Hingga ke hari ini, mata pelajaran Matematik Tambahan masih dianggap sukar oleh kebanyakan murid tingkatan 4 dan 5. Bilangan calon SPM yang memperoleh gred A+ dalam kertas berkenaan dianggarkan hanya 10 hingga 20 peratus berbanding dengan Matematik (Moden). Malah, terdapat calon SPM cemerlang dalam Matematik, tetapi kecundang dalam Matematik Tambahan.
Belajar Matematik Tambahan sepatutnya menarik dan menyeronokkan dan bukan suatu penyeksaan. Malangnya, sebahagian besar murid terkial-kial untuk menguasai kecekapan Matematik Tambahan yang banyak menggunakan simbol aksara (
x,
y) sebagai ganti angka biasa (
numerik). Murid mesti cekap dalam penggunaan simbol kalkulus supaya tumpuan untuk hitungan abstrak (bukan angka) dapat diselesaikan.
Sebagai contoh, prinsip umum pembezaan/pengkerbedaan (differentiation) mudah ialah xn, dy/dx = nxn-1. Maka, jika y = x4, dy/dx = 4x3
Jika y = x5 + 2x-3, dy/dx = 5x4 - 6x-4
Jika terdapat pemalar (konstan) yang diwakili oleh k, contohnya y = kxn, maka dy/dx = nkxn-1
Pengkamilan (integral, integration) pula diwakili oleh simbol seperti di bawah:
f (x) dx
Persepsi murid tentang tahap kesukaran belajar Matematik banyak dipengaruhi oleh gaya penyampaian guru. Guru Matematik Tambahan harus kelihatan bersungguh-sungguh untuk menolong murid dan bersabar atas kelambatan mereka yang seperti terpinga-pinga dengan penggunaan simbol sebagai ganti numerik. Walaupun peruntukan jadual waktu hanya 4 kali pertemuan, guru Matematik Tambahan wajib memberi pendedahan tentang kemahiran generik pembelajaran kuantitaif bersifat abstrak, di samping menggalakkan proses pengajaran sebaya dalam kalangan murid.
Zaman penulis blog (PB) belajar Matematik Tambahan, buku teks yang digunakan ialah tulisan Profesor Dr. Tan Wang Seng dari USM. Guru yang mengajar ialah Pak Jusuf yang didatangkan khas daripada Indonesia. Ketika itu barangkali tidak banyak sinetron ditayangkan di kaca televisyen, maka laras bahasa yang digunakan oleh Pak Jusuf terasa janggal sekali.
Suatu hari PB dan rakan terlewat tiba di sekolah kerana basikal mengalami kerosakan. Jadi, apabila diberitahu Pak Jusuf mengulang sebut, "spedar rosak?" Apa lagi, bagai hendak pecah seisi kelas justeru menyangka Pak Jusuf menyebut 'spendar' (seluar kecil!).
Apabila PB masuk ke tingkatan 6 Rendah Sains, guru Matematik Tulen (T) ialah Cik Chan Yoke Chee yang kemudian sama-sama mengajar dengan PB di sekolah menengah teknik di Ipoh. Sebagai siswazah universiti tempatan, laras bahasa yang digunakan lebih serasi. Namun, daya tarikan rakan karib di jurusan sastera menyebabkan PB beralih haluan setelah hampir dua bulan di jurusan sains yang begitu glamor.
Apabila PB diterima masuk ke fakulti ekonomi, matematik tambahan muncul semula. Selain dua kertas matematik dan dua kertas statistik yang bertaraf wajib lulus, hampir semua kursus yang diikuti harus mengaplikasi kaedah kuantitatif dalam matematik tambahan. Sesiapa yang cekap matematik tambahan, dia tidak menghadapi masalah besar di fakulti ekonomi.
Kursus seperti pengajian perniagaan, psikologi, sains aktuari, geografi dan gunaan juga memberi kelebihan kepada pelajar yang memiliki latar belakang matematik tambahan. Kalau kursus sains tulen atau sains gunaan (kejuruteraan, ukur bahan dan seni bina) memang tidak dapat dielak lagi. Matematik Tambahan boleh disfatkan sebagai ilmu bantu yang penting kepada kursus bukan matematik sama ada di fakulti sains atau di fakulti kemanusiaan.
Murid mungkin belum cukup yakin untuk mencatat keputusan terbaik untuk Matematik Tambahan, tetapi mereka tidak boleh membencinya sama sekali. Paling tidak, murid mesti dibimbing supaya mengenal pasti istilah dan rumus asas dalam pembelajaran Matematik Tambahan. Tugas guru matematik tambahan ialah mencari jalan (menerusi pengalaman diri sendiri dan pengalaman orang lain, kajian tindakan) supaya murid terus berada dalam radar pembelajaran, serta tidak tercampak ke dalam zon penolakan.
Keengganan budak generasi Y pening kepala untuk bersusah payah belajar matematik tambahan hendaklah digantikan dengan harapan dan impian yang indah-indah. Jika guru matematik tambahan tidak dapat berfikir sendirian, idea pembaharuan pembelajaran boleh dibincangkan dalam mesyuarat panitia. Tugas insan ialah terus berusaha dan cuba melakukan yang terbaik, manakala hasilnya tawakal sahaja...
2 comments:
Salam Cg, alhamdulilah setuju benar dgn cara pemikiran cg luahkan. Sebenarnya ianya bermula dgn pendapat dari kalangan guru-guru lain sendiri yg memberi impak pertama kpd murid bahwa addmath tu susah berdasarkan pengalaman belajar dulu yg tak seberapa kental. Impak negatif itu telah menjadi mental blok
kpd murid, bila ditanya pendapat majoriti guru masih mencorakkan sikap negatif...susah aje. Belum lg belajar dah tahu susah aje dlm pemikiran mrk. 2.Kurangnya Sokongan tanpa had yg kuat dari guru. Bila murid ada masalah dgn latihan, susahnya nak dpt s.o.s.
Jadi, kena ubah sikap & persepsi guru-guru subjek lain dulu kpd addmath ni,dan mudahcara murid utk dpt bantuan dlm apa jua keadaan di seluruh sekolah di negara tercinta ini. Pupuk sikap mudah & seronok kpd murid dgn cth2, bhw addmth sama aje dgn math biasa, faham peta konsep,tajuk dan tekun buat latihtubi, tiada jln singkat utk berjaya! Rahsia Teknik A+, bukan lg rahsia, hanya usaha gigih,cekal,tabah akan berjaya!
Ayuh..mari kita main dgn sungguh2.
Wahai Cg-cg, bantulah tiap2 murid tuan2utk berjaya merancang corak pembelajaran, kasihanlah mrk yg ramai perlu bimbingan tuan2, insya Allah niat ikhlas tuan2 akan menjadi... ilmu manafaat yg ganjarannya tetap mengalir wlpn tuan2 sudah kembali ke barzakh!! Wslm
Salam Tuan Sharif Abdullah
Jazakallahu khairan atas maklum balas yang amat bernas. Semoga tuan diberi kekuatan oleh-Nya untuk mereka bentuk modul peranan guru, ibu bapa dan murid bagi menghargai warisan ilmu yang pernah dicetuskan oleh ulama seperti al-Jabar (teori algebra)dan al-Khawarizmi (teori logarithm) yang menjadi asas penting ilmu matematik tambahan.
Mudah-mudahan usaha tuan diberi ganjaran yang berlipat kali ganda di sisi Allah jua ...
Post a Comment