SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, March 8, 2011

HARI WANITA SEDUNIA: SIGNIFIKAN DAN HARAPAN (CENTENARY INTERNATIONAL WOMEN'S DAY)

Hari Wanita Sedunia mula dimasukkan dalam kalendar Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mulai tahun 1975. Namun, di Eropah Hari (Pekerja) Wanita disambut lebih awal, iaitu pada tahun 1911 menerusi Pengisytiharan Copenhagen. Penduduk wanita di China, Madagascar dan Nepal diberi cuti khas, manakala negara seperti Afghanistan, Belarus dan Turkmenistan menjadikan Hari Wanita sebagai cuti umum.

Tema sambutan Hari Wanita PBB 2011 ialah Equal Access to Education, Training, Science and Technology: Pathway to Decent Work for Women. Masih terdapat sebilangan besar penduduk wanita di negara-negara yang mundur menafikan hak kaum wanita untuk menuntut ilmu dan bekerja. Hakikatnya isu diskriminasi dan eksploitasi wanita masih berleluasa, termasuk di negara-negara maju. 

Kaum wanita di Malaysia telah lama menikmati kemuliaan dan penghormatan yang selayaknya dalam masyarakat. Pendapat bahawa kaum wanita hanya sesuai mengendalikan kerja di ceruk-ceruk dapur sudah lama berlalu. Generasi yang menghalang budak-budak perempuan daripada bersekolah juga sudah tiada lagi.

Wanita yang tidak berilmu akan lebih tertindas dan dizalimi. Malah, banyak urusan kritikal seperti rawatan perbidanan dan sakit puan tidak berada dalam penguasaan kaum wanita sendiri akibat halangan yang dikenakan untuk belajar di sekolah, dan seterusnya fakulti perubatan. Ruang penganiayaan terbuka luas akibat kejahilan masyarakat tentang hak dan status kaum wanita yang sangat tinggi dalam pencapaian tamadun manusia.

Socrates, ahli falsafah awal Yunani pernah menyifatkan wanita sebagai punca segala kekacauan dan gangguan di dunia (Raja Rohana Raja Mahat, disertasi Sarjana Undang-undang, University of Kent Canterbury,1991). Muhamad Zuhair Ibrahim Khalidi (disertasi Ph.D 1977, Indiana University, USA) pula mendapati berlaku kesilapan generalisasi bahawa Islam menetapkan wanita hanya berperanan di rumah, manakala kaum lelaki berperanan di dunia luar. Sepatutnya peranan lelaki dan wanita ialah saling melengkapi, bukan diskriminasi atau bersaing secara tidak sihat.

Perlindungan yang diberikan kepada kaum wanita juga tidak bermakna bahawa telah berlakunya pengasingan jantina, atau tersekatnya kebebasan. Konsep kebebasan itu sendiri sangat dipengaruhi oleh budaya dan persekitaran sesebuah masyarakat. Pergerakan feminisme atau emansipasi wanita di Barat tentulah tidak cocok memandangkan tunjangnya ialah sekularisme dan bebas nilai (atau babas nilai?).

Dalam masyarakat dahulu kala, kedudukan wanita ialah taraf sorotan (derived status), iaitu bersandar kepada pencapaian kaum lelaki dominan dalam keluarga, bukan kerana pencapaian wanita itu sendiri. Maka, kaum wanita hanya boleh berbangga menjadi anak bangsawan, isteri orang berpangkat, atau ibu usahawan. Kaum wanita sentiasa diingatkan betapa mereka serba kekurangan, serta perlu bergantung kepada lelaki (Azizah Kassim, 1985:6).

Keadaan telah banyak berubah. Kaum wanita yang memiliki akses terhadap pendidikan boleh mengasuh anak-anak mereka, sama ada lelaki mahupun perempuan supaya tidak lagi terikat dengan pembahagian tugas yang keterlaluan antara jantina. Sementara wanita masih perlu meneruskan fungsi biologi reproduksi, kalangan yang berkebolehan boleh sahaja diberi peranan besar dalam struktur masyarakat.

Kemajuan teknologi jaringan maklumat secara maya telah membuka ruang kepada kaum wanita bagi menikmati proses pembelajaran sepanjang hayat, from the cradle to the grave, min'al-mahdi ila'l-lahdi. Urusan intelektual, keusahawanan dan kepakaran rundingan boleh dilakukan dari rumah tanpa perlu berpisah dengan seisi keluarga. Wanita boleh melakukannya asalkan istiqamah (konsisten) dalam menjaga maruah diri, keluarga, masyarakat, negara dan umat...

1 comment:

akubiomed said...

Selamat menyambut Hari Wanita Sedunia. Kasih sayang dan bakti yang dicurahkan tidak ternilai