SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, February 6, 2010

GOTONG-ROYONG PERDANA DI SMI (THE "CLEAN" MICHAELIANS)

Ipoh, Sabtu: 6 Februari 2010 / 21 Safar 1431

Persekitaran kawasan sekolah yang bersih dan ceria menyumbang terhadap proses pembelajaran yang berkesan, menarik dan menyeronokkan. Ancaman pencemaran dan sasaran pembiakan pembawa vektor penyakit juga dapat dihindari. Walaupun kerja pembersihan boleh diserahkan kepada kontraktor berbayar, khidmat sukarela dalam kalangan warga sekolah, khususnya murid juga merupakan aplikasi kepada pendidikan nilai yang merentasi kurikulum.
Pemimpin negara selalu menyebut bahawa Malaysia memiliki kemudahan prasarana kelas pertama, tetapi minda pengguna kelas ketiga. Penyataan itu sudah pasti bukan bertujuan  untuk menjatuhkan maruah sesiapa, melainkan suatu bentuk gesaan perubahan sikap supaya status negara maju yang diidam-idamkan menjelang tahun 2020 kesampaian. Tabiat menjaga kebersihan perlu dipupuk dalam kalangan generasi muda.
Di SMK St. Michael, Ipoh (SMI) program gotong-royong perdana lebih menjurus kepada proses pembelajaran dan aplikasi pendidikan nilai murni yang dimaksudkan. Dengan bimbingan guru, murid dan pelajar SMI berganding bahu membersihkan kawasan sekolah berpandukan spesifikasi tugas yang telah ditetapkan. Dalam kata lain, aktiviti gotong-royong perdana ini bukanlah bererti mengambil alih tugas kontraktor berbayar.
Gotong-royong perdana meliputi seluruh kawasan SMI. Selain bilik-bilik darjah, bilik khas dan makmal, bilik guru juga menerima sentuhan tugasan istimewa gotong-royong kali ini. Kelab Interact dan Rotract diberi tanggungjawab berkenaan.
Setiap kawasan diserahkan kepada kelab, persatuan dan unit pakaian seragam. Mungkin lokasi berkenaan akan terus dijadikan kawasan angkat kepada organisasi tadi. Misalnya kelab SPBT membantu mengemaskan lagi susunan buku teks yang sememangnya sentiasa kemas.
Alatan atau barangan yang didapati sudah usang diklasifikasi semula: masih boleh digunakan, kitar semula, atau hapus kira. Garis panduan harta modal, inventori dan stok mesti dipatuhi. Perolehan bekalan bersumberkan pembiayaan awam perlu melepasi tatacara audit dan verifikasi kewangan yang ditentukan.
Kesimpulannya, apabila sedikit sebanyak rasa tanggungjawab kebersihan tempat belajar bersemi dalam sanubari murid dan pelajar, mereka akan berasa peka terhadap tahap keselesaan yang terbaik. Sebagai satu pengalaman pembelajaran, pembentukan sesuatu kebiasaan yang baik diharapkan menjadi tabiat sepanjang hayat. SMI akan dapat membantu pencapaian status negara maju minda kelas pertama, Insya-Allah...

No comments: