Monday, March 7, 2011
"WARKAH KEPADA GENERASI" SAJAK KOMSAS TINGKATAN 2 (LOVE AND DEVOTION TO OUR COUNTRY)
Pengenalan
Merujuk antologi "Gema Sepi Gadis Genius", muka surat 19, sajak nukilan Amiruddin Md. Ali Hanafiah bertemakan semangat patriotik. Generasi muda diseru supaya menjadi bangsa yang berani dan bermaruah, memartabatkan serta mendaulatkan tanah air tercinta. Sejarah perjuangan nenek moyang dahulu kala hendaklah juga dikenang.
Perbincangan rangkap demi rangkap
Generasiku tercinta
kalian adalah kelompok bertuah
yang sempat berteduh di langit alaf baru
dengan keberanian sebagai bangsa bermaruah
di tanah merdeka milik abadi kita.
Penyajak mengungkapkan bahawa generasi semasa (kini, sekarang) sebagai kelompok bertuah kerana berpeluang menjalani kehidupan pada alaf baru, maksudnya alaf 3 yang bermula pada tahun 2001. Generasi muda dianggap bertuah justeru mewarisi kesinambungan perjuangan generasi lebih dewasa (yang sempat melewati detik kemerdekaan negara pada tahun 1957) yang pernah menyaksikan betapa beraninya wira-wira dahulu menjulang maruah bangsa. Hasilnya negara kita berjaya mempertahankan kemerdekaan hingga ke hari ini.
Generasiku yang bijak bestari
ini bumi suci perjuangan nenek moyang
yang bersumpah setia memartabatkan bangsa
mendaulatkan tanah air, mencipta kebebasan
membina istana merdeka yang kalian diami.
Penyajak seterusnya mengingatkan anak bangsa yang makin berpendidikan supaya menjaga bumi suci yang diperjuangkan oleh nenek moyang mereka dahulu. Mereka, generasi terdahulu, telah bersumpah setia memartabatkan bangsa, memastikan tercapainya kedaulatan negara dan membebaskan negara daripada belenggu penjajahan. Mereka jugalah yang berkorban, dan merintis jalan kemerdekaan yang dikecapi oleh generasi sekarang di Malaysia.
Penutup warkah ini
ingin kuingatkan: jangan biarkan akar sejarah
tercabut dari bumi bertuah ini.
Penyajak mengakhiri pesanannya dengan peringatan supaya sejarah tidak seyogia sekali-kali diabaikan. Kejayaan dan pencapaian negara pada hari ini tidak boleh dipisahkan dengan sejarah perjuangan generasi nenek moyang dahulu kala. Generasi muda harus menjadikan sejarah itu bagi mengukuhkan semangat cintakan negara...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
awesome..thx sir....
memang dia ada tiga rangkap je yer...
Post a Comment