SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, December 26, 2012

LEBIH BANYAK INSENTIF UNTUK PELAJAR JURUSAN SAINS TULEN (DECLINE IN ENROLMENTS OF SCIENCE STUDENT NEED TO BE ADDRESSED)

Kebimbangan tentang penurunan minat murid memilih jurusan sains memang sangat berasas. Insentif pelepasan cukai pendapatan persendirian sebanyak RM3,000 bagi ibu bapa yang mempunyai anak dalam jurusan sains, serta kenaikan dalam pemberian kadar biasiswa kecil persekutuan dan prauniversiti. Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 mencadangkan biasiswa kecil persekutuan dinaikkan daripada RM70 kepada RM200, manakala biasiswa prauniversiti daripada RM110 kepada RM300 sebulan, khusus untuk pelajar sains yang memenuhi syarat kelayakan biasiswa itu.

Bagi menggalakkan inovasi pembelajaran di bilik darjah, termasuk makmal, guru-guru mata pelajaran sains akan diberikan pertimbangan khas untuk laluan kerjaya yang lebih baik. Peruntukan waktu belajar mata pelajaran sains juga ditambah daripada empat waktu seminggu kepada lima waktu. Modul pembelajaran (courseware) dan kelengkapan makmal bakal dinaik taraf bagi menambah baik persekitaran pembelajaran sains tulen yang merangkumi mata pelajaran fizik, kimia dan biologi.
fakulti perubatan u m: rebutan pelajar terbaik sains

Nisbah 60:40 pelajar jurusan sains dan teknikal kepada pelajar jurusan sastera dianggap kritikal sebagai pemangkin pencapaian negara Melayu menjelang tahun 2020. Tanpa menafikan kepentingan jurusan kemanusiaan dan sains sosial, kemajuan sesebuah negara banyak bergantung kepada keupayaan teknologi gunaan termaju. Sebagai jalan tengah, pendidikan sains juga harus menerima pendedahan yang mencukupi dalam mata pelajaran kemanusiaan dan sains sosial sepertimana amalan sekolah-sekolah di Malaysia sekarang.

Di Amerika Syarikat, pelajar sains tulen dan gunaan di universiti perlu mengikuti kursus kemanusiaan dan sains sosial pada kadar 30 peratus sebelum memperoleh ijazah pertama. Pengalaman era perang dingin, dokumen A Nation At Risk dan pengamatan Alan Bloom dalam naskhah The Closing of The American Mind nampaknya cukup berpengaruh. Pendidikan liberal sedemikian didapati mustahak supaya siswazah Amerika akan bersikap terbuka dan berdaya saing, khususnya dengan negara saingan ketenteraan, serta ekonomi seperti Russia dan Jepun. 

Penurunan enrolmen untuk pelajar jurusan sains bukan sahaja berlaku di Malaysia, bahkan di seluruh dunia. Buktinya, satu kajian di Australia telah mendapati bahawa terdapat masalah dari segi tanggapan pelajar tentang aras kesukaran pembelajaran sains tulen dan prospek pekerjaan. Profesor Emeritus Dr. Peter J. Fensham dari Universiti Monash (http://www.acer.edu.au/documents/RC2006_Fensham.pdf) mencadangkan supaya kaedah pembelajaran sains di sekolah dikendalikan berdasarkan dunia sebenar dan pengalaman seharian pelajar.

Nampaknya masalah tanggapan (perception) terus membelenggu dan menghantui minda pelajar untuk membuat keputusan menjarakkan diri daripada jurusan sains. Mereka membentuk kumpulan yang sehaluan dengan pemimpin pendapat secara tidak rasmi. Hujah mereka dikukuhkan dengan kes kegagalan angkatan pelajar senior yang sengaja diperbesarkan.

Penulis blog (PB) ialah bekas pelajar jurusan sains hingga peringkat prauniversiti tingkatan enam sebelum menyertai jejak rakan-rakan baik yang sejak awal ditawarkan ke jurusan sastera. Namun, kecenderungan dalam teknik kuantitatif akhirnya membawa PB ke fakulti ekonomi yang berstatus sastera ikhtisas, iaitu bercantum dengan aplikasi kuantitatif dan dapatan penyelidikan. Barangkali pendedahan tentang contoh pelajar sains tulen dan gunaan yang berjaya ketika itu belum mencukupi atau kurang meyakinkan.

Jiwa remaja yang sensitif dan sentimental juga merupakan faktor dalaman yang harus diberi pertimbangan teliti selain pemberian insentif kepada ibu bapa dan pelajar yang memilih jurusan sains. Budak muda lebih mudah dipengaruhi oleh perkara-perkara yang pada zahirnya santai, cepat dan tidak membebankan fikiran. Maka, proses campur tangan atau intervensi seperti program pemukiman dengan tokoh sains semasa, serta inventori kaunseling mungkin boleh dirancang dengan jayanya.

Pendidikan sains tidak boleh dipisahkan daripada disiplin psikologi dan sosiologi pendidikan selain manipulasi teknologi pembelajaran terkini. Kajian tindakan guru-guru sains perlu mencari jawapan kepada soalan kajian yang menjurus terhadap psikologi remaja yang masih terumbang-ambing dalam proses membuat keputusan penting dalam kehidupan mereka. Kerjaya keguruan bukan semata-mata untuk mencari rezeki yang halal, tetapi bagi membina generasi muda yang cinta kepada ilmu, kebijaksanaan dan pembaharuan.

Kesenangan hidup yang dinikmati oleh keluarga mungkin sekali mengakibatkan pelajar remaja tidak berasa terdesak untuk belajar dengan susah payah. Kekayaan kebendaan yang dimiliki oleh tokoh perniagaan, ahli politik dan artis glamor umpama sihir yang mampu memesongkan perhatian mereka. Walaupun demikian, pencapaian hebat sains dan teknologi sejak zaman-berzaman juga boleh dipromosikan sebagai ibadah dan sisi kejayaan yang lebih unggul...

2 comments:

Anonymous said...

Bilakah kenaikkan kadar bayaran biasiswa bkp dari rm70 kepada rm200 akan dinaikkan? adakah pada thun 2013? atau untuk permohonan baru pada thun 2013?

cikgu azhar said...

keputusan hitam putih tentangnya hanya bakal diketahui apabila dokumen pelan pembangunan pendidikan 2013-2025 diluluskan oleh jemaah menteri dalam tempoh terdekat.