SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, December 28, 2012

PENGALAMAN BERMAIN SALJI (THE ICE WORLD)

Kedudukan geografi negara kita berhampiran garis Khatulistiwa, serta mengalami iklim tropika. Bacaan suhu di kebanyakan tempat, kecuali tanah tinggi ialah antara 24 hingga 33 darjah celcius. Maka, tiada fenomena empat musim seperti negara-negara hemisfera utara dan hemisfera selatan.

Sehingga awal dekad 1990-an, negara hanya mempunyai lima buah universiti awam, manakala penubuhan universiti swasta belum diberi keizinan. Maka, sejumlah besar lulusan SPM dan STPM, serta lepasan pelbagai program diploma Institut Teknologi Mara (kini UiTM) dan politeknik dihantar menyambung pengajian ijazah pertama (sarjana muda) di Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Jordan, Mesir, New Zealand dan United Kingdom. Setiap kali menjelang hari raya puasa, gambar mereka akan terpampang di dada akhbar dengan bergaya dalam persekitaran bersalji.

Setelah itu, kebanyakan kursus pengajian tinggi sudah ditawarkan di dalam negara dengan penubuhan lebih banyak universiti awam hingga mencecah 20 buah semuanya di samping lebih 700 buah kolej, kolej universiti dan universiti kendalian badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan dan pihak swasta. Pelajar ijazah tinggi sarjana dan doktor falsafah juga tidak lagi dihantar ke luar negara, kecuali untuk kursus kritikal atau kemasukan universiti ternama dunia seperti Cambridge, Harvard dan Oxford. Malah, universiti asing semakin banyak menubuhkan cawangan di Malaysia bagi menarik kemasukan pelajar serantau dan dari negar-negara umat Islam.

Keadaan yang berlaku bermakna pengalaman empat musim akan hanya dapat dinikmati jika sesebuah keluarga itu mampu menanggung perbelanjaan perjalanan ke negara-negara hemisfera utara dan selatan. Destinasi paling murah ialah China, iaitu dalam lingkungan RM3,000 untuk seminggu, misalnya dari bulan Disember hingga Mac (musim sejuk), selain Korea Selatan yang kini menjadi pilihan popular kerana jenama Samsung, Gangnam Style dan Winter Sonata. Pelancong Malaysia juga gemar ke Australia dan New Zealand yang mempunyai pemandangan menakjubkan ketika musim sejuk, musim bunga dan musim luruh.
gelagat pengunjung ruang musim sejuk I-City, seksyen 7, Shah Alam 
 
Kalau tidak berkesempatan ke negara hemisfera utara atau selatan kerana kekangan masa dan kos, atau sekadar untuk persediaan ke sana, rakyat Malaysia masih boleh menikmati pengalaman musim sejuk di dalam negara. Suatu ketika dahulu, taman tema Genting Highland menjadi tumpuan kerana terdapat ruang musim sejuk dengan salji buatan. Kemudian, terdapat pula simulasi empat musim di Taman Pertanian Bukit Cerakah yang kini sudah semakin dilupakan.

Kuasa beli rakyat tempatan yang semakin meningkat membolehkan lebih banyak taman tema menawarkan pengalaman musim sejuk dan bermain salji. Di seksyen 7, Shah Alam, taman tema teknologi tinggi I-City semakin dikenali. Walaupun belum beroperasi pada tahap 100 peratus, I-City dikhabarkan mencatat jumlah kunjungan yang cukup tinggi.

Bayaran letak kenderaan yang dikenakan ialah RM10. Berbeza dengan Taman Tema Genting atau Sunway Lagoon yang mengenakan bayaran secara pakej untuk seluruh kawasan taman tema, aktiviti I-City dikendalikan secara berasingan untuk satu-satu permainan. Maksudnya, jumlah perbelanjaan secara tunai (bayaran menerusi kad kredit belum diaktifkan) mungkin menjadi lebih tinggi. Lebih-lebih lagi jika pengunjung teruja untuk membawa pulang foto yang diambil oleh petugas di sana, wang sudah macam air sahaja.

Bayaran masuk ke ruang musim sejuk ialah RM25 (8 pagi - 6 petang) dan RM35 (6 petang - 2 pagi), dan diskaun sebanyak RM5 jika pembelian tiket mencecah jumlah RM100 dengan kad keahlian percuma. Keadaan di dalam ruang musim sejuk yang luas itu tidak ubah seperti peti ais besar dengan pengunjung disediakan jaket tebal. Pengunjung yang kesejukan biasanya tidak dapat mengelak daripada menyewa but bernilai RM10 seorang daripada petugas Mat Bangla di kaunter.

Di samping berjalan-jalan dan mengambil gambar, pengunjung boleh menjenguk ke dalam terowong igloo, iaitu kediaman orang Eskimo yang dibuat daripada ais sepenuhnya. Kanak-kanak boleh bermain gelungsur salji atau futsal permukaan ais. Walaupun tiada had masa yang ditetapkan, dan masih boleh keluar masuk sesuka hati, pengunjung biasanya hanya mampu bertahan selama satu jam...

No comments: