SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, September 12, 2012

MOTIVASI BELAJAR: BARANG BERHARGA ADA CABARAN (LEAST EFFORT BUT TOP RESULT)

Pelajar yang dikasihi

Demi kelangsungan hidup, manusia sanggup melakukan pelbagai ikhtiar dan pekerjaan, sama ada secara baik-baik atau sebaliknya. Di sekeliling kita ada insan yang hebat lagi mulia, tetapi dalam masa yang sama kita perlu awas terhadap orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya, iaitu insan yang berniat jahat seperti penjenayah. Masing-masing ligat berfikir tentang pelbagai cara untuk memperoleh sumber pendapatan untuk membiayai kehidupan yang diinginkan.

Demi sesuap nasi, ada insan yang sanggup mengutip cebisan kotak, botol dan barang terbuang untuk dijual kepada kilang kitar semula. Ada yang bekerja sebagai pemungut sampah dengan pendapatan RM30 sehari walaupun terpaksa menghidu bau busuk dan kulit 'hangus' terbakar dek panahan matahari. Banyak lagi insan yang sanggup menanggung risiko kehilangan nyawa dengan bekerja di tempat bahaya seperti loji kimia, pencawang voltan tinggi atau rawatan sisa cemar.

Pengawal keselamatan di kedai emas harus sanggup menahan kebosanan dengan duduk atau mundar-mandir memerhatikan pergerakan orang ramai di sekitar kawasan premis majikan mereka. Begitu juga dengan jurujual di pasar raya yang akan berdiri selama lapan jam dengan melakukan kerja rutin setiap hari. Penjual burger sanggup bersengkang mata hingga larut malam menunggu pelanggan yang tidak kunjung datang.

Banyak juga yang sanggup berpisah dengan keluarga untuk berkelana ke bumi asing untuk memperoleh pendapatan yang lebih tinggi. Penyelam mutiara berulang alik ke laut dalam di Darwin, Australia bagi mengejar upah yang lumayan. Jururawat berpengalaman sanggup berjauhan dengan suami dan anak untuk bekerja di timur tengah dengan bayaran RM15k sebulan.

Pelajar harapan agama, bangsa dan negara sekalian,

Proses belajar juga tidak ubah seperti ikhtiar perjuangan untuk menikmati kehidupan yang selesa, mampu berdikari dan tidak menjadi beban kepada orang lain. Ilmu dan kebijaksanaan ialah barang yang hilang daripada orang-orang yang beriman. Maka, ilmu perlu dikutip tidak kira di mana-mana sahaja daripada bermacam-macam punca yang sah. 

Sepertimana insan yang berjuang dalam dunia pekerjaan dan mencari rezeki, proses belajar juga tidak sunyi daripada cerita suka dan duka. Walaupun ahli-ahli pendidikan menghimpun saranan terbaik agar proses pembelajaran menjadi aktiviti yang sentiasa berkesan, menarik dan menyeronokkan, hakikatnya pelajar sebagai insan biasa turut dipengaruhi oleh perubahan perasaan dan persekitaran. Keserasian dengan sesuatu reka bentuk aktiviti pembelajaran tidak sama antara individu pelajar.

Maka, bagi mencapai kejayaan, antara syarat utama kepada pelajar ialah kesanggupan melakukan banyak pengorbanan. Pelajar mesti bersedia berpisah daripada keseronokan jangka pendek demi kepentingan jangka panjang. Keadaan di bilik darjah tentulah tidak sama dengan keadaan di bilik bacaan di rumah yang dilengkapi dengan pendingin hawa dan meja tulis persendirian.

Pelajar juga harus akur bahawa pembelajaran bermakna usaha meneroka sejumlah ilmu pengetahuan baharu yang diungkapkan menerusi istilah, konsep, prinsip, model dan rumus yang tertentu. Hanya dengan ilmu, pelajar akan berasa lebih jelas dan pasti tentang peristiwa rencam yang berlaku sejak dahulu kala. Nilai modal insan dalam diri mereka meningkat dengan hebat, lalu mereka akan lebih berkeyakinan untuk berada di tengah-tengah masyarakat dengan penghormatan dan kewibawaan.

Pelajar yang dimuliakan,

Ilmu ibarat permata yang tidak terhingga nilainya. Hanya insan yang bertuah dan murah rezeki memiliki kesempatan beroleh permata seumur hidup. Demikian juga proses mencari ilmu tidak semudah memetik jari memanggil pelayan hotel, atau seperti kisah dongeng Aladin dengan lampu ajaib.

Syed Muhammad Naquib al-Attas, profesor falsafah tersohor negara mengatakan bahawa ilmu ialah ketibaan makna. Sebab itulah ilmu itu sangat dekat dengan kebenaran dan sekali gus membongkar kepalsuan. Berapa banyakkah cakap-cakap dan saranan tidak lebih daripada kata-kata palsu yang tidak ada asas ilmu, sebaliknya berpunca daripada emosi dan hawa nafsu serakah?

Kebijaksanaan silam mengungkapkan peribahasa 'berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian'. Dalam proses pembelajaran, pelajar harus menggembleng keupayaan akal, kemahiran dan sikap bagi menghadapi kesukaran dalam mengungkapkan ilmu. Semakin tinggi aras kesukaran sesuatu ilmu pengetahuan, semakin terserlah perbezaan dan perpisahan antara pelajar cemerlang dengan pelajar biasa-biasa.

Pelajar cemerlang bukan sahaja sanggup bertungkus-lumus dan berkorban demi pembelajaran, tetapi juga mencari kaedah terbaik untuk memudahkan tugas mencari ilmu. Bagi memperoleh hasil yang luar biasa, pelajar cemerlang berusaha secara luar biasa, iaitu pemikiran di luar kotak. Pelajar cemerlang sangat menghargai ilmu sebagai permata yang terbentuk jutaan tahun, serta perlu dicari gali menerusi teknologi tinggi dan perbelanjaan yang sangat mahal...

No comments: