Thursday, December 20, 2012
IKTIBAR KEJATUHAN NOKIA (CONNECTING BY SAMSUNG GALAXY NOTE)
Berita pemberhentian kira-kira 15,000 orang pekerja Nokia, syarikat gergasi telefon bimbit menggambarkan persaingan sengit dalam industri telekomunikasi. Nokia yang berpangkalan di Finland itu sudah gagal menahan asakan pemain utama segmen telefon pintar, iaitu Apple dan Samsung. Percubaan Nokia memperkenalkan jenama Lumia dengan tawaran cabutan bertuah kereta Toyota Vios juga tidak berjaya memikat pasaran, terutama dalam kalangan pembeli muda.
Apple pada asasnya ialah pemain utama teknologi komputer mudah alih, manakala Samsung bermula dengan pelbagai jenama barangan elektronik seperti mesin basuh, peti sejuk dan televisyen. Namun, apabila teknologi komputer pintar digabungkan dengan aplikasi telefon bimbit, maka Apple dan Samsung mula berperang merebut pasaran di seluruh dunia. Kejayaan Apple memenangi kes mahkamah yang menyebabkan Samsung terpaksa membayar USD1 bilion (RM3 bilion) sebaliknya menjadikan jenama Samsung semakin popular.
Samsung dari Korea Selatan bukan sahaja menggegarkan pasaran Amerika Syarikat, bahkan menakluki pasaran Russia, United Kingdom dan benua Asia. Jenama gajet daripada negara matahari terbit Jepun seperti Panasonic dan Sony juga agak tenggelam. Baru-baru ini Google menjalin kerjasama dengan LG, saingan Samsung di Korea Selatan yang bakal menunjukkan kekuatan jenama mereka di serata dunia.
Firma penyelidikan teknologi IHS iSuppli yang berpangkalan di Washington menganggarkan Samsung berganti kedudukan dengan Nokia dengan penghantaran 29 peratus telefon bimbit, berbanding dengan 24 peratus pada tahun sebelumnya. Bagi segmen pasaran telefon mudah alih pintar, Samsung jauh di hadapan dengan 28 peratus berbanding dengan pesaing terdekat, iaitu Apple yang sekadar mencatat 20 peratus. Dalam kata lain, Samsung mencatat peningkatan mendadak sebanyak 40 peratus penguasaan pasaran bagi kedua-dua segmen telefon mudah alih dan telefon pintar.
Kesanggupan Samsung memperuntukkan perbelanjaan besar dalam pelaburan inovasi dan reka bentuk sangat berbaloi. Kemasyhuran penyanyi rap gempal Korea Selatan, Psy, 34, dengan Gangnam Style yang mencatat hampir 1 bilion hit di laman perkongsian video You Tube sedikit sebanyak menambah kegilaan remaja di seluruh dunia terhadap jenama Korea Selatan, khususnya Samsung. Kini, rakyat Korea Selatan bukan sahaja dapat berbangga dengan status sebagai negara perindustrian baharu (NIC), malah kemajuan negara bersaiz kecil itu yang berkembang dalam pelbagai bidang nyata sekali lebih cepat daripada yang dijangka.
Nokia mungkin masih bertahan untuk segmen pasaran tradisional dan pengguna yang lebih dewasa. Melainkan suatu magis berlaku dan Nokia berjaya kembali ke persada carta jualan telefon mudah alih, Nokia akan hanya mampu bergantung harap kepada segmen pasaran yang lebih kecil. Mungkin Nokia juga perlu melaksanakan pelan penggabungan dengan pesaing utama Samsung supaya dapat mewujudkan momentum jualan dan sinergi persaingan yang lebih kukuh.
Pemusatan sebahagian besar proses pembuatan dan pengeluaran jenama gajet mudah alih di China atas faktor upah buruh yang rendah pula dijangka memberi keuntungan kepada negara berkenaan dalam jangka masa panjang. Huawei, sebuah syarikat gergasi teknologi jalur lebar China sudah mula mencongak langkah untuk menyertai segmen pasaran telefon pintar dengan pembaharuan yang boleh menggugat kedudukan Apple dan Samsung. Di samping pasaran domestik yang besar, Huawei merupakan jenama yang sudah mula dikenali di serata dunia.
Khabarnya Nokia bercadang untuk mengeluarkan komputer tablet dan komputer mudah alih yang akan digabungkan sekali dengan ciri telefon pintar. Sudah tentu di peringkat permulaan, Nokia terpaksa berhadapan dengan kos overhead yang tinggi, selain ekonomi bidangan yang masih lambat. Kemungkinan harga jualan jenama Nokia itu diletakkan di bawah paras kos pengeluaran sebagai strategi merebut pasaran.
Kepada semua ahli perniagaan, besar atau kecil, kejatuhan Nokia setelah sekian lama bertakhta di pasaran perlu dipelajari dengan cermat. Pesaing-pesaing baharu akan sentiasa muncul, sedangkan kesetiaan jenama semakin sukar untuk dipertahankan. Cita rasa pasaran juga semakin sukar untuk diramalkan dengan tepat...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment