Tidak seperti UKM yang memiliki hotel "Puri Pujangga", UM hanya memiliki "Rumah Universiti" milik Koperasi UM. Barangkali pada masa hadapan, sesuai dengan imej universiti nombor satu negara, UM akan membina hotel yang lebih canggih untuk kemudahan pelajar, tetamu dan kegiatan akademik bertaraf dunia.
Pelajar ijazah tinggi UPSI juga tidak terkecuali. Kebanyakan kuliah sarjana mod kerja kursus separuh masa dijalankan pada hujung minggu, iaitu pada petang Jumaat dan Sabtu. Maka, penginapan pada hari Jumaat (malam Sabtu) menjadi masalah. Hendak tidur dalam masjid, menumpang sebagai "setinggan" di kolej kediaman, atau tidur dalam kereta sendiri akan mengundang risiko keselamatan dan tindakan undang-undang.
Kedai mamak di Taman Bahtera, berdekatan UPSI bijak menghidu peluang. Mereka menawarkan bilik penginapan bertaraf hotel di Sahara Inn dengan kadar sewa yang munasabah, iaitu daripada RM68 hingga RM150. Tentulah pelajar sarjana akan berkongsi bilik, dan ada yang sanggup memindahkan tilam ke bawah supaya lebih banyak ruang berbaring dapat dikongsi.
Tempahan untuk hari Jumaat dan Sabtu di Sahara Inn dibuat secara tetap sepanjang tahun. Tidak dapat dipastikan jika terdapat mana-mana individu yang menjadi broker atau" ulat" telah membuat tempahan awal dan kemudian menjual semula sewaan bilik untuk mengaut untung. Pelanggan walk-in sila cari hotel lain pada hari Jumaat dan Sabtu, kecuali ketika cuti semester.
Walaupun Tanjung malim berdekatan dengan ibu kota, kemudahan hotel di bandar berkenaan boleh disifatkan sebagai daif. Tiada hotel bertaraf bintang, melainkan hotel persendirian yang usang dan kurang terurus. Sahara Inn mungkin satu pengecualian.
Pihak Majlis Perbandaran Tanjung Malim boleh mempelawa usahawan bumiputera untuk mendirikan hotel yang lebih layak di kawasan strategik. Tanjung Malim tidak kurang dengan produk pelancongan sejarah. Muzium Pendidikan UPSI (dahulu SITC) boleh dinaik taraf sebagaimana himpunan khazanah manuskrip Melayu klasik di Universiti Leiden, Belanda. Hotel yang dibina boleh menjalin kerjasama dengan UPSI untuk penganjuran seminar bertaraf antarabangsa tentang sejarah pendidikan di Tanah Melayu dan pendidikan perbandingan di seluruh dunia.
Tanjung Malim bukan sebuah pekan koboi yang sunyi sepi. Tanjung Malim ialah sebuah bandar taman ilmu yang memiliki sejarah dan sumbangan pendidikan yang berkait rapat dengan kemerdekaan negara. Sebelum wujud menara gading, Maktab Perguruan Sultan Idris (kini UPSI) ialah institut ilmu yang berjasa melatih pejuang bahasa dan bangsa...
2 comments:
Assalam..saya nak tanya kalau dapat sarjana sepenuh masa. Dia punya kuliah memang hari jumaat n sabtu jugak eh?
W.salam nuraveeka mohd said,
tertakluk kepada jadual kuliah yang ditetapkan. berbeza antara universiti. di u m, hari biasa pun ada, tapi mula 3 petang ...
Post a Comment