Dewa pun duduk ia bercerita,
Asal mulanya dapat sengsara,
Oleh disakitkan saudara,
Setahun sudah di dalam penjara.
Dewa menceritakan punca dia sengsara (menderita) akibat perbuatan saudaranya sehingga terpaksa meringkuk di dalam penjara setahun lamanya.
Sekalian habis diceritakan,
Suatu tidak dilindungkan,
Terlalu belas naga mendengarkan,
Diambil gemalanya lalu diberikan.
Setelah semuanya diceritakan tanpa selindung, Naga berasa sangat belas (kasihan) hingga bersedia memberikan gemala (hikmat) kepada Dewa.
Ambillah tuan muda bestari,
Gemala ini nenek memberi,
Harganya itu tujuh buah negeri,
Apa kehendak keluar sendiri.
Dengan membahasakan dirinya nenek, naga menyerahkan gemala sambil mengatakan bahawa nilainya umpama tujuh buah negeri dan segala permintaan akan tertunai serta-merta.
Jikalau orang terkena bisa,
Airnya sapukan beri berasa,
Jika ditolong Tuhan Yang Esa,
Dengan seketika beroleh sentosa.
Naga memberi contoh bahawa jika seseorang terkena bisa, sapukan airnya hingga berasa (atau diberi minum sedikit). Insya-Allah, dengan Izin-Nya, sembuhlah dia.
Atau cucuku hendak berperang,
Di dalam gua keluarlah orang,
Beribu keti keluarlah orang,
Dua belas hulubalang yang garang-garang.
Jika Dewa berperang, dia boleh mendapatkan khidmat beribu-ribu orang tentera dan 12 orang hulubalang yang gagah perkasa daripada gua (gemala hikmat).
Setelah dewa mendengarkan kata,
Terlalu suka di dalamnya cita,
Lalu bermohon keduanya serta,
Menuju jalan tanahnya rata.
Dewa berasa sangat gembira mendengar kata-kata naga. Mereka kemudian saling meminta diri (pamit) ke arah jalan tanah yang rata.
Berjalan ia berdua bersaudara,
Mengikut pantai tepi segara,
Siang dan malam tiada antara,
Terus ke negeri Inderanegara.
Dewa berjalan tanpa menghitraukan siang dan malam menuju negeri Inderanegara dengan menelusuri pantai di tepi laut.
Setelah sudah paginya hari,
Sampailah ia ke hujung negeri,
Bertemulah rumah sebuah berdiri,
Rumah kebayan orang yang bahari.
Akhirnya pada suatu pagi, Dewa sampai ke hujung negeri dan menemukan sebuah rumah yang dihuni oleh kebayan yang elok (bahari).
Tema: Pertolongan terhadap pihak yang teraniaya
Perwatakan:
i) Dewa: berterus terang, tabah, bersungguh-sungguh (cekal)
ii) Naga: baik hati, simpati, pemurah, ikhlas
Nilai: Kecekalan, ketabahan, kesungguhan, keikhlasan, kejujuran, kasih sayang
Persoalan:
1 Berterus terang kepada pihak yang sesuai / dipercayai
2 Ketabahan dalam menghadapi cabaran hidup / penganiayaan
3 Kecekalan / kesungguhan dalam mencapai tujuan yang dihajati
4 Keikhlasan dalam menolong pihak yang teraniaya
5 Kejujuran dalam menghulurkan pertolongan
6 Kasih sayang antara sesama makhluk Tuhan
Pengajaran:
1 Kita hendaklah berterus terang kepada pihak yang sesuai / dipercayai
2 Kita hendaklah tabah dalam menghadapi cabaran hidup / penganiayaan
3 Kita hendaklah cekal / bersungguh-sungguh dalam sesuatu kerja
4 Kita hendaklah ikhlas / jujur dalam menghulurkan pertolongan
5 Kita hendaklah menyayangi sesama manusia
Perbincangan kbkk:
1 Cara mengenal pasti orang yang boleh dipercayai: menerusi komunikasi bukan lisan / bahasa badan
2 Cara menolong orang yang teraniaya: berdasarkan keupayaan diri / dapatkan bantuan pihak lain
3 Mengapakah kesungguhan menjadi penentu kejayaan?: kesungguhan ialah penggerak sesuatu usaha
4 Mengapakah perlu ikhlas / jujur dalam menghulurkan pertolongan?: supaya diberkati / orang yang ditolong berasa selesa
5 Wajarkah menolong orang yang belum dikenali?: Wajar setelah membuat pertimbangan yang teliti /
Tidak wajar jika wujud unsur mencurigakan.
2 comments:
ok Bagus !! Short and Simple =)
Tak de Gaya bahasa?
Post a Comment