SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, February 1, 2010

PROGRAM MOTIVASI MELONJAKKAN KECEMERLANGAN SMI (PHASE ONE FOR MICHAELIAN'S QUANTUM LEAP SUCCESS ROUTE)

Pencapaian kecemerlangan di sekolah sering dikaitkan dengan pemupukan motivasi. Perhatian yang diberikan oleh pentadbir pendidikan dan ibu bapa menjadikan program  motivasi dimasukkan  sebagai aktiviti  "wajib" di sekolah. Di SMK St Michael, Ipoh (SMI) program motivasi selama seminggu membabitkan semua kelas peperiksaan  dijadikan fasa pertama intervensi kemajuan murid  dalam bidang akademik, sahsiah dan  kecerdasan emosi.
Sejumlah kira-kira 180 orang pelajar pelajar tingkatan enam atas berpeluang mengambil bahagian dalam sesi motivasi yang dijayakan oleh Dr. Sia Ah Hok, Vice President of Student Services and Alumni Division, Kolej Inti. Program dua jam yang bermula pada pukul 11 pagi itu anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling, SMI. Pengekalan motivasi kendiri sangat penting bagi mengukuhkan elemen jati diri dan menangkis sebarang pengaruh negatif.
Sesiapa juga, tidak kira kanak-kanak, remaja, muda, dewasa dan tua akan dianggap luar biasa andainya berkesanggupan duduk dengan sabar lagi tekun dalam sesuatu majlis yang melebihi tempoh masa 20 minit. Selepas itu hadirin biasanya mulai hilang tumpuan, atau membuka sesi cakap-cakap sesama sendiri tanpa menghiraukan majlis. Pengendali motivasi mesti menyelitkan unsur jenaka dan kecindan supaya hadirin tidak terseksa dengan kebosanan.
Umar al-Khattab, seorang khalifah ar-Rasyidin pernah menyebut (maksudnya): "Manusia yang berakal ialah manusia yang suka menerima nasihat dan meminta nasihat". Oliver Wendell Holmes pula mengatakan: "Kesedaran sekalipun hanya sesaat, seringkali lebih berharga daripada pengalaman sepanjang hayat". Penganjur program motivasi bukanlah mengharapkan pelajar memberikan komitmen 100 peratus terhadap saranan motivasi yang dilontarkan.  Sekelumit penerimaan nasihat dan kesedaran sudah memadai, bagaikan mengecas bateri yang telah lama terbiar tetapi masih menyimpan tenaga yang hebat.
Ar-Rumi, seorang ahli falsafah zaman silam pernah menyatakan, "Manusia dilahirkan dengan kemampuan untuk 'terbang'. Kenapa pula mereka memilih untuk merangkak sepanjang hayat?" Jawapannya mudah, iaitu manusia membiarkan motif hidup (motivasi) mereka terlena tanpa digerakkan. John Wesley mengatakan bahawa "hari bekerja bagi orang malas ialah esok dan hari untuk berhibur ialah hari ini".

Dr. Sia ada menyebutkan dalam ceramah beliau bahawa pelajar yang bermotivasi mesti tahan lasak (reselience). Maksudnya, setiap kali menghadapi kebuntuan, jangan cepat-cepat angkat bendera putih! Bangsa Jepun yang pernah sengsara angkara ledakan bom atom Amerika (hingga hari ini tidak dibenarkan memiliki angkatan tentera sendiri) berpegang kepada slogan "jatuh tujuh kali, bangun lapan kali".

Almarhum Bapak Muhammad Natsir, mantan pemimpin ulung Indonesia mengungkapkan "Melawan ialah jodoh bagi orang yang hidup". Maka, wahai Michaelian sekalian, jangan benarkan diri kalian tumbang gara-gara bisikan durjana. Bingkaslah bangun dan buka mata luas-luas bahawa impian indah sudah terhampar di hadapan kalian...

No comments: