Wednesday, April 9, 2014
JALUR ILMIAH DALAM KARYA 'PICISAN' (SHIFTING THE BURDEN OF THINKING)
Jika seseorang awam disuruh membaca bahan berat seperti jurnal penyelidikan, buku teks atau laporan perangkaan, banyak yang akan mengangkat bendera putih tanda enggan berbuat demikian. Namun, jika diberikan surat khabar atau majalah yang menjurus kepada genre penulisan popular, mereka sanggup menghabiskan masa berjam-jam lamanya atas dorongan ingin tahu tentang perkara yang bersabit dengan kecenderungan manusia (human interest). Kebanyakan orang cenderung untuk mengisi masa senggang dengan kegiatan yang ringan dan santai, iaitu tidak mahu fikiran berserabut dengan ayat-ayat tahap tinggi.
Ahli akademik di universiti pun mengehadkan pembacaan bahan berat dalam pejabat masing-masing atau dalam majlis yang bersifat rasmi. Jika mereka ke kantin, mereka akan berborak seperti orang awam yang lain merujuk isu semasa yang hangat disebarkan oleh media tradisional dan media sosial maya. Derai ketawa mereka lebih lantang daripada suara pelajar yang 'pura-pura' mengawal macho masing-masing.
Walaupun kegiatan berfikir secara serius dianggap membebankan otak, hanya dengan berfikir seseorang itu dapat membuat keputusan yang tepat, menentukan tindakan yang wajar dan bertemu dengan kebenaran yang hakiki. Seseorang itu mungkin sangat sibuk dengan urusan duniawi sehinggalah dia digesa berfikir sejenak tentang tujuan dia menjadi begitu. Individu yang lain pula asyik bercakap tentang makan minum sahaja tanpa menyedari keperluan tubuh badan dan kerohanian yang lain.
Memang mudah untuk melabel golongan yang enggan berfikir sebagai dijangkiti sindrom kelesuan minda, gelojoh, melulu dan jahil. Hakikatnya ialah fakulti berfikir mereka sedang tidur nyenyak, lalu perlu ada cara yang sangat bijaksana untuk menggerakkan mereka supaya menjadi aktif dan bertenaga. Kalau terlalu lama berehat, suatu ketika akan lebih cepat karat (too rest is to rust).
Apabila akses pendidikan semakin meluas, penulisan bahan bacaan ringan mula menerima sentuhan kosa kata dan gambaran peristiwa yang lebih rencam. Pembaca sasaran sudah biasa dengan laras ayat yang lebih tinggi kerana mereka terdedah dengan kegiatan pembelajaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Maka, niat mereka membaca untuk suka-suka atau melepaskan tekanan dapat dimanipulasikan dengan penerapan idea dan pemikiran yang lebih mencabar.
...
...
...
...
...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment