Tuesday, April 8, 2014
PENGALAMAN SEBAGAI PENGHUNI KOLEJ KEDIAMAN UNIVERSITI (CAMPUS HOUSE)
Permohonan untuk ke sekolah teknik selepas keputusan Sijil Rendah pelajaran (SRP, setara dengan PMR, PT3) disekat oleh pihak sekolah untuk mengekalkan murid berpotensi hingga tingkatan 5. Percubaan memohon masuk ke asrama sekolah juga ditolak atas alasan jarak rumah ke sekolah hanya dalam lingkungan enam kilometer sahaja. Maka, kena terus mengayuh basikal sehingga tamat pengajian tingkatan enam atas.
Keadaan berubah sebaik sahaja mendaftar sebagai mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor. Tanpa perlu membuat permohonan, penulis blog (PB) terus ditempatkan di Kompleks Siswa (Komsis) A, kini Kolej Dato' Onn. Selama dua tahun berturut-turut PB di sana sebelum berpindah ke Komsis E (Ibrahim Yaakub) pada tahun ketiga dan keempat.
Komsis A dikenali sebagai kubu kuat 'parti' Tindakan Siswa Bersatu (TSB) yang bersaing kuat dengan Angkatan Tindakan Mahasiswa (Atma) bagi merebut kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang mengisi tampuk kepimpinan Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM). Sebagai pelajar fakulti ekonomi, PB lebih banyak bergaul dengan penyokong TSB walaupun dalam masayang sama bersahabat juga dengan penyokong Atma daripada fakulti lain. Prinsip seorang musuh lebih ramai daripada seribu orang sahabat lebih baik dipegang walaupun berisiko untuk dianggap sebagai gergaji dua mata.
Mengikut sejarahnya, pada peringkat awal semua penghuni kolej makan dan minum di dewan makan menerusi potongan dermasiswa atau biasiswa masing-masing. Menu dan sajian makanan yang ditetapkan perlu dipatuhi oleh kontraktor yang memenangi tender. Akibat satu peristiwa pemulauan oleh penghuni kolej kediaman, sistem dewan makan ditukar kepada konsep kafetaria, iaitu ada duit ada makan!
Maka, kesan jangka panjang tindakan mahasiswa ketika itu ialah banyak mahasiswa yang terpaksa ikat perut, lapar dan 'kebuluran'. Ada yang hanya membeli nasi bungkus dan kuah kari pada pukul 11.00 pagi sebagai sarapan lewat merangkap makan tengah hari. Sebelum Maghrib, buat sekali lagi seperti itu.
Kalau sanggup berpakat, dua orang mahasiswa berkongsi membeli nasi, kuah dan seekor ikan goreng, kemudian dikongsi untuk dua kali makan. Keadaan itu berlaku apabila pembiayaan biasiswa atau dermasiswa belum masuk akaun, atau tersalah anggaran perbelanjaan. Kawalan terpaksa dilakukan dengan menyediakan buku 555, bukan untuk hutang tetapi catatan baki wang yang semakin susut hari demi hari.
Kesibukan kuliah, tutorial dan membuat rujukan di perpustakaan mengakibatkan kain baju yang direndam dalam baldi di bilik air mengeluarkan bau yang 'harum semerbak'. Namun, masing-masing sudah mangli kerana deria hidu sudah mengalami 'mutasi' yang luar biasa! Terdapat mahasiswa yang memiliki hanya tiga pasang pakaian yang digilirkan setiap hari.
Penghuni kolej kediaman bagaikan orang miskin yang tidak disedari oleh sesiapa. Mereka hidup di bawah paras kemiskinan tegar dan hanya mampu berdoa semoga terus diberi kekuatan untuk bertahan sebagai lelaki 'macho' dan wanita 'control ayu', hehehe. Hendak mengadu kepada ibu bapa pun terasa berat juga justeru masih ada beberapa orang adik yang bersekolah.
Apabila berpindah ke komsis E dan berjaya mendapat tempat di pangsa siswa keadaan pun berubah. Mahasiswa dibenarkan memasak, menyewa peti ais dan menggunakan meja makan yang disediakan. PB berkongsi memasak dengan 9 orang rakan lain dengan perbelanjaan purata RM50 sahaja seorang bagi tempoh sebulan. Masalah kewangan menjadi ringan, malah boleh pula memanggil kawan yang masih kesempitan untuk makan bersama secara gratis (tanpa bayaran).
Masalah di kolej kediaman universiti ialah sikap mementingkan diri sendiri, misalnya bunyi radio kaset yang kuat, menggunakan peralatan elektrik yang dilarang seperti pemanas air bergelung (water heater) hingga mengakibatkan kebakaran dan sebagainya. Kelebihan sebagai penghuni kolej kediaman universiti ialah kemudahan surau yang selesa dan banyak pengisian antara solat Isyak dan Maghrib. Pada waktu solat Subuh Jumaat, mahasiswa yang hafaz surah Sajdah akan ditolak ke hadapan menjadi imam ...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment