SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, December 14, 2012

TRAVELOG KUALA SLIM: PENGAMATAN ZAHIR DAN INTUISI (STATE BORDER CROSSING)

Jika seseorang pemandu meneruskan perjalanan setelah melewati jejambat rentas rel kereta api Slim River, selang beberapa minit akan tiba di pekan kecil Kuala Slim. Belok ke kanan ladang sawit, ke kiri juga ladang sawit, tetapi bercampur dengan kampung. Terdapat label Kampung SKC (bukan sekolah kebangsaan Cina), yang hanya boleh masuk menerusi jalan ladang persendirian, Lima Blas Estate (15?) dengan kebenaran polis bantuan di pos yang disediakan.
Perkara paling menarik di Kuala Slim ialah ialah tentang sempadan negeri Perak dan Selangor yang akan ditemui beberapa kali, mungkin kerana hujung daerah Hulu Selangor berbentuk tirus. Hal itu mungkin juga disebabkan oleh laluan Sungai Bernam (gambar di atas) yang tidak lurus. Penjual pisang goreng yang ditemui menyatakan bahawa walaupun keluarganya orang Selangor, tetapi kad pengenalan mereka berdaftar di Perak (08) kerana wad bersalin hospital terdekat ialah di pekan Slim River, Perak.

Kebanyakan penduduk Hulu Selangor yang berhampiran Kuala Slim juga menganggap Slim River sebagai pekan mereka, termasuk dalam urusan rasmi seperti pendaftaran kelahiran, persekolahan dan pembelian keperluan harian. Kes mereka tidak ubah seperti penduduk Cameron Highland yang lebih biasa berurusan di Ipoh dan Tapah, berbanding dengan bandar-bandar di pahang sendiri. Pengumuman hari raya awal sehari di negeri Perak semasa zaman Sultan Idris Shah dahulu menjadi kenangan manis kepada penduduk sempadan negeri berkenaan justeru hanya sebatang sungai yang sempit memisahkan sambutan hari raya.
Sebuah jambatan kayu yang agak uzur juga menjadi penghubung antara sempadan negeri untuk ke ladang Lima Blas dan seterusnya Kampung SKC. Permintaan penduduk untuk mendapatkan jambatan yang lebih kukuh dan selamat menempuh jalan sukar kerana laluan berkenaan pun atas ehsan pihak ladang. Setakat ini  jambatan uzur yang pernah mendapat liputan akhbar Harian Metro edisi wilayah itu masih mampu menampung beban lori hantu mengangkut kelapa sawit yang bertan-tan beratnya.

Perjalanan seterusnya menuju ke Kampung SKC memang sempit, iaitu sekadar selesa untuk sebuah kenderaan. Jika berselisih, sebuah kenderaan perlu mengalah ke tepi terlebih dahulu, senyum dan angkat tangan. Namun, bilangan kenderaan tidaklah terlalu banyak kerana perlu melepasi pos kawalan polis bantuan seperti yang disebutkan tadi.

Seorang penduduk Kampung SKC mendakwa urus niaga kelapa sawit penduduk kampung mencecah RM2 juta setahun. Dia sendiri menunggal motosikal ala Vespa yang dibeli dengan harga RM800, tetapi masih cantik dan bergaya. Rumah penduduk berkenaan terletak di satu kawasan perumahan awam teres yang penuh dengan bendera pelbagai parti politik tanah air.
Pada sebelah petang jika tidak hujan, di kiri kanan jalan akan dikunjungi gerombolan monyet liar yang cuba meraih simpati orang ramai supaya memberi mereka makanan. Pelbagai aksi lucu binatang kaki empat itu dapat disaksikan. Namun, cermin kereta hanya boleh diturunkan sedikit ketika mencampak makanan dan terus ditutup selepas itu bagi mengelakkan risiko monyet menerpa masuk ke dalam kenderaan.

Di sebatang jalan yang baru dinaik taraf, tetapi belum diwartakan terdapat dua orang remaja yang sedang mencuba aksi wheeli dan rempit asas. Mereka nampak berhati-hati mungkin kerana khuatir akan dilaporkan kepada pihak polis, lalu terpaksa bermalam di sel lokap balai polis Slim River. Masih banyak projek pembangunan sedang rancak disiapkan di daerah sempadan dua negeri Perak dan Selangor itu...

No comments: