SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, January 31, 2013

BENARKAH STPM LEBIH SUSAH DARIPADA PENGAJIAN UNIVERSITI? (ERROR IN CLAIMING)

Sudah acapkali kedengaran dakwaan bahawa peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) lebih sukar daripada peringkat ijazah sarjana muda dan sarjana. Terkini, penulis blog (PB) mendengar sendiri dakwaan seorang pensyarah IPTS terkemuka yang memiliki Ph.D dari Amerika Syarikat (ijazah asas dari UKM) bahawa berdasarkan pengalaman peribadi beliau, kecuali untuk Ph.D, maka STPM ialah peperiksaan yang paling berat. Beliau tidak mengemukakan sebarang data untuk menyokong dakwaan itu.

Semasa PB di UKM dahulu, beberapa orang pensyarah mengatakan bahawa mereka menduduki STP(M) sehingga lapan kali baharu mendapat kelayakan minimum untuk ke menara gading. Namun, perjalanan mereka tidak lagi tersekat sesudah STP(M) hingga ke peringkat Ph.D. Pengalaman yang serupa boleh dibaca dalam buku memoir Profesor Datuk Dr. Sidek Baba, mantan timbalan rektor UIAM berjudul "Seteguh Tekad".

Walaupun profesor yang bercakap, hujah seperti itu tidak lebih daripada bertaraf testimoni, iaitu tidak cukup untuk diangkat sebagai data yang autentik. Mungkin bagi sesetengah bidang pengajian tinggi hanya memerlukan kepintaran berhujah dan menulis dengan kritis berdasarkan sejumlah konsep yang boleh dihafal. Bagaimanakah dengan pengajian bersifat kuantitatif dan makmal seperti kejuruteraan, perubatan dan seni bina?

Memang benar bahawa tanpa STPM pun, seseorang itu boleh berjaya hingga bergelar doktor falsafah. Seorang rakan PB kini penyandang Ph.D dahulunya tidak beroleh sijil penuh STP(M) akibat kandas dalam Kertas Am (kini Pengajian Am). Beberapa orang profesor terkenal juga hanya beroleh satu prinsipal E dalam STPM setelah mencuba beberapa kali, kemudian belajar hingga Ph.D (kes: profesor kejuruteraan, ekonomi, pengajian Melayu). 

Apakah sebenarnya kesukaran peperiksaan STPM? Sebelum dasar persijilan terbuka diperkenalkan, syarat lulus sijil penuh ialah dua prinsipal (A hingga E), dua subsidiari (O, R) dan lulus Kertas Am. Namun, untuk mendapat prinsipal E pun sangat sukar, iaitu purata gred 6 bagi kombinasi dua kertas.

Dahulu, STPM dikenali sebagai STP atau HSC (Higher School Certificate) memaparkan pengesahan Universiti Cambridge, UK. Kertas soalan digubal oleh pensyarah universiti dan keseluruhan pemeriksa juga dalam kalangan pensyarah universiti tempatan. Pendek kata, guru yang mengajar tingkatan enam langsung tidak mempunyai akses terhadap pentaksiran berpusat STPM.

Keadaan mula berubah dalam dekad 1990-an apabila Majlis Peperiksaan Malaysia mula melantik lebih banyak guru tingkatan 6 sebagai panel penggubal dan pentaksir. Kertas Am ditukar kepada Pengajian Am, serta setara dengan mata pelajaran lain. Menerusi persijilan terbuka, sistem gred diubah kepada A, A-, B+, B, B-, C+, dan C untuk lulus penuh, manakala C-, D+ dan D (lulus sebahagian), serta gred F untuk gagal. 

Berdasarkan pengalaman peribadi PB sebagai pelajar tingkatan 6 dan kemudian guru, sistem gred sekarang lebih mudah untuk pelajar. Kalau dahulu dalam satu daerah begitu sukar untuk mencari gred A dalam mata pelajaran Ekonomi misalnya, kini dalam satu kelas di sebuah sekolah sudah boleh mencapai 10 orang gred A. 

Penjenamaan semula kelas tingkatan 6 sebagai pengajian prauniversiti sistem modular sebagai ganti sistem terminal yang lama bertujuan meningkatkan semula daya saing dan daya tarikan pengajian tingkatan 6 yang berhadapan dengan program matrikulasi, asasi, sijil, diploma dan lain-lain. Lulusan tingkatan 6 kembali menjadi pilihan utama pencalonan prasiswazah dan tajaan biasiswa pengajian tinggi. Lulusan sijil dan diploma pula lebih menjurus terhadap keperluan tenaga separa teknikal dan perkhidmatan peringkat pertengahan. 

Kesimpulannya, pelajar tingkatan 6 tidak usah terlalu mudah percaya kononnya peperiksaan STPM ialah halangan paling sukar berbanding dengan program ijazah asas dan sarjana. Hakikatnya, di bawah sistem modular segala-galanya terang lagi bersuluh bermula daripada sukatan pelajaran, buku teks dan pentaksiran. Pelajar hanya perlu mengukuhkan disiplin dan jati diri dalam pembelajaran, serta tidak melayan sama sekali sebarang anjuran yang bersifat negatif...

7 comments:

Anonymous said...

setuju amat. peperiksaan yang paling sukar di malaysia.

Anonymous said...

memang susah banyak sngat keje kursus
sampai sakit kepale...sistem modular menyukarkan lagi peperiksaan tingkatan enam tahun ini

Anonymous said...

sy pelajar form6. baru sahaja menduduki peperiksaan Penggal 2. mmg agak mencabar soalan2 nya. tp ia merupakan satu cabaran yg baik, kerana makin susah sstu bnda itu, mkin giat kita akn mencarinya :)

Anonymous said...

saya pernah belajar di tingkatan dan sekarang melanjutkan pelajaran di universiti. form 6 memang susah tapi bila masuk alam u ni jadi senang :D form 6 bagus untuk untuk membentuk kematangan. kalau belajar sungguh2 dia lah dapat kejayaan

cikgu azhar said...

Salam,

terima kasih atas segala maklum balas. apabila telah mencukupi, barangkali boleh diangkat sebagai data dalam penyelidikan, insya-Allah ...

Unknown said...

Berjuanglah ambil stpm.. Tiap-tiap yg susah pasti ada kemudahan. Walaupun nampak susah tp sistem baru ni sangat serasi dengan sistem pembelajaran di universiti. Maksudnya pelajar yg berjaya masuk 'u' boleh survive sampai tamat degree. Lagipun soalan exam stp sekarang agak senang berbanding dlu.. Senang nak score!

Anonymous said...

Zaman saya ambil STPM dahulu sangat2 susah. Tetapi Alhamdulillah saya memperoleh keputusan lima principal dengan dua subjek memperoleh gred A. STPM dahulu sangat susah kerana banyak kertas yang perlu diambil dan skop yang terlalu luas. Selain itu, peperiksaan STPM hanya diambil selepas mengikuti pengajian selama dua tahun. Jika ada yg bertanya adakah saya akan mengambil peperiksaan STPM lagi. Jawapannya TIDAK. Ia amat2 sukar. Pelajar yang ikuti matrikulasi di universiti sendiri mengakui rakan mereka yg ambil peperiksaan STPM dahulu sgt2 berkualiti apabila mereka mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama di universiti.