SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, April 24, 2012

PERANAN PERTUBUHAN BUKAN KERAJAAN (NON-PROFIT GROUP ACTIVITIES)

Bilangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di peringkat antarabangsa dianggarkan berjumlah 40,000 buah, manakala di India melebihi 3 juta buah dan di Russia 277,000 buah. Pada asasnya, NGO ialah kumpulan berdaftar yang sah bagi kegiatan bukan politik dan bukan berorientasi keuntungan. Malangnya, pada hari ini banyak orang politik hanya menjadikan NGO sebagai perkakas atau topeng untuk menonjolkan diri sendiri kononnya pembela bangsa dan melakukan kerja-kerja fitnah yang amat hina lagi keji.

Contoh NGO tempatan yang jelas inti pati perjuangan mereka ialah persatuan pengguna, belia, alam sekitar, badan kebajikan warga tua dan anak yatim, serta persatuan rekreasi. Namun, sebahagian NGO berkenaan juga telah lama diresapi oleh pengaruh politik atas alasan mudah mendapat dana dan akses program skala besar. Selain itu, pertelagahan tentang jawatan organisasi juga telah melemahkan peranan asal NGO terbabit.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kelihatan lebih menonjol dan bebas daripada pengaruh politik parti. Gabungan Persatuan Pengguna Kebangsaan (Fomca) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pula tidak begitu bertaring justeru sering berlaku kemelut kepimpinan dan kadang-kadang menunjukkan kecenderungan yang berat sebelah. Barangkali, hakikat itu ialah punca utama para pengguna di Malaysia tidak berdaya menghalang kaum kapitalis daripada melakukan penindasan hingga begitu berkuasa dalam pasaran.

Nasib pertubuhan belia lebih teruk. Pemimpin-pemimpin tua yang masih perasan muda sangat liat untuk berundur daripada tampuk kepimpinan, lalu mengakibatkan pertubuhan belia tidak lebih sebagai kuda tunggangan ahli politik yang rakus. Sebahagian besar golongan belia sebenar beralih kepada aktiviti antisosial seperti lumba haram, pergaulan bebas dan hiburan melampau.

NGO alam sekitar memainkan peranan penting sebagai wadah kesedaran sosial tentang kepentingan ekosistem dan kehidupan yang sejahtera tanpa pencemaran. Namun, mereka tidak boleh terikut-ikut dengan pendekatan Greenpeace di peringkat antarabangsa yang sanggup melakukan bantahan yang aneh hingga menjatuhkan maruah aktivis mereka sendiri. Sahabat Alam Sekitar Malaysia (Sam) ialah contoh NGO tempatan yang masih dihormati di negara kita.

Badan kebajikan seperti Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim (Peryatim), Majlis Kanser Nasional (Makna) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) diterajui oleh individu yang pernah berpengaruh dalam politik seperti bekas menteri, pegawai tinggi awam dan ahli akademik. Namun, di peringkat negeri dan daerah, terdapat lebih banyak badan kebajikan skala kecil yang lebih fokus. Badan-badan kebajikan seumpama demikian memberi kesempatan kepada warganegara dan anggota masyarakat yang prihatin untuk menghulurkan pertolongan kepada golongan yang kurang beruntung.

Di samping itu, terdapat juga NGO berasaskan hobi dan kegemaran sosial tertentu seperti kelab motosikal berkuasa tinggi, kelab kereta antik, kelab memancing dan sebagainya. Kelab-kelab eksklusif seumpama itu bagaimanapun tidak bersifat massa. Namun, mereka masih boleh menjalankan kerja-kerja kebajikan berdasarkan kemampuan dana masing-masing.

Nama-nama NGO seperti Tibai dan Gaps ialah contoh kumpulan pendesak yang diasaskan untuk medium orang politik yang tidak menyerlah dalam arus perdana politik tanah air. Pertubuhan bermusim seperti itu menyebabkan berlaku kekeliruan tentang peranan sebenar NGO. Generasi muda akan menjauhi aktiviti NGO yang diragui.

1 comment:

Unknown said...

Ngo atau dikenali sebagai badan bukan kerajaan bertujuan untuk membantu segala krisis yang di hadapi oleh negara. selain daripada sektor awam dan sektor swasta terlibat dalam penyumbang bantuan kepada masyarakat, NGO juga memainkan peranan dlm menyumbang bantuan kepada masyarakat yang memerlukan bantuan.

NGO play key role in humanitarian assistance and development. the goal that NGO need to achieve is unity of effort and this goal must be achieved while recognizing different cultures, disparate asessment and different tasks.