SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, December 29, 2014

KISAH BANJIR SERLAH KEUTUHAN KAKITANGAN AWAM (MERE HONESTY AND INTEGRITY)

Tanpa maksud untuk masuk bakul angkat sendiri atau bajak wangkang, tulisan ini sekadar memberi penghargaan kepada sesama rakan perkhidmatan awam yang sanggup mengutamakan kepentingan umum daripada kepentingan persendirian walaupun mereka sendiri menyimpan gundah gulana di dalam jiwa. Seorang guru di Kemaman berkorban jiwa dan raga demi melaksanakan tugas peperiksaan sehingga hujung nyawa. Para doktor dan kakitangan hospital di Kuala Krai berusaha sedaya upaya merawat pesakit dalam keadaan serba kekurangan dengan hanya bergantung kepada bantuan generator dan bekalan makanan apa adanya.

Arwah Cikgu Nurhayati Sulong yang ditemani suami, arwah Suhaimi dilaporkan sedang menunaikan amanah menanda skrip kertas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila menyedari air naik dengan deras. Beliau dengan cepat meletakkan semua dokumen peperiksaan di tempat tinggi yang selamat, serta memaklumkan hal itu kepada salah seorang anggota keluarga (kakaknya). Peristiwa yang menimpa arwah berdua selepas itu sangat menyentuh perasaan.

Kerajaan negeri Terengganu telah bersetuju mengambil enam orang anak arwah suami isteri yang berusia antara empat bulan hingga 12 tahun sebagai anak angkat (klik di sini). Jabatan Pelajaran Terengganu juga dilaporkan akan memberi penghargaan khas kepada keluarga arwah Cikgu Nurhayati. Sesungguhnya pemergian mereka bakal terpahat pada tinta sejarah pendidikan dengan iringan doa agar mereka damai di sana dalam kalangan insan soleh, amin.

Sementara itu, ketua pengarah kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah menerusi catatan facebook beliau berkongsi pengalaman beliau menyaksikan sendiri pengorbanan doktor dan kakitangan Hospital Kuala Krai yang bersama pesakit selama lima hari siang dan malam tanpa bekalan elektrik dan air (klik di sini). Kepenatan jelas terbayang di wajah 180 warga Kementerian Kesihatan di situ, tetapi mereka masih bertahan. Nasib keluarga dan harta benda yang ditinggalkan sebelum banjir tidak diketahui khabar berita kerana isyarat telekomunikasi yang turut terjejas.

Kedua-dua kisah tersebut sepatutnya memberi gambaran yang jelas kepada masyarakat akan persekitaran kerja kakitangan awam, serta bukti bahawa sesungguhnya mereka begitu iltizam terhadap ikrar perkhidmatan dan prinsip keutuhan (integriti). Cakap-cakap bahawa kakitangan awam banyak goyang kaki dan curi tulang hanyalah sisi negatif yang mewakili kelompok pinggiran dan terpencil. Bencana alam yang berlaku menunjukkan bahawa kakitangan awam sanggup bergadai jiwa dan raga demi menunaikan amanah yang dipikul bukan sahaja sesama manusia, bahkan lebih penting lagi perintah Allah dan rasul-Nya supaya pekerja tidak akan lari daripada majikan (tugas) walaupun tanpa diawasi secara bersemuka.

Pasukan bantuan dan penyelamat, khususnya anggota bomba dan penyelamat, polis dan tentera juga sanggup meninggalkan rumah yang selesa dan keluarga yang tercinta demi menyahut panggilan tugas berskala krisis. Dalam usaha membantu dan menyelamat mangsa banjir, mereka sendiri tidak terlepas daripada risiko keselamatan diri, bahkan juga risiko kehilangan nyawa. Maka, di samping kepakaran dan input latihan yang dimiliki, mereka secara tuntas bergantung kepada perlindungan Yang Maha Esa jua.

Para cendekiawan dan profesor di menara gading yang memiliki pengamatan yang tajam juga bersengkang mata mentelaah jurnal penyelidikan tentang bencana alam demi lontaran saranan yang jitu, lengkap dan munasabah. Mereka mungkin dianggap berkurung sambil melayan khayalan akademik di kamar berhawa dingin, tetapi secebis buah fikiran bijak pandai yang cermat dan ikhlas mengatasi jutaan pendapat yang tidak teratur dan merentas sempadan zaman. Imbuhan yang dinikmati dari segi kewangan dan kemudahan tidak sehebat pendapatan usahawan berjaya atau ahli ikhtisas yang lain, namun mereka tetap setia dengan rutin kuliah dan penyelidikan kesarjanaan.



Demi kepentingan perkhidmatan atau keperluan awam yang mendesak, cuti kakitangan awam boleh dibekukan pada bila-bila masa. Sebagai insan biasa, di dalam hati kakitangan yang terbabit mungkin terlintas perasaan yang tertentu, tetapi mereka tidak sampai hati untuk berlaku ingkar dengan mencipta seribu satu alasan. Mereka akur bahawa sudah rezeki mereka dalam perkhidmatan awam yang dibayar imbuhan emolumen atas terma rujukan tugas yang telah ditandatangani.

Kini, orang ramai boleh berharap bahawa kakitangan awam di negara kita berpegang kepada prinsip kecemerlangan dalam perkhidmatan. Khilaf dan kekurangan mungkin berlaku dari masa ke masa, tetapi proses pembaharuan dan penambahbaikan tidak pernah diabaikan. Tambahan pula, nurani kakitangan awam dibimbing menerusi kepintaran individu dan kumpulan dalam sebuah entiti besar yang sentiasa diperhatikan oleh semua pihak yang berkepentingan.

Sekelumit sanjungan terhadap kakitangan awam sebentar sahaja ini tidak melekakan kita bahawa musibah banjir belum berakhir. Gandingan antara semua pihak sama ada cerdik pandai, dermawan, kakitangan awam, pemimpin politik dan sosial, pertubuhan sukarela mahupun masyarakat kebanyakan sudah pasti memudahkan proses bantuan dan menyelamat terhadap mangsa banjir. Semoga Allah memberi ganjaran yang tidak terhingga kepada semua pihak yang bertungkus-lumus dalam menangani keperluan mangsa bencana alam yang sedang melalui ujian yang berat itu secara berjemaah, amin ...

1 comment:

Axis Capital Holdings Limited said...

Asa syarikat pinjaman pinjaman bersedia untuk meminjamkan mana-mana jumlah yang anda perlukan untuk memulakan perniagaan peribadi anda. kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%, juga jika anda ingin membeli rumah di atas ansuran bulanan kita juga boleh menjual rumah untuk anda. supaya Sila memohon pinjaman pertanian pertanian. jika anda memerlukan hubungan pinjaman e-mel kami: asaloantransfer@gmail.com, anda juga boleh menghubungi e-mel ini: finance_institute2015@outlook.com, Mungkin ada banyak sebab mengapa anda perlu akses kepada beberapa wang tunai tambahan - daripada yang tidak dijangka pembaikan kereta atau rumah untuk membayar perkahwinan anda atau cuti khas. Tetapi apa sahaja yang anda memerlukannya, apabila anda meminjam antara $ 5,000 USD untuk 100,000 USD di atas.

pengkhususan Syarikat.
1) Kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%.
2) Kami juga boleh membeli sebuah rumah pilihan anda dalam mana-mana lokasi pilihan anda.