(kini: Perpustakaan Awam Makkah)
Thursday, February 25, 2010
NABI MUHAMMAD UTUSAN ALLAH (THE INFLUENCE OF PROPHETHOOD IN THE MODERN SOCIETY)
Umat Islam mengingati Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam setiap detik dalam kehidupan mereka. Sejarah kehidupan peribadi dan perjuangan baginda yang telah berlalu hampir 15 abad silam sentiasa dianalisis dan dikaji sepanjang masa sama ada oleh individu di wilayah terpencil, mahupun ditekuni oleh kaum intelektual di menara gading dan di segenap penjuru alam. Junjungan telah mewariskan dua perkara yang menjadi cahaya dan penyelamat daripada kegelapan aqidah dan kesesatan, iaitu al-Qur'an dan al-Sunnah.
Segala perbuatan dan tutur kata baginda yang menggambarkan aplikasi al-Quran secara total terakam sepenuhnya dalam catatan yang disebut sebagai sirah. Baginda mencantum kesinambungan risalah tawhid yang dimulakan sejak manusia pertama, iaitu Nabi Adam. Dengan turunnya al-Quran, segala ajaran dalam kitab terdahulu (Taurat, Zabur dan Injil) telah dirangkumkan sekali gus dan dimuktamadkan. Para sarjana mengungkapkan kitab al-Quran yang diturunkan kepada baginda sebagai cantuman terakhir segala kebijaksanaan (the final synthesis of wisdom).
Sesungguhnya baginda Junjungan Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam telah memberi nilai kepada kehidupan insan berteraskan kepercayaan yang benar (tawhidic weltanschauung, the world-view of the Oneness). Apabila denyut nadi insan dan aturan hidup bermasyarakat dipacu oleh paradigma keterikatan kepada neraca Ilahi, nescaya manifestasi akhlak dan syariah yang dipancarkan dalam aktiviti harian mereka akan menjurus kepada pencapaian keadilan, kasih sayang, berkat dan rahmat. Penindasan dan perhambaan sesama manusia bakal berakhir.
Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam telah menunjukkan sentuhan tawhid dalam tatacara kehidupan perseorangan, rumah tangga, masyarakat, negara dan hubungan antarabangsa. Hubungan mendatar (horizontal) menegak (vertical) sesama insan itu diselarikan dengan hubungan transenden dengan alam ghaib yang menjadi asas keimanan seseorang. Walaupun begitu banyak inovasi dan teknologi baharu yang muncul dari masa ke masa, hakikatnya proses hidup manusia masih sama: alam arwah, duniawi, kematian, alam barzakh dan ukhrawi.
Marilah sama-sama kita menyambut Maulidul Rasul kali ini dengan tekad bagi memperkasa ajaran baginda dalam kehidupan yang cuma sebentar di dunia fana ini. Tampilkan contoh terbaik daripada anjuran baginda supaya konsep "rahmat sekalian alam" dapat dinikmati sekalian insan. Allahumma Salli ala Sayyidina Muhammad...
Info: Lokasi kelahiran Nabi
(kini: Perpustakaan Awam Makkah)
(kini: Perpustakaan Awam Makkah)
Info: Kubah Hijau Masjid Nabawi, Madinah
(lokasi makam Junjungan Baginda Rasululullah Sallallahu alaihi wasallam)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment