SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, August 26, 2012

NEIL ARMSTRONG LEGENDA PENCETUS INSPIRASI MODEN (THE DEBT OF ADVANCED TECHNOLOGY)

Walaupun kontroversi tentang kesahihan manusia mendarat di permukaan bulan masih misteri, mendiang Neil Armstrong (5.8.1930 – 26.8.2012) akan tetap dikenang sebagai legenda misi penerokaan ke angkasa lepas. Pelbagai versi cerita dan hujah tentang pendaratan Apollo 11 pada 20.7.1969, termasuk ulasan teknikal kemungkinan penggambaran video dilakukan di sebuah kawasan gurun di Arizona. Keadaan bendera yang berkibar dan terdapatnya bayang-bayang menjadi sandaran kecurigaan versi berkenaan.
Tidak kurang hebatnya ialah cerita bahawa Amstrong mendengar azan di angkasa lepas, kemudian beliau menganut Islam dan menyertai jemaah tabligh, termasuk hadir dalam ijtimak di Malaysia, tersebar dengan meluas. Kini, Neil Armstrong telah tiada lagi untuk memberi pengesahan atau penafian tentangnya. Hanya yang pasti ialah cerita Apollo dan Neil Amstrong telah memberi ‘kemenangan besar’  propaganda Amerika Syarikat ke atas Soviet Union (Rusia) dalam era perang dingin pasca-Perang Dunia Kedua.

Sejak peristiwa bersejarah Neil Armstrong, penyelidikan tentang angkasa lepas mendapat perhatian universiti di seluruh dunia, termasuk di negara sedang membangun. Malaysia sendiri telah berjaya ‘menumpangkan” angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar dalam misi Rusia pada 10.10.2009. Pelaburan dalam kajian angka lepas memang teramat tinggi, tetapi pulangannya sangat berbaloi dari segi teknologi maya dan penderiaan jauh untuk maksud ketenteraan dan kegiatan ekonomi komersial.

Neil Armstrong lebih banyak bersikap mengunci mulut daripada menjaja cerita, peristiwa dan pengalaman sebenar yang beliau lalui sebagai angkasawan yang mencetuskan anjakan paradigma dalam pemikiran dan pendekatan saintifik tahap tinggi. Selepas bersara daripada perkhidmatan angkasa lepas Amerika Syarikat (Nasa), Armstrong memberi kuliah kejuteraan angkasa lepas di Universiti Cincinnati selama satu dekad sebelum menyertai beberapa buah syarikat yang berkaitan dengan industri penerbangan. Beliau juga sudi berkongsi input secara bersemuka dengan angkasawan generasi baharu, termasuk Dr. Sheikh, sebagai sumber inspirasi yang kuat.

Sikap terpuji Armstrong yang patut diteladani oleh generasi muda ialah sikap rendah diri dan kesederhanaan. Walaupun diangkat dengan pelbagai gelaran hebat, Amstrong masih mengungkapkan bahawa beliau hanya menjalankan tugas untuk negara beliau dan manusia seluruhnya. Tiada kebanggaan peribadi dilafazkan secara berlebihan.

Teman beliau dalam misi Apollo 11, Edwin ‘Buzz’ Aldrin masih ada untuk menjadi rujukan hidup tentang pengalaman yang dilalui oleh mereka berdua. Nama besar angkasawan seperti John Glenn (Amerika Syarikat) dan Yuri Gagarin (Rusia) akan terus disebut-sebut dalam sejarah kemajuan penerokaan angkasa lepas. Pengapungan makmal angkasa dan satelit (buatan manusia) di orbit bumi oleh beberapa buah negara, termasuk Malaysia (RazakSat) telah meningkatkan perkembangan teknologi termaju untuk manusia mencapai tahap kualiti hidup yang lebih baik.

Sikap rendah diri dan kesederhanaan Neil Armstrong boleh difahami kerana Nasa diperkasakan menerusi kepakaran otak terbaik seluruh dunia, termasuk saintis Islam dari Palestin, India dan lain-lain. Sumbangan mereka dalam reka bentuk kejuruteraan kenderaan ke angkasa lepas, bahan api dan bahagian kapsul kapal ialah kerja-kerja di sebalik tabir yang jarang-jarang diberi perhatian. Sesuatu projek mega atau raksasa yang bertaraf pencetus lembaran sejarah yang baharu seperti itu membabitkan proses perancangan dan sumber kepakaran yang sangat imaginatif.

Walaupun masih belum berlaku peristiwa ulangan pendaratan manusia di permukaan bulan selepas tahun 1972 (jumlah angkasawan yang mendarat di bulan dilaporkan berjumlah 12 orang), kisah Neil Amstrong (kalau diterjemahkan ialah Neil si lengan gagah) sebenarnya ialah titik tolak penting dalam pemikiran sains dan teknologi termaju. Kita tinggalkan perdebatan teknikal tentang kesahihan peristiwa itu kepada mereka yang ahli. Hakikatnya, masih terlalu banyak khazanah rahsia tentang penciptaan alam jagat raya yang belum dapat dijangkau oleh manusia sebagaimana perumpaan ilmu yang tidak akan habis walaupun berkali-kali air lautan menjadi kering untuk berbuat demikian.

Wallahu a’lam...

1 comment:

Anonymous said...

Heya i am for the first time here. I found this board and I find It
truly useful & it helped me out much. I hope to give
something back and aid others like you helped
me.
Also visit my weblog ... payday loan singapore