SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, February 21, 2010

OPS SIKAP TERHADAP PENGELUAR KENDERAAN (HIGHEST SPECIFICATION STANDARD FOR CARS ON THE ROAD)


Setiap kali menjelang musim perayaan atau cuti panjang, pihak berkuasa lalu lintas akan mengumumkan Ops Sikap. Tujuannya untuk mendisiplinkan pengguna jalan raya supaya mematuhi segala peraturan di bawah akta pengangkutan, dan mendidik mereka agar lebih peka tentang hal-ehwal keselamatan penggunaan jalan raya untuk diri sendiri dan orang lain. Kompaun maksimum RM 300 akan dikenakan ke atas pengguna yang gagal mematuhi had kelajuan, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, atau tidak menghiraukan lampu isyarat merah.
Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pula ditubuhkan untuk melaksanakan penyelidikan untuk menambah baik dasar, pentadbiran dan rejim psikologi pengguna jalan raya di negara kita. MIROS diterajui oleh seorang ketua pengarah yang berlatar belakang kejuruteraan trafik. Walaupun begitu, isu-isu seperti ekonomi pengangkutan, psikologi pemanduan, etika kontraktor pembinaan jalan dan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang akan memiliki pasukan penyelidik tersendiri, sama ada dalam kalangan felo dalaman MIROS, mahupun penyelidik tamu dari IPT dalam dan luar negara. Dalam jangka panjang, bab-bab keselamatan jalan raya tidak semata-mata dituding kepada kecuaian pengguna.

Di peringkat antarabangsa, kita didedahkan tentang panggilan semula kepada sejumlah dua juta kenderaan Toyota, terutama edisi terbaharu Prius di Amerika Syarikat dan Eropah untuk menggantikan sistem brek, pedal dan beg udara yang didapati bermasalah. Honda juga memanggil kira-kira 400,000 unit kereta  jenama berkenaan di rantau yang sama. Pengeluar dari Peranchis, Citroen dan Renault juga dilaporkan menuruti jejak langkah Toyota dan Honda.
Di negara maju, pengguna ialah “raja” yang sebenar. Pengeluar terpaksa tunduk kepada kehendak pengguna atau menghadapi risiko boikot dan pemulauan. Sebagai jenama asing (Jepun), Toyota dan Honda menyedari bahawa sekali mereka hilang kepercayaan pasaran Amerika Syarikat dan Eropah, empayar global mereka juga akan runtuh perlahan-lahan. Sebab itulah mereka sanggup melabur berbilion-bilion USD untuk menepati spesifikasi ketat piawaian rantau negara maju.
Honda dan Toyota memandang serius insiden yang mungkin dianggap terpencil di negara dunia ketiga. Satu kes brek dan pedal gagal berfungsi, atau satu kes beg udara terkeluar tanpa keperluan mengakibatkan seluruh kereta yang telah terjual dipanggil balik untuk pemeriksaan dan kemungkinan penggantian sistem berkenaan. Ternyata pengeluar tidak berani meletakkan beban kesalahan kepada pengguna jalan raya apabila berlakunya sesuatu musibah yang menimpa.

Mengapa perkara yang sama tidak boleh berlaku di rantau yang disebut dunia ketiga? Apakah pengeluar kenderaan komersial seperti Honda, Toyota dan Renault menganggap pengguna negara belum maju tidak begitu kritikal dan tidak begitu vokal  tentang hak kepenggunaan? Adakah ini wajah sebenar gergasi multinasional (MNC) yang bertopeng di sebalik penyataan nilai-nilai korporat yang digahkan dengan susunan ayat visi dan misi, serta piagam pelanggan yang bunyinya muluk-muluk belaka?
Sarjana ekonomi pembangunan telah sekian lama menganjurkan teori lambakan di negara belum maju. Negara maju begitu “bermurah hati” melambakkan teknologi yang sudah ketinggalan zaman dan usang untuk direbut oleh pasaran negara belum maju. Apabila mendapati semangat patriotisme masyarakat negara belum maju meningkat, MNC menghulurkan tangan bekerjasama memajukan industri automatif tempatan dengan teknologi yang sepatutnya sudah masuk arkib atau lebih teruk lagi, muzium.

Memanglah kita berterima kasih kepada pengeluar kenderaan yang sudi memasarkan keluaran mereka di negara kita. Tanpa kenderaan penumpang yang moden, sistem pengangkutan sesebuah negara mungkin masih kuno, tradisional dan serba-serbi kekurangan. Namun, kemujuran itu tidak pula bererti kita menjadi masyarakat yang apologetik dan permisif. Hakikatnya, kita mempunyai pelbagai pilihan, serta tidak perlu secara keterlaluan bergantung kepada mana-mana pihak, khususnya kaum pemodal.
Jika masyarakat kita mempunyai keberanian, isu keselamatan jalan raya tidak semata-mata dibebankan kepada pengguna. Tanggungjawab keselamatan jalan raya mesti dikongsi oleh pelbagai pihak bermula daripada perancang dasar automatif negara, nisbah percukaian : harga kenderaan, piawaian kejuruteraan spesifikasi keselamatan kenderaan, etika pengeluar kenderaan, piawaian reka bentuk jalan raya, etika kontraktor pembinaan jalan, mutu bahan binaan jalan raya dan pentadbiran keselamatan pengguna jalan raya. Pengguna sebenarnya ialah pihak terakhir daripada rantaian proses panjang yang disenaraikan itu.
Mungkin sudah tiba masanya sebuah pertubuhan pengguna yang khusus tentang keselamatan jalan raya ditubuhkan. Kita tidak boleh begantung kepada agensi keselamatan jalan raya awam atau penyedia perkhidmatan swasta untuk melindungi hak pengguna jalan raya. Forum khusus pengguna jalan raya berpotensi menjadi suara yang autententik dan diambil kira oleh semua pihak yang berkepentingan dalam isu keselamatan jalan raya, terutama pengeluar kenderaan penumpang persendirian.

Organisasi pengguna jalan raya yang khusus ini hendaklah bebas daripada tunggangan individu oportunis yang cuba membina pengaruh dan kedudukan tertentu atas agenda peribadi. Perlembagaan pertubuhan yang digubal hendaklah memasukkan fasal khusus tentang hal ini dengan tegas. Jika masih berlaku, pintu keluar “syooh syooh” hendak ditunjukkan dengan hormatnya.

Peranan pertubuhan pengguna jalan raya ini boleh diperluaskan meliputi suntikan pengetahuan dan kemahiran tentang pengendalian kenderaan penumpang persendirian kepada semua pemandu.  Sebagai contoh, kesedaran tentang komponen kereta yang paling mustahak ialah keadaan tayar yang selamat digunakan. Pertubuhan pengguna boleh mengambil daya usaha dengan menyarankan input berkenaan dalam semakan kurikulum pelesenan memandu dan kekerapan iklan dalam pelbagai media.
Secara ringkasnya, Ops Sikap tidak seharusnya dihalakan secara mutlak kepada pengguna jalan raya. Piawaian ketat spesifikasi kenderaan terhadap pengeluar, dan piawaian perancangan keselamatan jalan raya terhadap pihak penggubal dasar perlu dipantau secara berterusan. Sebuah pertubuhan pengguna jalan raya yang berdaftar dan khusus diberi laluan dan dihormati sepenuhnya.

Akhir sekali, kenderaan ialah sejenis alat atau jentera pengangkutan yang turut dipengaruhi faktor persekitaran. Faktor persekitaran merupakan pemboleh ubah ekstrogenous yang paling sukar dikawal. Maka, kita diajar untuk membaca doa perjalanan agar keselamatan kita sentiasa dipelihara oleh-Nya...

No comments: