SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, April 19, 2012

REZEKI YANG BERKAT (THE STORY OF SCHOOL SECURITY GUARD)

Sesekali apabila muncul kesempatan, penulis blog (PB) akan berbual-bual dengan pengawal keselamatan sekolah, iaitu jaga sekolah. Dahulu,sebelum penswastaan perkhidmatan sokongan berkenaan, jaga sekolah termasuk dalam norma perjawatan khas, walaupun kadang-kadang dipinjam daripada pekerja am rendah (PAR) atau pekerja rendah awam (PRA). Jaga berpangkalan di pondok kawalan di hadapan pintu masuk utama sekolah.

Antara tugas penting pengawal keselamatan sekolah ialah mengawasi pergerakan keluar masuk warga sekolah, serta memastikan bahawa hanya pelawat yang memperoleh izin pengetua dan guru besar sahaja dibenarkan masuk ke kawasan sekolah. Tatacara operasi piawai (SOP) kebanyakan sekolah ialah pelawat mengisi slip borang khas, meninggalkan kad pengenalan atau lesen memandu, serta memakai kad kebenaran lawatan. Semua kenderaan awam, kecuali dalam kes khas, perlu diletak di luar daripada pagar sekolah.

Pengawal keselamatan sekolah juga dikehendaki membuat rondaan ke seluruh kawasan sekolah secara berjadual, termasuk asrama. Semua tugas yang dijalankan perlu dicatat dalam buku log kawalan keselamatan untuk semakan pengetua dan guru besar. Pengawal keselamatan yang bertugas pada waktu malam dan awal pagi harus memastikan tiada pencerobohan berlaku.

Kini, tugas kawalan keselamatan sekolah diserahkan kepada syarikat swasta menerusi pemantauan ketat oleh pejabat pelajaran daerah. Syarikat yang memenangi tender akan berurusan terus dengan pihak PPD dari segi caj perkhidmatan dan kebajikan pengawal keselamatan. Pihak PPD boleh mengenakan penalti sehingga 20 peratus jika syarikat kawalan keselamatan gagal mematuhi SOP sepenuhnya atau cuai dari segi kebajikan pengawal keselamatan.

Secara am, di Malaysia, syarikat kawalan keselamatan telah melaksanakan tugas masing-masing dengan baik sepertimana terma dalam perjanjian perkhidmatan. Kes pencerobohan dan jenayah yang berlaku di dalam kawasan sekolah masih bersifat terpencil. Pihak sekolah sendiri menetapkan tatacara yang ketat dari segi keselamatan fizikal dan harta benda kerajaan daripada terdedah kepada ancaman jenayah.

Sebahagian besar pengawal keselamatan terdiri daripada bekas anggota keselamatan yang sudah bersara, misalnya polis dan tentera. Dari segi SOP dan disiplin, mereka sudah memiliki pengalaman yang agak panjang. Namun, sebagai manusia biasa, semua perkara harus diulang-ulang supaya wujud keseragaman dari segi cara bertindak yang dikehendaki.

Menerusi dasar upah minimum yang dikuatkuasakan mulai penghujung tahun lepas, pengawal keselamatan sekolah menerima bayaran antara RM900 hingga RM1,200 sebulan, serta beberapa pasangan pakaian seragam yang lengkap. Namun, bagi sekolah bantuan modal dan sekolah persendirian, amaun yang mampu ditawarkan mungkin lebih rendah berdasarkan peruntukan kewangan PIBG. Setelah ditolak caruman Skim Keselamatan pekerja (Perkeso, Socso) dan KWSP, jumlah bersih yang dibawa pulang oleh pengawal keselamatan akan berkurangan sekitar RM60.

PB sempat berbual-bual dengan beberapa orang pengawal keselamatan sekolah sepenuh masa yang bukan bekas anggota keselamatan. Mereka sangat gembira dengan bayaran bulanan yang melepasi RM1,000. Setelah ditolak ansuran kereta Kancil sebanyak RM300, mereka masih mempunyai baki sekitar RM800 untuk menampung perbelanjaan dapur dan persekolahan seisi keluarga.

Apabila PB memberitahu bahawa jumlah RM800 hanya mampu menampung kos minyak petrol kenderaan dan bil utiliti yang lain bagi guru, pengawal keselamatan itu sedikit kaget. Baginya, hidup secara sederhana sudah amat bahagia. Seisi keluarga masih boleh selalu berkumpul bersama, berkongsi cerita dan bergurau senda walaupun tidak merasa kehidupan yang mewah.

PB sebenarnya sangat kagum dengan cara kumpulan berpendapatan sedemikian menjalani sebuah kehidupan yang ceria dan sejahtera tanpa mengalami tekanan yang berat. Mereka berbelanja apa adanya dan lebih dekat kepada sifat qana'ah, iaitu berasa cukup. Mulut mereka tidak lekang dengan lafaz syukur atas nikmat yang diterima walaupun dengan amaun yang tidaklah seberapa.

PB juga kagum dengan spesifikasi tugas pengawal keselamatan sekolah yang bersifat rutin, iaitu sentiasa perlu membuat pemerhatian terhadap pergerakan manusia lain. Jika PB diletakkan dalam situasi seperti mereka, barangkali satu jam sahaja sudah menjadi penyeksaan. Syabas kepada pengawal keselamatan sekolah atas keikhlasan kalian, dan mudah-mudahan dengan rezeki yang berkat, kalian akan terus menjalani kehidupan yang sejahtera dunia dan akhirat...

No comments: