si ibu justeru bapa tidak mungkin dapat menanggung segala pengorbanan sebagaimana yang dilalui oleh ibu sepanjang tempoh kehamilan. Bapa menemani ibu ke klinik membuat pemeriksaan dan memberi kata-kata semangat. Bapa melaungkan azan dan iqamat ke telinga bayi yang baharu dilahirkan.

Hari demi hari keletah permata hati menghiburkan ibu bapa. Si anak dimbing supaya belajar berdikari dan meningkatkan autonomi diri. Lama-kelamaan tahap pergantungan si anak kepada ibu bapa makin menurun.

Apabila anak meniti usia remaja, ibu bapa mula mencecah fasa dewasa. Seterusnya, apabila anak tumbuh sebagai orang muda, ibu bapa mula melangkah ke usia senja. Si anak makin gagah, sementelah ibu bapa mula berjuang supaya tidak dimamah usia.

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasai kematian, tidak kira usia dan tanpa dapat ditangguh barang sesaat pun jua. Namun, pada adatnya ibu bapa yang telah menempuh kehidupan yang panjang bakal dijemput dahulu. Maka, selagi ibu bapa masih ada, hargai dan berbaktilah kepada mereka agar tiada sesalan pada kemudian hari...

No comments: