Wednesday, December 5, 2012
TUBUH KECIL LAGAK BESAR (BEHAVIOURAL CONTRAST)
Orang bersaiz kecil didapati lebih garang daripada orang bersaiz besar. Dakwaan itu berbentuk pengamatan dan pengalaman yang tidak berstruktur. Maksudnya, anggapan yang dinyatakan itu tidak disokong oleh data dan dapatan penyelidikan yang autentik.
Namun, terdapat teori psikologi yang masyhur seperti helah bela diri (defence mechanisme). Seseorang manusia itu cuba menyembunyikan dirinya yang sebenar menerusi 'topeng' yang dikenakan di wajah dan tingkah laku masing-masing. Misalnya dengan cara projeksi, seseorang itu cuba menutup kekurangan atau perasaan rendah diri menerusi pembawaan dan tingkah laku yang bertentangan.
Dalam filem animasi Shrek, watak antagonis Lord Farquaad yang cuba bersaing dengan watak utama harus menggunakan but yang panjang supaya kelihatan lebih tinggi, di samping sangat garang terhadap orang bawahan dalam usahanya hendak menjadi raja dengan mengahwini Fiona. Kebetulan, dia sangat berkuasa berbanding dengan Shrek yang tinggal di kawasan paya yang kotor walaupun bertubuh sasa. Hanya kerana skrip filem menghendaki orang baik sebagai pemenang, maka Lord Farquaad akhirnya ditelan oleh sang naga, pasangan kepada sang keldai, sahabat karib Shrek.
Ketua atau majikan yang bertubuh kecil juga selalunya bertindak garang dan tegas sebagai suatu bentuk kawalan subordinat demi kelangsungan organisasi. Namun, apabila perlu menegur subordinat yang agresif, panas baran dan berpendidikan rendah, ketua yang bertubuh kecil biasanya akan disertai pegawai kanan lain yang disegani atau ditakuti. Pernah berlaku di sebuah pejabat, seorang ketua yang garang tetapi bertubuh kecil menerpa keluar pejabat setelah pekerja bawahan yang dipanggil untuk tindakan disiplin mula meninggikan suara dan menggenggam penumbuk.
Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa. Begitulah peribahasa yang mengajar kita supaya menghormati orang lain bukan kerana faktor fizikal atau pengaruh, tetapi kerana kebijaksanaan, pengalaman dan wewenang yang dimiliki. Ketua (superior) dan subordinat mesti saling menghormati.
Ibu bapa yang bertubuh lebih besar daripada anak mereka (buat sementara) tidak boleh begitu mudah menjadikan anak sebagai mangsa deraan fizikal atau mental. Anak-anak yang masih mentah bukan lesen untuk ibu bapa berbuat sesuka hati. Di samping hubungan darah, anak-anak ialah insan yang tidak berdosa, atau jika sudah akil baligh masih kurang dosa secara berbanding.
Zaman anak-anak dirotan sebagai satu bentuk latihan kepahlawanan sudah lama berlalu dengan lenyapnya tamadun Rom dan Sparta. Kini, kekuatan jasmani per se sudah tidak laku, melainkan digandingkan dengan kekuatan ilmu dan penguasaan teknologi termaju. Rejim disiplin berbentuk kekerasan menggambarkan tahap keilmuan dan akhlak yang rendah.
Di sekolah, tubuh murid tingkatan satu sudah lebih tinggi daripada guru, dan banyak pula murid yang mengalami penyakit berlebihan berat badan. Barangkali potensi perkembangan fizikal generasi yang mempunyai akses pemakanan dan rawatan terbaik telah membolehkan mereka mencapai tahap pertumbuhan optimum. Orang dewasa yang sedia ada tidak menikmati kesempatan untuk pengalaman yang sama.
...
...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment