SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, September 5, 2012

PANDUAN MERANCANG PROJEK PERSATUAN DI SEKOLAH (PROVIDING ENGAGE, ENRICH AND EXCEL OUTSIDE CLASSROOM ACTIVITIES)

Kegiatan di luar bilik darjah, atau lebih dikenal sebagai kokurikulum merupakan pelengkap pembelajaran rasmi yang terikat dengan sukatan pelajaran dan pentaksiran. Malah, murid yang terbabit secara aktif dalam kegiatan kokurikulum dipercayai mampu menggembleng, serta menggilap potensi dan fakulti dalam diri masing-masing secara optimum. Mereka dapat dibimbing secara teratur bagi menggunakan segala input pengetahuan, kemahiran dan sikap yang dipelajari di dalam bilik darjah untuk dipindahkan kepada aktiviti nyata dalam persekitaran organisasi yang lebih longgar dan bertolak ansur.

Di sekolah, kegiatan kokurikulum dibahagikan kepada persatuan dan kelab, unit pakaian seragam dan permainan. Semua murid diwajibkan memilih sekurang-kurangnya dua bidang kegiatan kokurikulum, malah digalakkan menyertai ketiga-tiga bidang kegiatan yang ditawarkan. Sepertimana reka bentuk pembelajaran di bilik darjah yang berfokus kepada aktiviti murid, demikian juga untuk kegiatan kokurikulum.

Semua organisasi kokurikulum memiliki struktur kepimpinan yang tertentu berasaskan perlembagaan persatuan, kelab, unit pakaian seragam dan permainan yang diluluskan oleh pendaftar kokurikulum di sekolah, iaitu pengetua. Pematuhan dan kawalan kegiatan kokurikulum sebagaimana yang diperuntukkan dalam akta pendidikan, garis panduan dan pekeliling yang berkuat kuasa menjadi tanggungjawab pengetua yang diwakilkan kepada penolong kanan kokurikulum dan seterusnya kepada para penasihat yang dilantik dalam kalangan guru yang terlatih. Pihak sekolah wajib memastikan pelaksanaan prinsip peranan gantian ibu bapa (in loco parentis) dan langkah berjaga-jaga (the duty of care) supaya segala kemungkinan kecuaian (negligence) dapat ditutup rapat.

Perkara yang paling penting dalam perancangan kegiatan kokurikulum ialah tujuan pengalaman pembelajaran yang hendak dicapai dalam persekitaran serba selamat. Guru penasihat yang berpengalaman, atau guru lantikan baharu sudah pasti memiliki pendedahan konseptual dan praktikum yang mencukupi bagi membimbing murid memperoleh segala pengalaman pembelajaran yang dihasratkan. Murid dapat mengasah bakat kepimpinan, kepengikutan dan dinamika organisasi secara lebih bersahaja dan santai.

Contoh bidang tumpuan kegiatan kokurikulum ialah kepimpinan, perkhidmatan dan kebajikan. Proses pemilihan pemimpin organisasi bakal memberikan pengalaman kepada murid tentang pengaruh, kuasa, mandat, amanah, peranan, tanggungjawab, pengurusan konflik dan krisis, serta kerjasama berpasukan dalam memastikan kejayaan organisasi. Kebiasaan menghadiri menghadiri mesyuarat agung organisasi akan berguna apabila mereka menceburi alam pekerjaan dan masyarakat yang memerlukan adab, etika dan disiplin yang serupa.

Kebiasaannya, para pemimpin organisasi kokurikulum dalam kalangan murid sekolah akan dikehendaki menjalani kursus kepimpinan dan perancangan supaya hala tuju kegiatan akan sentiasa sejajar dengan segala dasar pendidikan dan juga menyumbang terhadap kemajuan sekolah secara tuntas. Walaupun terdapat penegasan dasar, tetapi dari segi pelaksanaan terserah kepada kreativiti dan keupayaan anggota organisasi. Murid dibimbing supaya menyerlahkan kebijaksanaan dan kecerdasan kerja berpasukan dalam menjayakan segala kegiatan yang dijadualkan.

Secara pandang seluruh, perancangan sesuatu kegiatan kokurikulum perlu mengenal pasti dan menetapkan item-item berikut:

1    Tajuk / nama projek / program

2    Konsep umum projek / program

3    Objektif projek /  program

4    Tentatif tarikh, masa dan tempat

5    Bidang projek / program

6    Penyertaan (dalaman organisasi, dan / atau jemputan)

7    Anggaran perbelanjaan

8    Sumber kewangan

9    Ahli jawatankuasa pengurusan

10   Atur cara lengkap

No comments: