SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, December 16, 2012

KE MANAKAH GURU SEMASA CUTI AKHIR TAHUN? (NON-STOP OFFICIAL DUTIES THROUGHOUT THE YEAR)

Seorang pegawai tinggi kerajaan pernah memberitahu bahawa kedudukan sebagai ketua jabatan adalah lebih  mudah dan banyak masa lapang. Memang tanggungjawab yang dipikul begitu mencabar, tetapi beban tugas boleh diagih menerusi sistem pengurusan dan kawalan organisasi yang berkesan dan cekap. Sementelah, pengurusan itu sendiri membawa maksud mencapai sesuatu matlamat organisasi menerusi orang lain, maksudnya segala sumber dalaman dan luaran organisasi, khususnya subordinat.

Maka, bagaimanakah agaknya kaum guru di sekolah yang menyandang gelaran jawatan sebagai pegawai perkhidmatan pelajaran siswazah dapat mengaplikasi prinsip kepimpinan, pentadbiran dan pengurusan dalam persekitaran sekolah, sekali gus memuaskan hati semua pihak yang berkepentingan, terutama sekali murid yang menjadi alasan penubuhan sesebuah sekolah? Sebagai ahli ikhtisas, guru harus berupaya menggembleng segala input ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap yang diperoleh sepanjang tempoh latihan praperkhidmatan. Selain itu, guru perlu sentiasa peka dan bersikap terbuka terhadap kepesatan perubahan persekitaran pendidikan dengan mengambil kira amalan terbaik, serta pengalaman diri sendiri dan orang lain, lalu melaksanakan pengamatan (kajian tindakan) supaya boleh dipindahkan dalam bilik darjah sebenar.

Rutin harian guru di sekolah memang padat, khususnya kepada guru baharu dan muda yang masih dalam tahap novis. Guru harus membuat persediaan rancangan mengajar, kegiatan bilik darjah dan pentaksiran yang berterusan. Guru lama yang sudah mencapai tahan kecekapan (kompeten) mungkin kelihatan lebih santai dan banyak masa untuk bertukar-tukar fikiran (baca: berbual) dengan rakan yang lain kerana mereka sudah masak dengan isi pelajaran dan penambahbaikan pedagogi secara in-situ.

Selagi tugas pengurusan dan perkeranian masih dilakukan oleh guru, senarai kesibukan guru bertambah panjang. Guru tingkatan misalnya perlu mengemas kini buku daftar kehadiran murid, data atas talian tempatan dan berpusat, serta mengambil tahu tentang kemajuan pembelajaran dan kebajikan anak buah mereka. Selain mengajar, guru akan menyandang beberapa tugas sampingan lain yang meliputi pentadbiran am, hal ehwal murid, kokurikulum dan jawatankuasa acara rasmi sekolah.

Kebiasaannya sesebuah sekolah tidak dapat lari daripada menjadi tuan rumah sekurang-kurangnya untuk dua acara peringkat zon dan daerah. Maka, sebuah jawatankuasa bersifat ad-hoc skala besar akan dilantik secara serta-merta, sedangkan tugas yang sedia ada mesti juga berjalan tanpa gagal. Demi generasi muda, pihak sekolah dan guru menerima sahaja kehendak pendidikan walaupun bererti akan berlaku proses tarik tali supaya segala tanggungjawab memupuk pembelajaran tetap berjalan mengikut jadual.

Selain tugas asas untuk memupuk pembelajaran di bilik darjah dan di luar bilik darjah, guru juga dikehendaki menjaga kemajuan kerjaya diri sendiri. Pihak pengetua dan guru data mungkin selalu memberi peringatan, tetapi proses kemas kini data perkhidmatan dan urusan naik pangkat atas talian kini terletak kepada individu guru. Alasan tidak memiliki kemahiran komunikasi maya sudah tidak laku kerana aplikasi atas talian yang disediakan cukup mudah, iaitu dengan hanya menyentuh ikon pada paparan skrin komputer.

Jumlah hari persekolahan minimum ialah 192 - 200 hari dalam setahun setelah ditolak secara cuti hujung minggu, kelepasan am dan cuti peristiwa. Sebahagian hari Sabtu harus digunakan untuk menjayakan kegiatan kokurikulum dan latihan dalam perkhidmatan. Ketika orang kerja pejabat boleh berehat di rumah, sebahagian guru pula berada dalam persekitaran kerja yang terikat kepada tatacara operasi piawai, SOP.

Cuti singkat pertengahan penggal persekolahan boleh dianggap sebagai kesempatan yang tepat untuk para guru berdamping dengan kaum keluarga dan merancang percutian ke destinasi idaman. Keizinan lawatan ke luar negara mesti dibuat sekurang-kurangnya sebulan sebelum perjalanan, atau tiga bulan jika memilih negara berfahaman komunis seperti China dan Russia. Cuti hujung tahun selama tujuh minggu walaupun panjang, tetapi tugas yang menunggu mengakibatkan guru harus melekat di hadapan skrin komputer atau berulang alik ke sekolah sendiri atau sekolah yang lain.

Kebanyakan guru sekolah menengah terbabit dengan urusan peperiksaan awam seperti pengawasan di pusat peperiksaan, atau sebagai pemeriksa skrip jawapan calon. Peperiksaan SPM dan STPM (kohort terakhir terminal) hanya berakhir paling cepat pada minggu pertama bulan Disember. Guru berkenaan hanya mempunyai masa lebih kurang dua minggu untuk rehat sebelum dipanggil semula ke sekolah untuk pelbagai mesyuarat, urusan buku teks dan urusan dokumen pengumuman keputusan PMR.

Bagi pemeriksa kertas peperiksaan, jadual kerja mereka kira-kira sebulan lamanya mungkin bersifat anjal, tetapi  perlu sentiasa awas tahap tertinggi akan keselamatan bahan dan keakuran peraturan pemarkahan. Pemeriksa perlu menjaga mutu pemeriksaan sejajar dengan kehendak piawai menerusi pemantau ketat oleh ketua pasukan, ketua pasukan bersama dan ketua pemeriksa. Setakat ini tahap kesahan dan kebolehpercayaan pentadbiran peperiksaan awam di Malaysia sangat tinggi.

Jawatankuasa takwim sekolah tahun berikutnya telah memulakan draf asas dan dummy sejak beberapa minggu sebelum cuti hujung tahun bermula. Tugas mereka akan berlarutan hingga pertengahan Disember sehingga beres segala urusan kemas kini maklumat dan proses penjilidan naskhah berkenaan. Hanya mereka yang pernah terlibat dengan jawatankuasa takwim dapat bercerita tentang erti cuti hujung tahun yang indah!

Pegawai atasan yang menghuni bilik berhawa dingin dan kerusi empuk mungkin sudah lupa dengan pengalaman mereka sendiri sebagai guru sebelumnya. Apabila banyak kesempatan membaca dan berfikir, maka timbul idea untuk memanjangkan senarai kegiatan masa cuti hujung tahun bagi guru di sekolah. Nasib baik juga program gotong-royong perdana yang diadakan beberapa hari yang lalu bukan bersifat skala penuh kerana sebahagian besar guru baru hendak bernafas sebelum turun semula ke sekolah tidak sampai dua minggu selepas itu...

No comments: