Thursday, December 13, 2012
BAHASA MELAYU DI LEBUH RAYA (THE BIG-HEAD ENGLISH ADMIRER)
Adakah kita sedang berada di sebatang lebuh raya di England? Kepada siapakah iklan gergasi itu hendak ditujukan? Tidakkah ada sedikit pun rasa hormat terhadap bahasa kebangsaan kita?
Beberapa buah papan iklan gergasi di atas terdapat di lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan dapat dilihat dari kejauhan. Bandingkan saiz huruf yang dipaparkan dengan saiz kereta putih di bawahnya. Keadaan sekitar agak kelam, tetapi paparan iklan itu sangat jelas.
Sudah tiba masanya pihak berkuasa bahasa, khususnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertegas dengan peruntukan undang-undang sedia ada tentang penghinaan secara terang-terangan terhadap bahasa Melayu seperti itu. Pihak yang meluluskan pembinaan papan iklan gergasi itu mesti dikenakan tindakan tatatertib yang bermula dengan amaran lisan sebelum tindakan lebih keras jika masih berdegil. Andai tiada sebarang tindakan diambil, nescaya lebih banyak papan iklan gergasi berbahasa asing akan muncul di merata-rata tempat di negara kita yang mempunyai peruntukan undang-undang yang jelas tentang bahasa, misalnya akta bahasa kebangsaan dan peruntukan perlembagaan.
Sikap 'tidak apa' (apologetic) hanya akan membuatkan puak-puak mat saleh celup semakin besar kepala dan berleluasa menginjak bahasa Melayu. Mengapakah sesudah mengecap nikmat kemerdekaan lebih 55 tahun, perpisahan dengan kenangan penjajah masih terlalu sukar untuk dilakukan? Adakah alasan globalisasi dan pelancongan mewajarkan bahasa Melayu diletak ke tepi?
Sebagai bakal negara maju dengan acuan sendiri menjelang tahun 2020, Malaysia mesti berani keluar daripada bayangan bekas penjajah Inggeris. Bahasa Melayu mesti didaulatkan dan dihormati oleh semua pihak. Tidak perlu berasa rendah diri kerana menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, wahana perpaduan rakyat dan lambang jati diri anak Malaysia.
Sejajar dengan hakikat sejarah pembentukan masyarakat yang kaya dengan kepelbagaian latar belakang, memang terdapat banyak kelonggaran diberikan kepada bahasa dan budaya bukan teras. Namun, kelonggaran itu tidak patut dijadikan lesen untuk merosakkan kedudukan bahasa Melayu yang termaktub dalam perlembagaan negara sebagai suatu kontrak sosial yang tersurat sekian lama.
Sebenarnya terlalu banyak perkara yang perlu dibetulkan tentang penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang sah. Sesetengah bandar dan pekan di negara kita tidak ubah macam Hong Kong atau Tamil Nadu. Entah di mana bahasa Melayu di premis perniagaan dan papan iklan.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) yang gagal mematuhi akta bahasa kebangsaan juga patut dikenakan tindakan yang setimpal. Penggunaan bahasa selain bahasa Melayu masih dibenarkan, tetapi peraturan tentang saiz huruf dan susun atur yang direka bentuk wajib mengikut peraturan. Bahasa Melayu hendaklah kelihatan teratas dan unggul...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Salam cikgu. Saya ada baca komen cikgu pada post tahun lepas tentang stpm. Cikgu ada komen seorang pelajar cikgu ada dapat kos bahasa jerman di UM. ada temuduga kan? Apa persediaan yang perlu dilakukan untk temuduga kos jerman ni?
Salam Qis
Kena cari kamus bahasa Jerman, berlatih sikit-sikit. Boleh juga belajar menerusi kamus atas talian yang ada sebutan dalam bahasa Jerman. Selain itu, dapatkan maklumat tentang negara Jerman, khususnya industri automatif.
Akhir sekali, jika ada kesempatan singgah di fakulti bahasa, Um untuk berjumpa pegawai tadbir di sana bagi mendapatkan beberapa 'tip'.
selamat mencuba dan moga berjaya...
Post a Comment