Pasukan penyelidik University of Western Australia itu diketuai oleh Leon Flicker. Penyelidikan longitud lebih sepuluh tahun (mulai 1996) itu menggunakan data kesihatan sejumlah 9,200 warga Australia berusia antara 70 - 75 tahun. Hipotesis Ho mencadangkan golongan berusia 70 tahun ke atas berisiko tinggi daripada golongan yang lebih muda mengikut jumlah lemak dalam tubuh.
Dapatan akhir menolak Ho, sebaliknya menerima H1, iaitu lawan Ho. Risiko kematian individu yang memiliki berat badan berlebihan didapati 13% lebih rendah berbanding dengan individu dengan berat badan normal. Selain itu, dapatan menunjukkan bahawa pekerjaan yang dilakukan secara posisi duduk menggandakan risiko kematian awal. Dari segi jantina, tahap risiko berkenaan lebih berat kepada kaum hawa.
Dapatan penyelidikan yang diterbitkan dalam Journal of the American Geriaterics Society pada 28 Januari 2010 itu selaras dengan satu lagi kajian yang dilakukan di Malaysia lima tahun yang lalu. Korelasi antara berat badan berlebihan dengan jumlah lemak dalam tubuh didapati lemah. Dalam kata lain, untuk mengatakan individu yang berlebiihan berat badan disebabkan jumlah lemak yang tinggi tidak boleh diterima sebagai hujah yang kuat.
Kertas penyelidikan penuh boleh diakses menerusi URL http://myais.fsktm.um.edu.my/view/type/article/Jurnal_Pendidikan.html yang turut memasukkan hasil penyelidikan penulis blog (PB) tentang permuafakatan guru. Satu perkara menarik lagi ialah hormon estrogen telah membantu wanita meningkatkan paras kolestrol baik (high density lipoprotein, HDL). Namun, perbezaannya dengan kaum lelaki tidaklah begitu signifikan (t = -0.62, p > .05).
Pasukan penyelidik Australia menyarankan supaya kriteria dan sistem penentuan BMI dikaji semula. Berdasarkan pendapat pakar pemakanan, indeks BMI ideal ialah 22. Pasukan penyelidik Universiti Malaya pula mencadangkan supaya tidak kira individu berat badan normal atau berlebihan, pemeriksaan terhadap paras kolestrol, sama ada total, HDL, LDL (kolestrol jahat) hendaklah lebih kerap dilakukan atas pengawasan doktor untuk mengurangkan risiko pembekuan arteri sebagai akibat pembentukan jalur lemak. Pengambilan gizi seimbang dan senaman yang bersesuaian dengan tahap usia dan fizikal hendaklah diberi perhatian..
No comments:
Post a Comment