SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, September 9, 2012

GANGNAM STYLE: BELAJAR PENGALAMAN KOREA SELATAN (THE RAPID TRANSFORMATION MODEL)

Dari segi kedaulatan wilayah geografi, kerajaan Seoul bergantung kepada tentera Amerika Syarikat, sebagaimana di Jepun, ekoran perjanjian pasca-Perang Dunia Kedua. Ancaman terbesar datang dari jiran bersaudara, iaitu rejim komunis Pyongyang (Korea Utara) yang saban waktu mempamerkan kekuatan tentera mereka. Maka, tumpuan Korea Selatan lebih menjurus kepada kegiatan ekonomi, inovasi dan teknolgi yang meletakkan negara berkenaan sebaris dengan negara industri termaju dunia.

Pada dekad 1960-an, Korea Selatan hanyalah sebuah negara miskin dengan pendapatan per kapita yang rendah. Korea Selatan juga kurang dikenali berbanding dengan Jepun atau Taiwan. Pencapaian bidang sukan dan teknologi mereka hampir tidak didengari.

Melalui perjalanan masa, sedikit demi sedikit negara empat musim itu bangkit dengan cepat untuk merebut peluang menerokai pasaran sejagat yang masih terbuka luas. Suatu ketika dahulu, jenama Korea Selatan seperti LG dan Daewoo dipandang rendah oleh firma terkemuka Jepun dan Amerika Syarikat. Namun, dalam tempoh yang tidak lama, kedua-dua jenama berkenaan mula menjadi sebutan di serata dunia.

Kemudian, Samsung memperkukuh kedudukan sehingga berjaya membuat gergasi komunikasi Finland (Nokia), Amerika Syarikat (Apple) dan Jepun (Fujitsu, Sony, Toshiba) terpinga-pinga. Kemuncaknya, Samsung didenda oleh mahkamah Amerika Syarikat sebanyak USD1 bilion, dan dengan cepat Samsung akur, lalu menghantar 30 buah treler yang memuatkan duit syiling satu sen sebagai sindiran kepada Apple. Nampak gayanya, lebih banyak kejutan akan dikeluarkan oleh Samsung.

Kejuruteraan automatif Korea Selatan juga semakin melebarkan sayap ke serata pelosok dunia dengan ciri pemanduan dan teknologi mesra alam yang terkini. Jenama kenderaan penumpang seperti Hyundai, Kia, dan Syangyung telah meningkat sebagai jenama mewah yang digilai oleh pasaran, terutama dalam kalangan generasi muda yang bakal membentuk kesetiaan jenama dalam jangka panjang. Isu nilai jualan semula sudah tidak dipedulikan apabila aspek reka bentuk, keselesaan dan keselamatan pemanduan berjaya menambat hati pengguna.

Kepakaran seni bina bangunan dan kejuruteraan awam Korea Selatan juga berjaya dieksport hingga ke Arab Saudi, Malaysia dan negara-negara sedang membangun yang lain. Kontraktor utama negara itu berjaya membida projek mega dengan menawarkan harga yang berdaya saing tanpa mengorbankan mutu reka bentuk dan ketahanan struktur binaan. Jurutera mereka yang tidak begitu fasih dalam bahasa Inggeris nyata tidak menunjukkan sebarang kekurangan dari segi kecekapan kerja.

Dengan munculnya syarikat gergasi tempatan yang seterusnya berkembang sebagai syarikat multinasional, Korea Selatan tidak lagi menghadapi masalah pengangguran. Malah, kuasa beli rakyat Korea Selatan telah meningkat berlipat kali ganda. Apabila pendapatan seseorang (buruh) meningkat, maka mengikut teori ekonomi, mereka mula memperuntukkan masa rehat yang lebih panjang untuk membelanjakan tambahan pendapatan yang diperoleh.

Maka, sebahagian perbelanjaan pengguna Korea Selatan telah beralih kepada sektor hiburan, sukan dan perhiasan. Irama muzik yang progresif telah membawa genre k-pop sebagai suatu fenomena yang mempunyai pengikut di seluruh dunia. Memanglah fesyen pakaian dan tarian penyanyi wanita mereka begitu mencolok mata, tetapi awaslah bahawa tugas menyebarkan budaya kuning oleh Barat telah dirampas oleh Korea Selatan.

Terkini, penyanyi rap berbadan gempal, Psy, 34, telah mencetuskan fenomena muzik luar biasa dengan tarian kuda oleh gadis yang juga berpakaian mencolok mata. Video Gangnam Style yang dimuat naik ke laman perkongsian audio visual You Tube khabarnya telah ditonton sebanyak 120 juta kali. Jika dahulu pelakon-pelakon Slumdog Millionaire dari India diberi sambutan permaidani merah dalam majlis anugerah Academy, kini Psy pula membuat kemunculan dalam majlis anugerah MTV World.

Bidang sukan di Korea Selatan juga sudah mencapai tahap dunia. Dahulu, pasukan bola sepak Korea Selatan lebih kurang setara dengan negara kita, tetapi kini jauh panggang dari api. Begitu juga pasukan hoki negara itu yang telah menduduki carta 10 pasukan terbaik dunia. Atlet mereka juga sedang mencipta nama dalam sukan badminton, tenpin bowling, olah raga, renang, tenis dan disiplin dalam dewan yang lain.

Industri fabrik dan fesyen Korea Selatan juga telah berjaya menafikan pengaruh kental Madrid, Rome dan Paris. Di Malaysia sendiri, sebahagian item jualan kain, termasuk sutera ialah tempahan khas daripada Korea walaupun menggunakan jenama tempatan. Kesungguhan rakyat Korea Selatan dalam meningkatkan daya pengeluaran dan daya saing patut dicontohi, tetapi dalam masa yang sama sisi negatif yang berlaku tetap wajib dijauhi...

No comments: