SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, April 20, 2014

HAJI IDRIS PENGARAH JPN PERAK MULAI 9 APRIL (PATIENCE AND PERSISTENCE LADDER TO SUCCESSFUL EDUCATIONAL LEADER)

Berkat kesabaran dan istiqamah, akhirnya Tuan Haji Mohd. Idris bin Ramli dilantik sebagai pengarah pendidikan negeri Perak yang baru. Beliau telah menjadi timbalan pengarah sejak zaman Datuk Mohd Rauhi lagi, dan kekal demikian hinggalah Tuan Haji Mohd. Roli bersara pada bulan Mac yang lalu. Haji Idris pernah memangku jawatan pengarah JPN Perak selama hampir setahun sebelum kembali sebagai timbalan pengarah. 

Banyak yang menjangka bahawa Haji Idris mungkin bersara sebagai timbalan pengarah sahaja sehingga penghujung tahun ini, tetapi rezeki nyata berpihak kepada beliau. Kesetiaan dalam tugas tanpa mengira balasan menggambarkan keperibadian yang mulia walaupun pernah teruji dengan kes Dipang semasa berada di kerusi ketua sektor suatu ketika dahulu. Pengalaman sebagai pengetua sebelumnya telah memberi kekuatan kepada Haji Idris untuk menghadapi detik genting dalam meniti puncak kepimpinan pendidikan.

Haji Idris mudah mesra dan tidak kekok menyapa subordinat beliau terlebih dahulu. Namun, Haji Idris sangat tegas dalam perkara yang berkaitan dengan prinsip dan tugas, serta begitu teliti dalam pemilihan calon jawatan kanan pendidikan di negeri Perak. Contohnya, dalam sesi temu duga calon rakan penambahbaikan sekolah (school improvement partnerSIP +) dan jurulatih pakar pembangunan sekolah (school improvement specialist coachesSISC +) yang ditempatkan di setiap daerah, Haji Idris melontarkan soalan yang bersifat provokatif, tetapi merupakan tapisan penting kewibawaan pegawai yang bakal dilantik.
Haji Idris menerima cenderamata daripada Haji Hashim, pengetua Star
dalam majlis anugerah kecemerlangan  kali ke-54 sekolah berkenaan

Walaupun tidak diucapkan, prinsip pegangan Haji Idris begitu jelas dalam pelaksanaan amanah dan tugas sejak bergelar guru penolong. Sebagai guru Bahasa Melayu, Haji Idris terbabit aktif dengan proses pentaksiran peringkat kebangsaan dalam mata pelajaran berkenaan. Beliau pernah menjadi orang kanan Datuk Rauhi bagi membantu Lembaga Peperiksaan Malaysia menguruskan hal ehwal pentaksiran bahasa.

Prinsip Haji Idris mungkin sekali sejajar dengan semangat peribahasa 'alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan'. Beliau mahukan pencapaian optimum dalam tugas dan tidak suka membiarkan sesuatu kerja yang diamanahkan itu terbengkalai separuh jalan. Perbezaan pendekatan atau kontroversi tidak menjadi halangan untuk menyempurnakan amanah dan tugas.

Kerusi pengarah JPN Perak bukan sekadar panas, malah berhadapan dengan harapan dan impian besar. JPN Perak pernah sinonim dengan slogan 'Perak Nombor Satu' (era Datuk Abdul Rahim bin Abdul Majid) yang lebih menyerlah dalam bidang kokurikulum. Dengan komposisi latar belakang sosioekonomi murid yang rencam, kedudukan nombor satu dari segi akademik peringkat kebangsaan memang ibarat mahu menggapai bintang nan tinggi. 

Kini, Haji Idris berpeluang memindahkan prinsip amanah dan tugas beliau dalam usaha pembaharuan dan penambahbaikan pencapaian pendidikan di negeri Perak. Di tangan beliau, JPN Perak, serta seluruh warga pendidikan negeri meletakkan harapan dan impian yang tidak kunjung padam. Rapport yang terjalin sekian lama antara Haji Idris dengan warga JPN, PPD dan sekolah di negeri Perak dijangka memberi kelebihan ke arah itu.

Warga pendidikan negeri Perak mengalu-alukan pelantikan Tuan Haji Mohd. Idris bin Ramli sebagai pengarah JPN Perak yang baru. Semoga tuan dikurniakan segala kekuatan dalam memacu kecemerlangan pendidikan di negeri Perak. Kepimpinan tuan yang ikhlas memberi cahaya yang cemerlang, insya-Allah ...

No comments: