SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, September 30, 2012

MOTIVASI BELAJAR: SENTIASA INGAT TUJUAN ASAL (ALWAYS FOCUS AND CONTROL)

Assalamu alaikum dan salam sejahtera.

Pelajar yang dikasihi sekalian,

Saya pernah mendengar seorang pelajar mengatakan bahawa dia ke sekolah kerana terpaksa, iaitu sekadar untuk memenuhi 'perintah' ibu bapanya. Dia berasa rimas berada di dalam kelas kerana harus mengikuti aktiviti pembelajaran yang sungguh menyeksa. Detik yang dilalui di sekolah dirasakan begitu panjang.

Saya memang sangat bersimpati, malah empati kepada pelajar yang seorang itu. Dari satu segi, pelajar itu seperti terkongkong dan tidak memiliki kesempatan untuk menyuarakan kehendak diri sendiri. Ibarat puntung kayu yang hanyut dalam arus sungai yang deras, tiada tentu arah tujuan.

Dari sudut yang lain, pelajar itu seperti tidak pernah menghargai niat baik ibu bapa yang telah membesarkan dia daripada sebesar tapak jari sahaja. Tidak mungkin ada ibu bapa yang berniat buruk apabila menghantar anak mereka ke sekolah. Sebagai orang dewasa yang sudah masak dengan asam garam dan rempah ratus kehidupan, mereka arif bahawa hanya ilmu pengetahuan yang sah dapat membimbing sebuah kehidupan yang sejahtera, dan supaya seseorang itu tidah mudah dihina dan diinjak oleh orang lain.

Hukamak pernah mengungkapkan bahawa ilmu menjaga harta, tetapi harta tidak menjaga ilmu. Orang yang berilmu pengetahuan berupaya mengurus dan mengembangkan harta untuk kekal bermanfaat kepada diri dan orang lain. Sebaliknya, orang berharta yang jahil akan mudah ditipu dan dikuasai perasaan tamak dan boros sehingga harta berkenaan akhirnya jatuh ke tangan orang jahat.

Pelajar yang dimuliakan,

Niat yang baik dan tulus ialah asas sesuatu amalan yang berjaya. Sebuah hadith mutawattir mengungkapkan, Innama'l- a'malu bi'n-niah, ila akhir (au kama qala). Maksudnya, setiap amal itu bergantung kepada niat.

Pelajar wajib membetulkan niat terlebih dahulu sebelum melangkah kaki ke sekolah. Biarlah pelajar hadir ke sekolah dengan niat yang tulus ikhlas untuk belajar dan memperoleh ilmu pengetahuan yang sah. Keberkatan ilmu datang daripada niat yang tulus ikhlas dan suci hati.

Tetapkan matlamat pelajar untuk beroleh kecemerlangan ilmu dan memupuk sahsiah yang luhur. Pelajar harus mengingatkan diri tentang adab belajar dan menuntut ilmu. Guru hendaklah dihormati selayaknya.

Setiap kali ada bisikan di dalam diri supaya terpesong daripada niat asal ke sekolah, sentiasalah kembali mengawal diri sendiri. Ingatkan diri dan pujuk diri supaya berpegang kepada niat asal melangkah kaki ke sekolah. Jangan biarkan diri ditawan oleh hasutan negatif yang bersarang dalam diri sendiri.

Demikian juga apabila muncul ajakan dan provokasi kawan supaya berseronok sahaja dengan mengabaikan pembelajaran. Biar sahaja guru tertekan, asal diri sendiri dan kawan berasa gembira. Katakan tidak kepada godaan dahsyat serupa itu.

Ayuh, kini masanya untuk mengatakan ya terhadap jati diri. Walaupun persekitaran pembelajaran kita dikelilingi oleh rakan yang berjiwa kerdil, pelajar terus istighfar dan kembali kepada niat asal datang ke sekolah. Ingatlah bahawa kawan ketawa banyak sekali, tetapi kawan menangis hanya tinggal habuk!

Pelajar yang hebat,

Untuk mencapai kejayaan yang luar biasa mesti dengan usaha yang luar biasa juga. Tiada lampu ajaib Aladin untuk menunaikan khayalan dongeng seseorang. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.

Pelajar hendaklah bergaul dengan rakan yang hebat, iaitu mereka yang sentiasa berpegang kepada kawalan diri dengan niat yang tulus ikhlas. Rakan jenis itu memang sudah untuk dicari dan didekati. Kalau rakan yang busuk hati dan suka menyeret pelajar sama sepertinya memang sentiasa menggamit tanpa henti.

Maka, pelajar mesti mengenal intan walaupun tertanam di dalam lumpur. Kejar kecemerlangan ilmu dan sahsiah sementara kesempatan masih ada. Kawal diri pelajar dengan niat yang tulus ikhlas.

Sekian. Wassalam...

Saturday, September 29, 2012

PENEMPATAN GURU DARI SUDUT EKONOMI PENDIDIKAN (DEMAND AND SUPPLY OF TEACHERS)

Sejumlah 7,000 orang siswazah Institut Perguruan dan 3,000 orang siswazah pendidikan universiti awam tempatan masih belum ditawarkan jawatan sebagai guru terlatih. Fenomena ini menggambarkan bahawa kelayakan ikhtisas keguruan bukan lagi sebagai tiket automatik bagi memperoleh pekerjaan. Keadaan yang sama telah lebih dahulu berlaku kepada lulusan kejururawatan, penerbangan dan perniagaan.

Setakat ini, bidang pengajian ikhtisas yang masih dikira selamat ialah perubatan, kejuruteraan dan undang-undang. Namun, dengan peningkatan mendadak siswazah bidang berkenaan, khususnya daripada kolej dan universiti swasta, kemungkinan berlaku pengangguran pada masa hadapan tidak dapat ditolak. Maka, kreativiti siswazah ikhtisas untuk beralih ke bidang keusahawanan yang berkaitan dengan kelayakan mereka perlu diteroka.

Permintaan pasaran terhadap pusat tuisyen, terutama di bandar-bandar besar sebenarnya semakin tinggi. Ibu bapa bukan mempertikaikan keberkesanan pembelajaran di sekolah, tetapi mereka mahu memastikan bahawa anak-anak mereka berada dalam jagaan yang selamat selepas sesi persekolahan tamat. Ibu bapa sedemikian harus berada di tempat kerja hingga lewat petang dan kemudian terperangkap pula dalam kesesakan jalan raya.

Harapan untuk 10,000 orang siswazah pendidikan untuk ditempatkan di sekolah awam masih ada apabila segala urusan norma perjawatan yang membabitkan Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berjaya diselesaikan. Keputusan untuk mewujudkan jawatan baharu atau untuk mengisi kekosongan jawatan yang sedia ada memerlukan unjuran yang tepat atas pertimbangan implikasi kewangan. Proses pengambilan kakitangan awam kena melalui proses yang sama, tidak kira guru, polis, tentera, guna sama dan sebagainya.

Perancangan pengajian tinggi ikhtisas dengan perancangan guna tenaga ialah dua perkara yang berbeza. Tugas institut pengajian tinggi ialah menyediakan akses ilmu dan kelayakan ikhtisas kepada calon yang layak, manakala peluang pekerjaan sangat bergantung kepada permintaan pasaran. Saiz jentera perkhidmatan awam semasa yang mencapai tahap guna tenaga sebanyak 1.3 juta orang boleh dianggap sudah optimum.

Kekosongan jawatan boleh berlaku apabila terdapat kakitangan yang bersara, sama ada secara pencen paksa (bersara wajib), atau bersara secara pilihan. Selain itu, dalam kes-kes terpencil terdapat juga kakitangan awam yang bersara kerana masalah kesihatan atau meninggal dunia. Dengan pelanjutan usia pencen paksa hingga usia 60 tahun, berlaku penangguhan pelantikan kakitangan baharu.

Keperluan bermaksud wujud perbezaan antara apa yang seharusnya ada dengan apa yang sebenarnya ada. Di sekolah, keperluan guru berkorelasi terus dengan enrolmen murid. Jika arah aliran kadar kelahiran yang semakin menurun berterusan, iaitu di bawah dua peratus, kemasukan murid prasekolah dan tahun satu akan berkurangan. 

Unjuran bahawa Malaysia akan menjadi negara tua (baca: majoriti rakyat lanjut usia) menjelang tahun 2035 bakal mengakibatkan permintaan untuk guru baharu menjadi susut. Hanya jika pihak berkuasa membuat keputusan supaya nisbah guru kepada murid 1:15 yang sedia ada dikecilkan lagi, maka pelantikan guru baharu akan menjadi keperluan semula. Demikian juga pewujudan jawatan pembantu guru yang ditambah.

Fakulti pendidikan, universiti pendidikan dan institut perguruan tidak boleh ditutup, sebaliknya akan terus melatih siswazah ikhtisas dalam bidang keguruan. Tumpuan latihan mungkin mengalami anjakan paradigma kepada pendidikan khas kanak-kanak kurang beruntung, kanak-kanak pintar cerdas dan kanak-kanak bekeperluan khas yang lain. Persediaan untuk muncul sebagai negara maju berpendapatan tinggi memungkinkan munculnya keperluan perjawatan baharu dalam bidang keguruan...

Friday, September 28, 2012

SEJARAH BELANJAWAN NEGARA (GOVERNMENT REVENUE AND EXPENSES)

Pengenalan

Perkataan 'bajet' hanya diberi penarafan sebagai bahasa percakapan (bp) oleh Kamus Dewan Edisi IV (muka surat 110). Perkataan yang tepat ialah belanjawan (muka surat 153) , iaitu perhitungan banyaknya wang yang akan diterima (sebagai pendapatan) dan dibelanjakan; butiran ringkas anggaran pendapatan, dan perbelanjaan; atau peruntukan wang untuk sesuatu jangka waktu. Memandangkan buku teks ekonomi juga menggunakan perkataan belanjawan, diharapkan pihak kerajaan akan kembali menggunakannya supaya senarai kosa kata bahasa Melayu asli yang dialih kepada bahasa asing tidak semakin panjang.

Belanjawan negara ialah satu rancangan tentang anggaran hasil dan perbelanjaan kerajaan bagi tahun tertentu (Chang, L.M., 2011: 214). Bagi tujuan analisis ekonomi secara ilmiah, bahagian retorik politik dalam pembentangan sesuatu belanjawan perlu diasingkan. Ahli ekonomi mementingkan reka bentuk belanjawan yang seboleh mungkin memperuntukkan sumber yang terhad bagi kegunaan ekonomi yang terbaik, sedangkan ahli politik lebih mementingkan manfaat pengaruh dan percaturan 'tarik tali' (http://en.wikipedia.org/wiki/Government_budget).

Isu belanjawan yang menyokong pertumbuhan ekonomi yang mapan telah menarik perhatian para sarjana dan ahli politik, justeru negara-negara maju seperti Itali dan Sepanyol turut mengalami risiko muflis akibat peningkatan paras hutang negara ke tahap 55 peratus keluaran dalam negara kasar, manakala Greece terpaksa diselamatkan oleh Kesatuan Eropah (EU) usai berbelanja besar untuk penganjuran Sukan Olimpik musim panas edisi 2008. Allen Schick, felo dan profesor pelawat di Universiti Maryland, Amerika Syarikat (http://www.oecd.org/gov/budgetingandpublicexpenditures/43481125.pdf) menyarankan supaya inovasi dalam reka bentuk belanjawan, sejajar dengan perubahan persekitaran ekonomi mutakhir. Pendek kata, rejim belanjawan yang baharu harus dipertimbangkan dengan serius supaya krisis kewangan tidak akan menjejaskan kehidupan umat manusia yang saling bergantung dalam era globalisasi atau kampung sejagat ini.

Pembentangan Belanjawan di Malaysia

Baharu semalam, belanjawan 2013 dibentangkan sebagai usul perbahasan parlimen oleh Menteri Kewangan, Dato' Seri Najib bin Tun Abdul Razak, yang juga Perdana Menteri Malaysia. Sebelum itu, belanjawan negara pernah dibentang oleh Tun Abdullah Badawi, Tun Dr. Mahathir, Dato' Seri Dr. Anwar Ibrahim, Tun Daim Zainuddin, Tengku Razaliegh Hamzah dan Tun Tan Swee Sin (mendiang). Sejak merdeka, semua belanjawan yang dibentangkan bersifat belanjawan kurangan (defisit), kecuali antara tempoh 1993 - 1997 yang dianggap sebagai zaman keemasan ekonomi Malaysia, dengan pencapaian kadar purata pertumbuhan tahunan sebanyak 8.75 peratus, serta guna tenaga penuh. Sebagai negara yang masih dalam proses mengukuhkan pasaran domestik, ekonomi Malaysia sangat kuat dipengaruhi oleh arah aliran ekonomi dunia, terutama di negara rakan dagang yang membentuk permintaan barang eksport Malaysia.

Pembentangan usul belanjawan oleh menteri kewangan lazimnya berakhir dengan ungkapan, 'Tuan Yang Dipertua, saya (menteri kewangan) mohon mengusulkan". Maknanya, butiran belanjawan masih belum bersifat muktamad, sebaliknya tertakluk kepada kelulusan sidang parlimen setelah sesi perbahasan parlimen selesai sepenuhnya. Belanjawan akan diisytiharkan sebagai dokumen undang-undang yang sah apabila undian sidang parlimen memberi kelulusan walaupun dengan majoriti mudah, iaitu perbezaan satu undi sahaja. 

Andai kata belanjawan tidak mendapat kelulusan sidang parlimen, maka semua proses kutipan hasil dan perbelanjaan awam akan tergantung, dan jemaah menteri pada prinsipnya perlu meletak jawatan. Maka, walaupun dalam sesi perbahasan, banyak sekali ahli parlimen yang menghilang diri, atau tidak nampak batang hidung, tetapi semasa sesi pengundian, mereka wajib hadir sebagai memberi restu. Kegagalan berbuat demikian mendedahkan negara terhadap pergolakan politik dan krisis pengurusan kewangan awam yang runcing.

Konsep Belanjawan Lebihan

Ketika ekonomi melambung, kerajaan mampu merancang belanjawan lebihan, iaitu jumlah hasil melebihi jumlah perbelanjaan. Lebihan hasil akan disimpan dalam akaun perbendaharaan untuk kegunaan masa hadapan. Belanjawan lebihan hanya dapat berlaku dengan syarat bahawa perbelanjaan kerajaan dirancang secara berhemah, tiada bocoran, mengutamakan keberkesanan kos, telus dan mengelakkan unsur manipulasi apabila harta berlegar dalam kalangan segelintir orang yang berpengaruh. Dasar fiskal dan dasar kewangan direka bentuk dengan cermat supaya pertumbuhan ekonomi yang bersekali dengan kawalan inflasi, bakal dinikmati menerusi agihan pendapatan yang setara, dasar guna tenaga yang berdaya saing dan imbangan pembayaran yang positif.

...

...

...

...

Konsep Belanjawan Kurangan
ambilan: myMetro  (http://202.186.153.15/belanjawan)
...

...

...

...

...

Perancangan Senario dan Belanjawan Negara

...
...

...

Kesimpulan dan Penutup

...

...

...

PELAJAR PRAUNIVERSITI TINGKATAN 6 DAPAT RM250 (ONE-OFF PAYMENT FOR SIXTH FORM)

Belanjawan 2013 yang dibentangkan petang tadi (Jumaat, 28/9/12) menyebut bahawa sejumlah 1.3 juta pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta, serta pelajar prauniversiti, termasuk tingkatan 6, akan menikmati baucar pembelian buku bernilai RM250. Pengedaran baucar menerusi institusi masing-masing itu bakal dilaksanakan pada bulan Januari nanti. Nilai baucar itu telah meningkat sebanyak RM50, berbanding dengan tahun lalu. 

Pemberian baucar buku 1Malaysia itu membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM325 juta. Langkah meningkatkan nilai baucar itu dianggap sangat wajar memandangkan pelajar prauniversiti dan IPT tidak menikmati skim pinjaman buku teks sebagaimana murid sekolah menengah. Kini, terpulang kepada pelajar untuk memanfaatkan baucar berkenaan supaya dapat membantu mereka dalam proses pembelajaran.

Khusus buat pelajar prauniversiti, selain baucar buku, mereka turut dikecualikan daripada yuran sekolah, kecuali majalah (RM10 - RM12). Di sekolah bantuan penuh kerajaan, PIBG juga menerima sejumlah peruntukan tertentu bagi membiayai kegiatan membantu pihak sekolah dalam proses memupuk pembelajaran. Sebarang kutipan derma PIBG wajib mendapat kelulusan pihak Jabatan Pelajaran Negeri.

Yuran pendaftaran STPM juga sudah beberapa tahun ditanggung oleh pihak kerajaan, kecuali untuk kertas Muet (Malaysian University English Test) sebanyak RM100 yang dibayar menerusi pembelian nombor pengenalan diri (PIN) di mesin juruwang automatik Bank Simpanan Nasional. Konsep pendidikan percuma telah dilaksanakan hampir sepenuhnya kepada pelajar tingkatan 6. Selain itu, pelajar yang memenuhi syarat tertentu juga dipelawa untuk memohon biasiswa prauniversiti yang bernilai lebih RM1,000 setahun.

Penempatan kolej pengajian tingkatan 6 secara berpusat juga dijangka bermula secara berperingkat pada awal tahun 2013. Tujuan pemisahan pelajar prauniversiti dengan sekolah menengah ialah bagi memberi peluang tumpuan pembelajaran yang optimum. Sistem penggal menyebabkan mereka tidak betah mengikuti begitu banyak program sekolah biasa kerana harus sentiasa bersedia menghadapi peperiksaan setiap penggal, selain keperluan menyiapkan kertas projek.

Persekitaran pembelajaran yang eksklusif sangat diperlukan bagi mendedahkan pelajar tingkatan 6 terhadap kehidupan kampus yang bakal dilalui. Buat masa ini, apabila pelajar tingkatan 6 turut mengenakan pakaian seragam sekolah, tingkah laku mereka juga tidak banyak berbeza dengan murid menengah atas yang lain. Mod pembelajaran secara kuliah sukar untuk dilaksanakan kerana reka bentuk kelas tingkatan 6 tidak ubah seperti bilik darjah murid sekolah menengah atas yang lain...

Thursday, September 27, 2012

KEPENTINGAN PENULISAN MINIT MESYUARAT (THE IMPLEMENTATION OF APPROVAL DECISION)

Penetapan dasar dan perjalanan sesebuah organisasi, tidak kira besar atau kecil, ditetapkan dalam majlis mesyuarat, sama ada mesyuarat agung tahunan, mesyuarat tergempar, mahupun mesyuarat jawatankuasa secara berkala. Keputusan yang diambil dalam mesyuarat wajib dipatuhi oleh sekalian anggota organisasi, termasuk jawatankuasa yang melaksanakan tugas eksekutif. Butiran mesyuarat dianggap sebagai rahsia dan terperingkat, melainkan diklasifikasikan sebagai tatapan umum.

Organisasi peringkat dunia seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) misalnya menerima arahan daripada Perhimpunan Agung (Unga) yang dihadiri oleh ketua-ketua kerajaan seluruh dunia. Setelah itu, terdapat pula mesyuarat majlis keselamatan yang dianggotai oleh 15 buah negara, dengan lima daripada negara berkenaan memiliki kuasa pembatal atau veto, iaitu Amerika Syarikat, Britain, China, Peranchis dan Rusia. Pentadbiran eksekutif PBB diketuai oleh seorang setiausaha agung, sekarang Ban Kin Moon dari Korea Selatan, serta kakitangan sepenuh masa dalam pelbagai jawatankuasa dan agensi.

Di peringkat tempatan, sesebuah kerajaan juga ditadbir oleh jemaah menteri menerusi keputusan mesyuarat mingguan kabinet, biasanya pada setiap hari Rabu. Di Malaysia, mesyuarat dipengerusikan oleh Perdana  Menteri dan minit disediakan  oleh Ketua Setiausaha Negara selaku setiausaha kabinet secara ex-officio. Para menteri akan membentangkan kertas kabinet tentang projek dan program kementerian masing-masing untuk kelulusan mesyuarat dan tentunya restu Perdana Menteri selaku ketua kerajaan.

Organisasi korporat juga beroperasi berdasarkan keputusan mesyuarat (atau disebut 'rapat' di Indonesia) bagi mengatur strategi merebut tender awam dan swasta, selain pentadbiran harian syarikat. Analisis akaun dan aliran tunai syarikat dianggap sebagai paling kritikal sebagai nadi dan hidup mati dalam dunia korporat. Banyak juga butiran mesyuarat yang bersifat terhad (off-record), terutama tentang kelakuan kakitangan dan tahap kemajuan seseorang pegawai tinggi yang mungkin kebetulan tidak hadir dalam mesyuarat.

Organisasi pendidikan dari peringkat kementerian, jabatan, daerah dan sekolah tidak kurang sibuk dengan jadual mesyuarat sepanjang hari hingga dianggarkan hampir 50 peratus tugas kepimpinan organisasi pendidikan dihabiskan dalam majlis mesyuarat pelbagai peringkat jawatankuasa. Antara mesyuarat penting di sekolah ialah mesyuarat jawatankuasa pengurusan tertinggi, jawatankuasa kurikulum, 4K (keselamatan, kebersihan, keceriaan, kesihatan), disiplin dan stok. Semua mesyuarat berkenaan dianggap sebagai keputusan dasar di peringkat sekolah yang bakal diperinci untuk tujuan pelaksanaan di peringkat jawatankuasa khas di bawah konsep perwakilan kuasa dan pemerkasaan.

Fungsi utama mesyuarat ialah bagi membuat keputusan berdasarkan maklumat yang autentik secara muafakat. Anggota mesyuarat umpama telah mengikat persetiaan supaya akur dengan keputusan bersama supaya tidak timbul situasi rumah siap pahat berbunyi. Pengerusi mesyuarat sebagai superior harus bertindak secara adil dan bertimbang rasa jika perlu memberi laluan terhadap perbezaan pendapat yang menjurus ke arah kebaikan organisasi.

Tentatif tarikh mesyuarat boleh dijadualkan sepanjang tahun dengan pindaan tarikh berdasarkan keperluan. Notis muktamad tentang panggilan mesyuarat boleh dibuat secara bertulis, edaran yang ditandatangani atau paparan dalam laman sesawang rasmi organisasi yang disalinkan menerusi e-mel pegawai dan kakitangan yang terbabit. Setiausaha akan mendapatkan maklumat awal tentang kehadiran ahli jawatankuasa mesyuarat, serta mengambil maklum jika ada dalam kalangan anggota mesyuarat yang memiliki aral yang munasabah untuk tidak hadir.

Setiausaha mesyuarat ialah pentadbir eksekutif kepada jawatankuasa yang bukan sahaja mencatat minit, malah menyediakan catatan pemantauan supaya semua keputusan akan dipatuhi oleh jawatankuasa yang menerima arahan mengikut jangka masa yang ditetapkan. Seseorang setiausaha mesyuarat mesti peka terhadap segala perbincangan dalam mesyuarat supaya tidak berlaku sebarang kesilapan dan ketinggalan. Setiausaha juga mesti memiliki kemahiran mencatat semua butiran minit dalam format yang piawai, serta mudah difahami supaya tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan segera.

Bagi mengelakkan kebocoran maklumat mesyuarat, lazimnya rakaman secara audio video tidak dibenarkan. Tambahan pula, butiran mesyuarat ayat demi ayat (verbatim) juga tidak membawa sebarang makna justeru minit bertujuan menyediakan keputusan ijmak (kolektif), bukan suatu laporan bersifat cakap ajuk. Setiausaha mungkin perlu kemahiran trengkas atau menggunakan ejaan singkat dan simbol tertentu seperti semasa mengambil nota kuliah di universiti bagi mencatat butiran mentah minit sebelum dimurnikan semula.

Khabarnya, minit mesyuarat jemaah menteri di Jepun disediakan secara tulisan tangan, dibuat salinan fotokopi, lalu diedarkan serta-merta sebelum majlis bersurai. Sejak sekian lama Jepun tidak pernah lengah dalam mengambil tindakan segera supaya segala peluang yang muncul dalam bidang politik, ekonomi dan sosial sedunia dapat direbut sebelum pesaing mereka sempat berbuat demikian. Kini, Jepun harus menerima hakikat bahawa Korea Selatan juga telah mencontohi pelaksanaan keputusan mesyuarat yang segera dalam segala bidang strategik.

Minit mesyuarat dimulakan dengan nama organisasi, nama jawatankuasa dan bilangan mesyuarat (kali ke- ...) di bahagian paling atas tengah, diikuti butiran tempa dan masa mesyuarat. Senarai hadir dan tidak hadir anggota mesyuarat juga dicatat satu per satu.

Bagi mengoptimumkan kegunaan kertas minit, format yang paling sesuai ialah menggunakan dua ruangan sahaja, iaitu ruang bilangan dan agenda, serta butiran dan perbincangan. Catatan tentang makluman atau tindakan hanya dicatatkan di penghujung butiran (sebelah kanan) jika ada keperluan. Laras bahasa minit mesyuarat biasanya tidak ditulis dalam ayat lengkap (melainkan untuk tujuan peperiksaan), sebaliknya berbentuk pecahan seperti 1.1, 1.2 dan seterusnya.

Bagi mesyuarat kali pertama, agenda mesyuarat biasanya bermula dengan ucapan alu-aluan pengerusi, diikuti dengan pembentang kertas cadangan jawatankuasa, perbincangan dan hal-hal lain. Seterusnya, dalam mesyuarat kedua seharusnya bermula juga dengan ucapan alu-aluan pengerusi, mengesahkan minit mesyuarat yang lalu, perkara berbangkit, laporan kemajuan program / projek, kewangan dan hal-hal lain. Setiausaha hendaklah membantu pengerusi mesyuarat supaya akur terhadap agenda mesyuarat dan mengelolakan mesyuarat berdasarkan prinsip kecekapan sumber, termasuk masa.


Setiausaha hendaklah juga mencatat masa berakhirnya mesyuarat dengan catatan minit mesyuarat ditangguhkan pada pukul ... pagi / petang sebelum menurunkan tandatangan. Sebelum minit dimuktamadkan, draf minit eloklah ditunjukkan kepada pengerusi mesyuarat untuk tujuan semakan dan pembetulan. Kadangkala perlu ada tapisan minit supaya tiada perkara yang berpotensi menimbulkan salah faham tercatat.


Sesebuah majlis mesyuarat yang ideal hendaklah dilaksanakan setelah persediaan rapi dibuat oleh semua anggota mesyuarat. Mereka tidak patut datang dengan tangan kosong, kemudian hanya terlopong mendengar 'celoteh' pengerusi, atau lebih buruk melayan peranti elektronik mudah alih sesama rakan. Persediaan sebelum mesyuarat dianggap sama penting dengan agenda mesyuarat sebagai kawalan supaya mesyuarat berhasil membuat keputusan yang paling tepat dan bertanggungjawab...

Wednesday, September 26, 2012

PUNCA TIBA LEWAT DI TEMPAT KERJA, BELAJAR (THE THIEF OF TIME)

Dalam dunia insurans, ungkapan The Act of God merujuk kepada risiko yang tidak boleh dinsuranskan. Dalam keadaan biasa, polisi insurans tidak meliputi risiko bencana alam seperti gempa bumi, banjir besar, tsunami dan taufan, melainkan dinyatakan sebaliknya dalam terma dan syarat yang ditandatangani. Hakikatnya, kalau dibenarkan, syarikat insurans dan takaful tentu enggan menawarkan insurans kenderaan yang sangat berisiko tinggi dan didapati paling banyak membuat tuntutan pampasan.

Proses perancangan pula dianggap sebagai ikhtiar atau upaya bagi memininumkan kesilapan, ketinggalan dan ralat. Sebaliknya, perancangan sangat hampir kepada pencapaian yang diharapkan. Saidina Ali karamallahu wajhah pernah mengatakan al-batil bi'n-nizam yaghlibu'l-haqqa bi ghari'n-nizam, iaitu yang palsu dengan perancangan dapat mengalahkan yang benar tanpa perancangan.

Setelah segala langkah perancangan diambil, baharulah seseorang itu patut pasrah, tawakal dan berserah bulat-bulat kepada Kehendak-Nya jua. Sistem keselamatan kenderaan perlu diberi perhatian bagi mengelakkan sebarang perbuatan khianat penjenayah. Pendek kata, proses perancangan merupakan asas kepada kejayaan dan pencapaian yang disasarkan.

Perjalanan ke tempat kerja dan belajar juga memerlukan perancangan supaya tidak tergendala sehingga mengakibatkan seseorang itu tiba lewat daripada waktu yang ditetapkan. Sekali dua kad perakam waktu atau imbasan digital cop cari bertukar kepada warna merah mungkin masih boleh ada tolak ansur. Namun, apabila seseorang pekerja atau pelajar itu kerap tiba lewat, maka alasan yang bersifat berulang-ulang akan menjadi lapuk dan tidak lagi boleh diterima.

Dalam keadaan bilangan kenderaan di jalan raya yang begitu banyak sekarang ini, seseorang pemandu dan penumpang tidak boleh lagi membuat anggaran masa 'cukup makan' atau ngam-ngam sahaja. Pada waktu awal pagi lagi jalan raya mula dipenuhi oleh pelbagai jenis kenderaan yang dipandu atas bermacam-macam urusan segera atau santai sahaja. Pergerakan kenderaan boleh bertukar perlahan atau tersekat terus jika berlaku peristiwa yang tidak diduga seperti kereta rosak, kemalangan, kawalan polis, lampu isyarat meragam atau terpaksa mengekori kenderaan yang bergerak lambat.

Untuk keluar lebih awal dari rumah juga memerlukan proses perancangan. Sebagai contoh, segala keperluan ke tempat kerja dan belajar harus sudah disediakan pada malam sebelumnya. Pakaian hendak diseterika dan digantung di tempat yang mudah dicapai supaya tidak kalut kerana hendak mengejar masa. Stoking, tali leher, tanda nama, dokumen perjalanan, wang saku, cermin mata, tali pinggang, kasut, kunci kereta, kunci rumah, telefon bimbit, beg kerja, peranti elektronik mudah alih, dan lain-lain sudah disiapkan.

Bahan api (minyak petrol) kenderaan pula mesti cukup supaya tidak perlu singgah di stesen minyak dan mengambil masa yang panjang di sana. Jika perlu menghantar anak ke sekolah, pastikan segala keperluan mereka, termasuk buku-buku yang perlu dibawa telah disusun berdasarkan jadual belajar mereka. Bekalan air masak atau air mineral perlu diletakkan di sisi beg sekolah mereka sejak malam sebelumnya.

Peruntukan masa untuk mematikan semua suis elektrik, memeriksa api dapur, pili, membuka dan menutup pintu rumah serta pagar dan masuk kenderaan perlu diambil kira dalam perancangan ke tempat kerja dan belajar. Jika perlu membuang karung sampah ke dalam tong sampah di luar pagar rumah, lakukan selepas balik dari surau (solat Subuh), atau sebelum mengenakan persalinan pakaian kerja dan belajar. Perkara sampingan seperti itu mungkin sahaja memakan masa untuk diselesaikan.

Biasanya jarak pintu pagar pejabat, sekolah atau kampus dengan tempat merakam waktu ketibaan akan mengambil sedikit masa. Apatah lagi andai kata tempat meletak kenderaan agak jauh. Jika berlaku hujan lebat, air mungkin bertakung, lalu mengakibatkan pergerakan ke tempat merakam waktu menjadi lebih panjang daripada biasa.

Seseorang pekerja atau pelajar yang didapati sering tiba lewat akan berhadapan dengan risiko dikenakan tindakan disiplin dan tatatertib. Keutuhan peribadi dan rasa hormat oleh orang lain terhadap diri mereka juga mungkin terjejas. Peribahasa 'biar lambat asal selamat' masih relevan, tetapi dengan syarat keluar awal dari rumah supaya segala halangan di perjalanan tidak menyebabkan seseorang itu tiba lewat di tempat kerja atau belajar...

Monday, September 24, 2012

KEBAIKAN DAN KEBURUKAN RESTORAN MAKANAN SEGERA (THE RECENT RESEARCH ON OBESITY)

Buat kesekian kalinya dapatan penyelidikan mengukuhkan kesimpulan bahawa antara punca berlebihan berat badan dan kegemukan ialah tabiat pengambilan makanan segera, minuman berkarbonat dan masakan manis. Pakar pemakanan berhujah bahawa saranan supaya menjauhi makanan segera bukanlah dimaksudkan secara muktamad, melainkan kekerapan pengambilan dijadualkan secara munasabah. Maksudnya, kunjungan ke restoran makanan segera hanya bersifat sekali sekala, walaupun promosi hidangan terkini di sana begitu menggugat jiwa dan raga.
keratan akhbar Kosmo 24/9/12: klik untuka paparan penuh

Berat badan ideal menurut indeks jisim tubuh (BMI) ialah antara 22 - 25. Ironinya, kehidupan moden yang banyak bergantung kepada teknologi ini, manusia semakin malas mengeluarkan peluh menerusi pergerakan jasmani, sebaliknya hanya mendekam di hadapan komputer, televisyen dan gajet komunikasi yang lain. Jika berjalan di dalam pasar raya pun, tiada panas matahari dan tidak perlu memanjat anak tangga yang curam.

Generasi dahulu kala bukan tidak pernah terkena wabak penyakit, tetapi nama penyakit pada ketika itu tidak dinamakan secara saintifik, melainkan angin pasang satu badan, sampuk atau lemah semangat. Malah, pantun gendang gendut tali kecapi, kenyang perut senang hati membuktikan bahawa isu berlebihan berat badan sudah biasa diberi perhatian. Pada zaman teknologi nano ini, antara negara yang dilanda krisis obesiti dalam kalangan rakyat ialah Amerika Syarikat, Arab Saudi dan Australia.

...

...

...

...

...

...

...

Sunday, September 23, 2012

LAGU NASYID KIAN TERPINGGIR (SPIRITUAL MUSIC PERFORMANCE)

Suatu ketika dahulu, genre nasyid pernah mengungguli persada muzik tempatan. Album pertama kumpulan Raihan pernah mencecah jualan sebanyak 600,000 unit. Kumpulan nasyid lain seperti Hijjaz dan Rabbani yang pernah dikaitkan dengan Nada Murni (segmen muzik kumpulan al-Arqam yang kini diharamkan) juga berjaya menambat hati peminat hiburan di rantau Nusantara. Mereka berkongsi ciri yang sama, iaitu inovasi dalam susunan irama nasyid daripada semata-mata acapella kepada penggunaan alat muzik yang lebih moden dan bernafas popular.

Kini, irama nasyid seolah-olah sudah lenyap daripada arus perdana muzik tanah air dan hanya layak tersiar menerusi corong radio Ikim.fm, atau ketika menjelang waktu azan di saluran radio yang lain. Demikian juga dengan saluran televisyen seperti Astro Oasis dan al-Hijrah yang sudi melayan lagu nasyid sebagai menu muzik yang utama. Stesen televisyen milik Media Prima dan RTM bersikap sama dengan saluran radio arus perdana yang disebutkan tadi.

Mujur juga fenomena Insya-Allah oleh Maher Zain dan Sami Yusuf yang berpangkalan di England berjaya menyemarakkan kembali alunan irama nasyid kontemporari. Apabila mereka diundang menjayakan konsert berskala besar di Malaysia, baharulah kumpulan nasyid tempatan mendapat kesempatan untuk membuat kemunculan kembali. Kebanyakan kumpulan nasyid yang pernah popular terpaksa menceburi bidang perniagaan umrah atau minyak wangi kerana kekurangan undangan persembahan pentas.

Hakikatnya, hanya irama pop (popular) yang bernafas balada dan santai mampu bertahan lebih lama, serta mencapai tahap malar hijau. Irama muzik lain seperti jazz, rock, hip hop, rap, metal dan dangdut hanya gah sekali sekala, dan kemudian tenggelam semula. Maka, penggiat irama nasyid patut menggilap kreativiti supaya dapat memenuhi cita rasa khalayak penggemar hiburan tanpa menggadaikan sebarang prinsip yang menjadi teras identiti mereka.

Kini, satu lagi cabaran yang terpaksa dihadapi oleh aliran irama nasyid, iaitu lagu-lagu biasa yang diberi status kerohanian. Lagu cinta biasa, misalnya dendangan Anuar Zain, iaitu 'Ketulusan Hati' dijadikan lagu latar ibadah haji di Makkah (Astro Oasis, saluran 106). Malah, penulis lirik lagu rock juga mendakwa bahawa seni kata yang ditulis bertemakan kerohanian walaupun disampaikan oleh penyanyi lelaki bersubang telinga dan berantai leher.

Sebagai langkah menyelamatkan irama nasyid dalam arus perdana muzik, beberapa percubaan dilakukan bagi menggandingkan penyanyi nasyid dengan penyanyi pop terkenal. Satu contoh lagu yang berjaya ialah koloborasi kumpulan nasyid Mirwana yang pernah dianggotai oleh Faizal Tahir (penyanyi 'Gemuruh') bersama bekas vokalis Carefree, iaitu Jay Jay dengan judul 'Aku Tanpa Cintamu'. Namun, percubaan yang serupa oleh kumpulan nasyid yang lain tidak begitu berhasil menembusi arus perdana muzik semasa.

Nampak gayanya jalan untuk irama nasyid kembali memeriahkan arus perdana muzik semasa memerlukan keajaiban dan fenomena luar biasa. Cita rasa pasaran muzik semasa semakin sukar untuk ditebak. Tiada sesiapa pun jua yang menyangka Gangnam Style dendangan penyanyi rap gempal Korea Selatan berjaya menakluki persada muzik antarabangsa dengan jumlah tontonan melebihi 250 juta kali di laman perkongsian fail video You Tube.

Penggiat irama nasyid tidak lagi boleh bergerak secara sendirian berdasarkan genius individu. Mereka harus bergabung dalam satu payung organisasi besar yang memungkinkan aplikasi konsep perkongsian pintar. Penyelidikan oleh sarjana bidang muzik juga boleh membantu irama nasyid serasi dengan selera dan halwa telinga pelbagai generasi di negara kita.

Nasyid boleh diklasifikasikan sebagai medium (uslub) dakwah. Kendatipun sambutan pasaran arus perdana muzik semasa tidak memberangsangkan, irama nasyid tidak boleh berundur atau hilang arah. Sebaliknya, ikhtiar inovasi dan kreativiti mesti diteruskan.

Sesungguhnya lagu kerohanian menerusi irama nasyid tetap memiliki khalayak atau kelompok peminat yang tersendiri. Walaupun sering tenggelam oleh arus muzik popular, atau kecundang di gelanggang muzik komersial, mesej yang disampaikan oleh irama nasyid menyumbang terhadap pembinaan akhlak mulia. Kisah sejarah Wali Songo dengan irama gamelan di tanah Jawa patut dijadikan renungan...

Saturday, September 22, 2012

PERSEDIAAN BAHASA MELAYU 2 SPM 2012 (ELEVENTH HOUR'S EXAM PREPARATION)

Pengenalan

Pencapaian kertas Bahasa Melayu boleh diumpamakan sebagai jantung SPM, justeru lulus Bahasa Melayu bererti lulus SPM, dan begitu juga sebaliknya gagal Bahasa Melayu bererti gagal SPM. Gred tertinggi (A+) dalam kertas Bahasa Melayu ialah tiket bagi memperoleh keistimewaan dan merit akademik bagi menyambung pengajian di universiti, permohonan tajaan kewangan dan lamaran pekerjaan. Item soalan dalam kertas Bahasa Melayu SPM telah direka bentuk dan digubal sedemikian rupa supaya akur dengan segala kehendak sukatan pelajaran dan keperluan kurikulum kebangsaan.

Pentaksiran ujian lisan berasaskan sekolah (ULBS) dan peperiksaan bertulis secara berpusat bertujuan memenuhi kriteria kemahiran generik bahasa, iaitu mendengar, bertutur, menulis dan membaca. Calon bukan sahaja diharapkan supaya dapat menetapkan tugasan soalan dengan tepat, malah berupaya memberi jawapan yang meliputi aras tersurat (soalan petikan), aras tersirat (soalan kbkk) dan komponen sastera. Maka, persediaan pembelajaran di bilik darjah menerusi pertolongan guru, serta perancangan jawapan di bilik peperiksaan ialah kunci kejayaan yang diimpikan.

Format Kertas 2 Bahasa Melayu SPM

Setakat ini, sejak pelaksanaan sijil terbuka mulai tahun 2003, bentuk item soalan boleh dianggap sudah mantap. Keseluruhan kertas 2 menawarkan 110 markah dengan tempoh masa menjawab selama 150 minit atau dua jam setengah. Calon yang sudah biasa terdedah dengan ujian masa tidak berhadapan dengan masalah untuk menyiapkan semua tugasan dalam tempoh kurang daripada dua jam sehingga mempunyai baki masa yang 'lumayan' untuk membuat semakan dan penambahbaikan.

Soalan 1 ialah penulisan rumusan berdasarkan sebuah petikan rencana. Sebenarnya, calon tidak perlu memikirkan sangat punca rencana atau tajuk rencana yang bakal muncul dalam lembaran kertas soalan. Perkara yang paling kritikal ialah kaedah mengenal pasti isi rumusan berdasarkan kehendak tugasan soalan. 

Soalan 2 ialah bahagian pemahaman yang merangkumi pemahaman umum berdasarkan petikan rumusan dan petikan antologi "Harga Remaja" dan "Dirgahayu Bahasaku". Sekali lagi ditegaskan bahawa soalan ramalan tidak diperlukan justeru mungkin hanya 4 markah daripada sejumlah 35 markah yang diperuntukkan akan menguji pengetahuan calon tentang keseluruhan cerpen atau drama yang dipelajari. Selebihnya ialah soalan petikan dan soalan kbkk.

Soalan 3 ialah bahagian tatabahasa yang menguji penggunaan perkataan dan rangkai kata (frasa / morfologi), binaan,  jenis dan ragam ayat (sintaksis), analisis kesalahan bahasa (ejaan, istilah, hukum tatabahasa) dan peribahasa. Kecuali peribahasa, pecahan soalan yang lain boleh menggunakan kaedah atau strategi yang disarankan oleh guru di sekolah, bukan guru tuisyen amatur.

Soalan 4 ialah bahagian kajian novel berdasarkan zon. Pada umumnya, bahagian (a) ialah tugasan kbkk, manakala bahagian B menguji kemahiran komsas, termasuk perbandingan dua buah novel. Calon yang menikmati pembacaan novel asal, tanpa bergantung kepada buku ulasan atau kajian sekunder biasanya lebih mudah menulis jawapan, khususnya contoh peristiwa sebagai hujah sokongan kepada penyataan isi, jika dikehendaki dalam tugasan soalan.

Cadangan Peruntukan Masa Menjawab

Hitungan konservatif 110 markah untuk 150 minit bermaka 1 markah untuk 1.36 minit. Dalam bahasa mudah, calon mesti menetapkan had masa merancang dan menulis jawapan yang dikehendaki dalam tempoh yang khusus. Namun, disebabkan aras kesukaran soalan tidak sama, maka saranan berikut boleh dipertimbangkan.

           Rumusan:        30 minit
           Pemahaman:   50 minit
           Tatabahasa:    20 minit
           Novel:            20 minit

           Semakan / penambahbaikan jawapan:  30 minit

Katakan kertas 2 Bahasa Melayu bermula pada pukul 2.00 petang. Maka, sebaik sahaja calon mendapat kertas soalan, teruskan catatkan peruntukan masa seperti di bawah:

          2.00 - 2.30 petang:  Rumusan
          2.30 - 3.20 petang:  Pemahaman
          3.20 - 3.40 petang:  Tatabahasa
          3.40 - 4.00 petang:  Novel
          4.00 - 4.30 petang:  Semakan / penambahbaikan

Rasional saranan di atas  ialah soalan seperti rumusan, tatabahasa dan novel tidak memerlukan masa merancang dan menulis jawapan yang panjang. Hanya soalan pemahaman yang agak mencabar, justeru calon harus terlebih dahulu mengenal pasti aras soalan sama ada tugasan petikan, kbkk atau komsas. Selain itu, calon harus memenuhi keperluan setakat isi atau bersekali dengan huraian.

Beza kertas 2 dengan kertas 1

Calon tentu sudah biasa didedahkan dengan konsep holistik untuk kertas 1, iaitu penulisan karangan sama ada respons tertutup (Bahagian A; 30 markah) dan respons terbuka (Bahagian b: 100 markah). Respons tertutup mirip isi tersurat dalam rumusan, iaitu berdasarkan bahan rangsangan yang disediakan, manakala respons terbuka umpama kbkk, iaitu idea calon itu sendiri. Mudah cakap, kertas 1 lebih menjurus kepada perbuatan membesar-besarkan cerita, justeru peruntukan markah yang besar.

Ayat tugasan soalan karangan pendek sahaja. Calon perlu mula merancang penulisan jawapan dengan rangka karangan yang akur dengan tugasan soalan. Berdasarkan rangka karangan, proses menulis karangan penuh pun diteruskan.

Kertas 2 pula lebih berkonsep mengecil-ngecilkan cerita sebagai kebalikan kertas 1. Ayat tugasan soalan dibantu dengan petikan. Calon perlu mahir menyediakan kerangka isi petikan berpandukan tugasan soalan.

Buktinya, petikan rumusan yang sepanjang 300 - 350 patah perkataan, tetapi jawapan yang dikehendaki setakat 120 patah perkataan. Soalan pemahaman juga memerlukan jawapan yang ringkas-ringkas sahaja berdasarkan peruntukan jumlah markah yang kecil sahaja (ciput?) Soalan tatabahasa bahagian c, d dan e mungkin lebih pendek ayat jawapannya.

Seterusnya bahagian novel hanya memperuntukkan 15 markah. Maka, perlukah calon menulis hingga 4 muka surat untuk beroleh markah penuh? Dalam bahasa basahan, kita sering mendengar ujaran sendiri mahu ingatlah!

Pesanan kepada calon SPM Bahasa Melayu 2

Kaedah perancangan dan penulisan jawapan setiap bahagian soalan telah dijelaskan dalam masukan (posting) terdahulu dan boleh dibaca dengan membuat carian menerusi kotak dialog Search This Blog. Perkara yang paling mustahak untuk mencatat pencapaian gred terbaik ialah dengan merancang dan menulis jawapan berdasarkan keperluan tugasan soalan. Barang diingat bahawa kertas 2 membabitkan kebolehan teknikaliti penulisan jawapan yang tertentu...

Friday, September 21, 2012

KESELAMATAN DOKUMEN DI SEKOLAH (TO AVOID NEGLIGENCE)

Sesuatu yang bertulis atau bercetak yang digunakan sebagai rekod atau bukti disebut sebagai dokumen (Kamus Dewan, edisi IV, 2005: muka surat 360). Secara konservatif, dokumen disediakan secara tulisan tangan atau proses mekanikal dengan menggunakan dakwat kekal. Namun, era digital atas talian dan sistem jaringan maya telah meluaskan lagi capaian dokumen dalam format lembaran data elektronik.

Sekolah ialah antara organisasi yang begitu banyak terbabit dengan penyediaan dan penyimpanan dokumen, sama ada untuk tujuan pentadbiran atau rujukan pihak-pihak yang berkepentingan. Pejabat sekolah yang menempatkan bilik pengetua, penolong kanan dan pembantu tadbir ialah pusat sehenti dokumen sekolah yang meliputi maklumat harta dan fizikal sekolah, pembiayaan kewangan, fail induk pengurusan kurikulum, kokurikulum dan perhubungan, persijilan, daftar murid dan banyak lagi. Pelaksanaan keputusan dan urusan penting sekolah banyak bergantung kepada dokumen yang disimpan di pejabat.

Bilik guru juga menjadi tempat simpanan dokumen yang penting, terutama berkaitan dengan hasil tugasan murid. Bilik 'akuarium' guru kanan atau ketua bidang biasanya juga diletakkan di sudut strategik bilik guru. Di sekolah yang bersaiz besar dari segi bilangan murid dan guru, peranan mereka dalam membantu pentadbiran sekolah lebih ketara, termasuk menandatangani atau mengesahkan buku rekod mengajar guru.

Pusat sumber sekolah pula menghimpun sejumlah bahan bacaan bercetak dan digital dalam jumlah yang banyak. Makmal, bengkel dan bilik khas mungkin tidak menyimpan banyak dokumen, kecuali salinan buku stok dan inventori, serta catatan peralatan dan penggunaan. Bilik cetak pula boleh dianggap sebagai kawasan larangan justeru menyimpan dokumen berkaitan dengan peperiksaan dalaman sekolah.

Sebahagian dokumen masih berbentuk fizikal (hard copy), misalnya buku daftar kehadiran murid, laporan perubahan gaji guru dan kakitangan, serta surat-menyurat. Sebahagian lagi dokumen disimpan dalam sistem jaringan tempatan (Local Area Network, LAN off-line) atau dipaut terus ke laman sesawang pihak berkuasa pendidikan daerah, negeri dan kementerian. Dengan itu, urusan sekolah menjadi lebih cekap walaupun pengesahan dokumen kertas dan dakwat masih diperlukan sebagai bukti sah.

Berdasarkan peraturan, semua dokumen rasmi kerajaan hendaklah disimpan dalam tempoh minimum 7 tahun sebelum boleh dilupuskan. Fail induk pengurusan dan kurikulum pula hanya mengandungi dokumen tiga tahun terkini, manakala dokumen tahun sebelumnya dimasukkan dalam fail arkib. Peraturan piawai seperti dalam ISO atau sekurang-kurangnya pekeling dan garis panduan tentang penyediaan serta penyimpanan dokumen sekolah akan memudahkan kawalan.

Isu keselamatan dokumen sekolah ialah dari segi kehilangan atau kemusnahan dokumen yang berpunca daripada kecuaian dan risiko lain. Punca kecuaian ialah tidak mematuhi tatacara penyimpanan dokumen sekolah, manakala punca risiko lain termasuk kebakaran, banjir, angin kencang dan perbuatan khianat. Maka, reka bentuk fizikal sekolah, ruang pejabat, bilik guru dan bilik khas yang lain wajib mengambil kira kemungkinan terburuk yang boleh berlaku.

Pemeriksaan berkala aspek fizikal sekolah dengan merujuk manual khusus keselamatan secara dalaman dan luaran mesti dipatuhi tanpa gagal. Segala ruang penyimpanan dokumen fizikal dan peranti storan data elektronik juga perlu disenggara mengikut jadual. Sebarang bentuk gangguan dan risiko mesti dihapuskan secepat yang boleh.

Segenap lapisan warga sekolah berkongsi tanggungjawab menjaga keselamatan dokumen sekolah masing-masing. Perkara itu hanya boleh tercapai andai kata kesedaran dapat bersemi dalam sanubari mereka dengan suci hati. Selanjutnya, kesediaan warga sekolah perlu diiktiraf menerusi sistem penarafan yang tertentu supaya semua sekolah akan berlumba-lumba supaya sekurang-kurangnya masuk dalam kategori sekolah selamat...

Thursday, September 20, 2012

PENGHULU AKHLAK? (HUMBLE AND MODESTY IN LIFE)

Pada suatu hari diceritakan bahawa Ibnu Hazm sedang berjalan, lalu bertembung dengan seekor anjing. Ibn Hazm tidak bertindak menghalau anjing itu, sebaliknya dia sendiri yang ke tepi memberi laluan kepada anjing berkenaan. Murid yang mengiringinya berasa hairan terhadap sikap Ibn Hazm terhadap haiwan yang berstatus mughallazah (najis berat yang perlu disamak) itu.

Ibn Hazm mengatakan kepada muridnya bahawa dia tidak pasti adakah di sisi Allah, kedudukan beliau lebih mulia daripada haiwan tadi yang bebas daripada sebarang dosa, sebaliknya sentiasa berzikir tanpa disedari oleh manusia? Bahkan, terdapat laporan hadith tentang perihal ada keadaan bahawa haiwan tunggangan itu lebih mulia daripada penunggangnya. Dalam satu hadith lain yang masyhur, diriwayatkan tentang seorang lelaki mulia yang sanggup turun ke telaga untuk mencedok air minuman kepada seekor anjing yang sedang dahaga.
sumber imej Ibn Hazm: http://eakhbar.blog.com/?p=3010

Ibn Hazm ialah seorang ulama terkemuka Kordova (November 994 - Ogos 1064) pada era penghujung empayar Uthmaniah di Sepanyol. Beliau menghasilkan 400 buah naskhah ilmiah yang masih menjadi rujukan hingga kini. Kepekaan Ibn Hazm tentang akhlak walaupun dengan haiwan ialah gambaran jati diri seorang ulama yang memiliki sikap merendah diri (tawadu') yang unggul.

Sifat tawadu' atau merendah diri ialah ketua, pemimpin, penghulu, teras atau tunjang kepada akhlak insan. Lawan kepada sifat merendah diri ialah takbur, iaitu darjah kesombongan tertinggi. Hanya orang yang tawadu' mampu memahami al-Qur'an, manakala orang yang takbur tidak mungkin memahami al-Qur'an justeru tingkah laku takbur itu sendiri sudah bercanggah dengan anjuran al-Qur'an.

Sesiapa yang menyangka dirinya lebih mulia daripada orang lain sebenarnya terperangkap dalam kategori sombong, kerana cukuplah kejahilan seseorang itu apabila dia kagum akan dirinya sendiri (wa kafa bi'l mar 'i jahlan idha a'jib bi'r-ra'yih). Seorang sarjana akan selalu percaya bahawa ilmu yang beliau miliki masih terlalu cetek kerana ilmu Allah itu tiada batasan sehingga jika habis air tujuh lautan dijadikan tinta, nescaya belum habis ilmu dapat ditulis. Seorang pemerintah juga selalu menganggap dirinya sebagai khadam kepada rakyat, bukan tuan yang mengambil kesempatan.

Imam Malik pernah menegur Khalifah Harun al-Rashid yang mahu beliau datang mengajarkan ilmu kepada baginda. Sebaliknya, Imam Malik meminta Harun al-Rasyid datang ke masjid Nabawi, Madinah untuk mendengar kuliah beliau bersama rakyat kebanyakan. Beliau tidak gentar untuk menyampaikan pesanan kepada khalifah bahawa ilmu tidak mendatangi pelajar, sebaliknya pelajarlah yang mesti datang kepada ilmu.

Selain itu, Imam Malik berpesan kepada Harun al-Rashid supaya datang awal jika ingin berada pada baris atau saf hadapan. Jika lambat, baginda harus duduk di belakang tanpa sebarang keistimewaan untuk melangkah tengkuk orang lain. Hendak dijadikan cerita, khalifah benar-benar terlewat!

Harun al-Rashid akur dengan peraturan Imam Malik, tetapi meminta duduk di atas kerusi, sambil di sisi baginda ialah pengawal peribadi baginda. Apabila Imam Malik melihat peristiwa itu, beliau terus membaca sebuah hadith tentang sikap rendah diri, walaupun ketika itu sedang bersyarah tentang solat. Khalifah Harun al-Rashid terus akur, lalu mengalih kerusi itu ke luar masjid, lalu duduk bersama jemaah yang lain...

(berdasarkan sedutan ceramah Perak.fm, 1.30 tengah hari tadi)

Wednesday, September 19, 2012

BELAJAR EKONOMI SEPERTI KERJA MEMASAK (THE ANALOGY OF LEARNING)

Proses belajar akan menjadi suatu nikmat jika kena pada gaya dan tempatnya. Sebaliknya, belajar akan menjadi beban yang maha berat apabila seseorang itu dipengaruhi bisikan dan kata-kata negatif. Orang yang mahu belajar umpama sungai yang  bersih dan mengalir deras, manakala orang yang enggan belajar umpama sungai yang lesu dan cemar.

Belajar mata pelajaran ekonomi adalah mudah bagi sebahagian pelajar, tetapi sangat menyeksakan kepada sebahagian pelajar yang lain. Disiplin ekonomi melayan sejumlah konsep, prinsip, model, rumus, teori dan hukum yang bersifat modifikasi daripada peristiwa atau fenomena yang bersifat rencam. Kajian ekonomi dapat mengungkapkan perbincangan orang awam yang panjang lebar dan berjela-jela kepada sepatah dua perkataan yang membentuk sesuatu konsep yang ringkas dan tepat.

Sebagai contoh, keluhan tentang peningkatan harga (umum) barang yang berterusan dan tidak terbatas dalam jangka panjang disebut sebagai inflasi. Sering juga kita terdengar rungutan bahawa wang macam air, iaitu sekali ke pasar malam RM100 melayang. Hal itu diungkapkan sebagai kuasa beli, iaitu nilai wang yang diukur berdasarkan indeks harga (tahun semasa dan tahun asas).

Dr. Hamzaid Yahya, bekas profesor ekonomi UKM yang kini usahawan akademik, cuba meyakinkan pelajar bahawa ekonomi ialah berkaitan dengan pengalaman harian dan peribadi. Pendek kata, ekonomi perlu dipelajari secara konkrit, bukan secara abstrak. Dari segi kaedah pembelajaran (pedagogi), pendekatan kontekstual dan konstruk patut digalakkan oleh guru dan pensyarah ekonomi.

Dilema yang dihadapi dalam kelas atau kuliah ekonomi di sekolah ialah kesuntukan masa dan aras pencapaian pelajar yang berbeza. Tahap kesedaran dan kesediaan untuk belajar ekonomi juga bergantung kepada pengaruh dominan (unggul) dalam kalangan rakan sebaya generasi Y kini. Kebolehan memberi tumpuan terhadap analisis deskriptif dan kuantitatif apabila tiba waktunya juga sangat penting justeru pelajar yang masih remaja memiliki sisi psikologi yang tersendiri.

Guru dan pensyarah ekonomi perlu kerap menyelitkan dorongan, motivasi dan kata-kata semangat supaya minat pelajar dapat dikekalkan. Sesekali peribahasa 'berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian" atau no pain no gain boleh menjadi penawar yang mujarab supaya pelajar kembali berkobar-kobar. Hasutan jahat yang mengatakan pembelajaran ekonomi sebagai payah dan membosankan perlu diusir serta-merta.

Pelajar mesti yakin bahawa hanya tiga perkara yang menjadi asas pembelajaran ekonomi, iaitu penggunaan (consumption), pengeluaran dan pertukaran (agihan). Selain itu, kajian ekonomi memberi perhatian terhadap proses mencapai keseimbangan. Perbincangan yang lebih lanjut tentang perubahan keseimbangan akan melibatkan beberapa andaian asas perlu dicabar.

Hakikatnya belajar ekonomi tidak jauh berbeza dengan proses memasak makanan. Ada persediaan resepi, bahan, alat dan cara mengawal api dapur, serta tempoh masak. Bagi menjamin hidangan yang berkhasiat dan lazat, si tukang masak harus menggunakan kreativiti, tetapi mesti akur terhadap langkah memasak yang betul.

Pelajar ekonomi mesti mahir menyusun huraian dan penjelasan konseptual dengan mencatat pemboleh ubah yang dibaca, kemudian dibuat hubung kait dari segi sebab musabab dan sebagainya. Kalau hanya membaca tanpa berbuat demikian, alamat suatu pembacaan yang kosong. Budak prasekolah pun mampu membaca teori ekonomi dengan petah dan bersahaja tanpa mengerut dahi!

Data (hipotetikal), jadual, keluk, model dan rumus memang penting sebagai alat analisis ekonomi, tetapi pada akhirnya pelajar mesti mendahulukan konsep, prinsip, teori dan hukum ketika memberi penjelasan. Ekonomi bukan sebuah naskhah kreatif yang menggunakan sejumlah bunga bahasa atau retorik yang bersifat bebas. Alat analisis itu ialah jalan dan proses menuju penjelasan konseptual dan teoritikal yang dikehendaki...

Tuesday, September 18, 2012

PSIKOLOGI DAKWAH DALAM MENGHADAPI PROVOKASI (POSSIBLE DEFENSE OVER BAD REMARKS)

Kebencian dan penolakan terhadap tawhid oleh iblis dan konco iblis telah berlaku sejak Adam dan Hawa turun ke dunia lagi. Pada era Firaun di Mesir, mukjizat Nabi Musa telah dilabel sebagai sihir. Pelbagai azab termasuk kemarau, serangan serangga dan katak hanya menyedarkan sebahagian pengikut Firaun dalam masa yang singkat, tetapi apabila menerima diberikan semula nikmat, segala perjanjian telah dicabuli.

Dalam abad ke-21 ini muncul pula sekumpulan konco iblis yang tergamak membakar kitab suci, menyeksa minoriti umat di negara mereka, melukis karikatur yang menghina Nabi dan terkini ialah penerbitan filem jahat oleh seorang keturunan Mesir warganegara Amerika Syarikat beragama Kristian koptik yang juga bekas banduan kesalahan dadah. Segelintir umat yang terbakar dengan emosi telah bertindak keterlaluan sehingga nyawa duta Amerika Syarikat ke Libya dan beberapa orang diplomat, serta puluhan penunjuk perasaan sendiri melayang. Konsep hikmah dan ilmu nampaknya tidak menjadi pertimbangan kritikal dalam konteks bantahan terhadap penghinaan yang ditimpakan.
Chris Stevens, duta AS cuba diselamatkan oleh orang awam Libya

Tindakan melulu dalam keadaan umat yang masih terumbang-ambing dan goyah boleh mengundang padah yang lebih buruk. Kerosakan yang dibalas dengan kerosakan yang  lebih berat merupakan petanda yang kurang sihat dalam usaha mengajar musuh nyata dan musuh yang tersembunyi. Letupan terhadap premis bukan tentera atau perisikan asing malah mewajarkan label yang tidak-tidak oleh pelobi zionis.

Dalam bahasa mudah, sesuatu tindakan hendaklah dilakukan setelah melalui proses pertimbangan kritikal dengan kepala dingin. Api kemarahan yang tidak terkawal membuka pintu kepada iblis dan syaitan untuk masuk hingga ke pembuluh darah manusia supaya cepat hilang akal. Kebijaksanaan akan sirna, lalu diganti oleh hasutan iblis dan syaitan.

Kejadian penghinaan terhadap umat dan iman akan berlaku sepanjang zaman, serta muncul sama ada secara terancang atau ad-hoc. Maka, umat patut merujuk kepada wibawa ilmu tertinggi iaitu para sarjana dan ulama yang memiliki akses terhadap segala kaedah fiqh keutamaan dan dakwah. Risalah tawhid merangkumi ikhtiar jangka pendek dan jangka panjang, tetapi segala natijah diserahkan semata-mata kepada al-Khaliq.

Sikap terburu-buru, tergesa-gesa atau gopoh (isti'jal) lebih bersifat helah bela diri (defence mechanism). Pembawaan seumpama itu memang banyak disebut dalam al-Qur'an bagi menggambarkan kelemahan insan, selain sifat keluh kisah dan enggan berfikir. Akibatnya, kelakuan yang menunjukkan kekurangan ilmu seperti itu mendatangkan imej palsu terhadap umat.

Perbezaan pendapat memang dialu-alukan, tetapi biarlah jelas dari segi skala tumpuan, misalnya tentang perkara cabang (furu'), bukan terhadap perkara yang sudah muktamad dan pasti (qat'i). Umat mesti kembali belajar daripada sirah tentang keputusan yang diambil oleh baginda Junjungan Salallahu alaihi wasallam tentang tawaran Jibril untuk bertindak ke atas keganasan penduduk Taif yang membaling batu hingga baginda mengalami kecederaan. Demikian juga tentang peristiwa pembukaan Makkah, walaupun umat memiliki kesempatan untuk membalas dendam, tetapi pilihan yang dibuat ialah demi kepentingan jangka panjang.

Beralah buat sementara waktu bukan bererti kalah, tetapi lebih kepada perbuatan membeli masa supaya keadaan yang rencam dapat dibaca dengan tepat untuk tindakan susulan yang bijak, berkesan dan wajar. Perkara yang membabitkan pertembungan kepercayaan dan sensitiviti kelompok perlu ditangani dengan cermat seumpama tarik tali, atau menarik rambut daripada tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berserakan. Terdapat banyak prinsip kaedah fiqh yang perlu ditelaah seperti menutup pintu kerosakan (saddu zara') dan tidak mudarat, serta tidak memudaratkan (la dharara wa la dhirar).

Umat tidak usah begitu cepat terpancing emosi oleh perbuatan provokasi orang-orang jahil dan ingkar terhadap tawhid. Sebaliknya, kesabaran yang merupakan kunci kejayaan para nabi hendaklah mendahului pertimbangan tanpa ilmu. Selagi ada ruang untuk pilihan yang lebih ringan, ayuh lakukan demikian.

Percubaan biadab menginjak maruah umat akan muncul hingga akhir zaman walaupun umat menginginkan keadaan sebaliknya. Maka, sebarang bentuk tindak balas yang diambil hendaklah membawa manfaat jangka pendek dan jangka panjang. Skala menghadapi provokasi hendaklah berpandukan dalil imu jua...

KESEIMBANGAN PASARAN FAKTOR (JUST LIKE THE GOODS MARKET)

Pengenalan

Sama seperti pasaran barang, keseimbangan pasaran faktor tercapai apabila permintaan faktor sama dengan penawaran faktor. Permintaan faktor diwakili oleh keluk keluaran hasil sut (MRP), manakala keluk penawaran faktor diwakili oleh kos sut faktor (MCF). Dengan andaian bahawa pasaran faktor berada dalam persaingan sempurna, maka kos sut faktor ialah juga kos purata faktor, harga faktor dan penawaran faktor, MCF = ACF = Pf = Df.

Perhatikan bahawa titik keseimbangan ialah pada titik silang MRP = MCF. Kalau di pasaran barang, keseimbangan tercapai pada MR = MC. Maknanya bagi kedua-dua pasaran, keseimbangan tercapai pada titik yang sama, cuma ada tambahan nama untuk pasaran faktor.

Pada titik keseimbangan berkenaan, jenis untung ditentukan menerusi perbezaan antara TRP (jumlah hasil keluaran) dengan TCF (jumlah kos faktor), atau kedudukan ARP (keluaran hasil purata) dengan ACF (kos purata faktor)..Kaedahnya sama dengan pasaran barang, cuma berlaku tambahan pada nama pemboleh ubah. Bentuk semula keluk juga sama, cuma terbalik dan bertukar kedudukan antara permintaan dengan penawaran.

Keseimbangan untung lebih normal

Berlaku apabila TRP > TCF pada garis harga dan kuantiti faktor keseimbangan, iaitu MRP = MCF. Kedudukan ARP juga berada di sebelah atas ACF. Dengan mengandaikan terdapat hanya satu faktor berubah, iaitu buruh, maka keseimbangan tercapai pada titik E, dengan harga Po dan kuantiti Q.

Jumlah hasil keluaran ialah sebanyak OLAP1, manakala jumlah kos faktor ialah sebanyak OLEPo. Maka kawasan untung lebih normal ialah sebanyak PoEAP1. Keluaran hasil purata ialah sebanyak LA, manakala kos purata faktor ialah LE; iaitu untung per unit buruh ialah sebanyak EA.

Keseimbangan untung normal

Tercapai apabila TRP = TCF pada MRP = MCF. Kedua-dua TRP dan TCF ialah sebanyak OLEP, manakala kedua-dua ARP dan ACF sebanyak LE, atau keuntungan sifar / untung normal / balik modal.

Keseimbangan untung kurang normal / rugi

Berlaku apabila TRP < TCF pada MRP = MCF. Kedudukan keluk ACF sepenuhnya berada di sebelah atas keluk ARP. Dengan mengandaikan terdapat hanya satu faktor berubah, iaitu buruh, maka keseimbangan tercapai pada titik E, dengan harga Po dan kuantiti Q.

Jumlah hasil keluaran ialah sebanyak OLAP1, manakala jumlah kos faktor ialah sebanyak OLEPo. Maka kawasan untung kurang normal ialah sebanyak PoEAP1. Keluaran hasil purata ialah sebanyak LA, manakala kos purata faktor ialah LE; iaitu untung per unit buruh ialah sebanyak EA.

Nota hujung

Langkah melukis keluk

1   Paksi / label 

2   MCF = ACF 

3   ARP: kes untung lebih normal --> sebahagian ARP di atas ACF
            : kes untung normal -->  titik maksimum ARP sentuh / tangen dengan garis ACF
            : kes untung kurang normal  -->  keseluruhan ARP di bawah ACF

4   MRP memotong titik maksimum ARP

5   Tanda titik keseimbangan E, iaitu MRP = MCF

6    Bawa garis titik keseimbangan hingga ke paksi kuantiti faktor dan harga faktor, P, Q

7    Bawa garis Q menyentuh keluk MRP dan terus menuju paksi harga faktor, P1

8    Kenal pasti / label kawasan TRP = ARP X Q;  TCF = ACF X Q

9    Kenal pasti / label kawasan untung:  TRP - TCF

10   Kenal pasti kawasan untung per unit:  ARP - ACF

Langkah huraian

1   Konsep keseimbangan berdasarkan kes keuntungan

2   Andaian:  pasaran faktor persaingan sempurna; faktor berubah buruh sahaja

3   Titik keseimbangan E, harga keseimbangan P dan kuantiti keseimbangan Q

4   Perbandingan TRP dengan TCF pada keseimbangan:  nyatakan kawasan

5   Perbandingan ARP dengan ACF pada keseimbangan:  nyatakan garis

Monday, September 17, 2012

PERANCANGAN JAWAPAN MIKROEKONOMI STPM (TIMING AND ZOOMING THE ASSIGMENT)

Pengenalan

Pada tahun ini (2012), satu keadaan unik berlaku untuk peperiksaan STPM kerana kedua-dua tingkatan 6 Rendah dan 6 Atas akan sama-sama menduduki peperiksaan pada bulan November ini. Bezanya, calon 6 Atas di bawah sistem terminal bakal menghadapi kertas penuh untuk keseluruhan pengajian, manakala 6 Rendah di bawah sistem modular hanya menduduki kertas untuk penggal pertama. Maka, calon 6 Atas akan menduduki STPM selama hampir tiga minggu, berbanding dengan hanya lima hari untuk calon 6 Rendah.

Calon STPM 6 Atas ialah kohort terakhir sistem terminal, manakala calon 6 Rendah ialah kohort pertama sistem modular. Khusus untuk Ekonomi, calon sistem terminal bakal menduduki kertas Mikro dan Makro secara berasingan, dengan tempoh 3 jam bagi setiap kertas. Sebaliknya, calon sistem modular akan hanya menduduki kertas Mikro yang memperuntukkan masa hanya dua jam.

Format kertas sistem terminal

Bagi kedua-dua kertas Mikro dan Makro dibahagikan kepada empat bahagian, iaitu aneka pilihan (30 soalan), esei pendek (pilih 5 daripada 8 soalan), esei panjang (pilih 2 daripada 4 soalan) dan kuantitatif (pilih 2 daripada 4 soalan). Pembahagian markah pula ialah 30 + 30 + 20 + 20. Berdasarkan laporan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), kelemahan utama calon ialah penulisan esei, khususnya yang membabitkan aplikasi teori.

Bahagian A, iaitu aneka pilihan memerlukan calon memilih hanya satu jawapan yang tepat. Daripada empat pilihan A, B, C dan D, tiga daripadanya ialah pengganggu jawapan (distractors). Terdapat pengganggu jawapan yang kuat, sederhana dan lemah.

Pengganggu yang sederhana dan lemah mudah dikenal pasti, tetapi pengganggu kuat mirip jawapan yang dicari. 'Perangkap' yang dipasang itu akan memisahkan antara calon cemerlang dengan calon biasa-biasa. Calon cemerlang sudah pasti lebih cermat dan peka, berbanding dengan calon biasa-biasa yang lebih mudah masuk perangkap pengganggu jawapan.

Namun, sesuatu soalan aneka pilihan tidak semestinya memasukkan kesemua kategori pengganggu secara sekali gus, Sebaliknya, sesuatu item soalan mungkin menyediakan satu pengganggu sederhana dan dua pengganggu lemah bagi 10 soalan. Pengganggu kuat disediakan bagi item soalan dengan aras kesukaran yang tinggi.

Bagi soalan esei, tugasan soalan biasanya sangat jelas. Calon harus ingat bahawa tiada soalan berbentuk pendapat atau kbkk dalam kertas ekonomi, melainkan semuanya bersandarkan kepada teori ekonomi yang dipelajari. Demikian juga sebarang keperluan melukis keluk atau jadual berangka dinyatakan dengan jelas dalam ayat tugasan soalan supaya calon tidak memberi jawapan yang tidak dikehendaki.

Bahagian kuantitatif direka bentuk berasaskan aplikasi teori ekonomi dengan penggunaan keluk dan rumus yang relevan. Calon perlu mengenal pasti teori dan rumus yang berkaitan dengan bidang tugasan soalan. Persembahan jawapan mesti teratur dengan rumus, jalan hitungan, jawpan yang lengkap dengan skala unit ukuran dan ayat jawpan, jika perlu.


Format kertas sistem modular

...

...

...

...

...

...

Saranan kepada calon

Jawab bahagian aneka pilihan terlebih dahulu, tetapi seboleh mungkin tidak melebihi 50 minit. Biasanya dalam tempoh itu, calon yang sudah membuat persiapan rapi sudah yakin bahawa sekurang-kurangnya 20 daripada 30 soalan dijawab dengan tepat. Baki 10 soalan lagi sudah ditanda sepenuhnya, tetapi akan kembali disemak kemudian.

Idea yang diperoleh dalam bahagian A mungkin membantu penulisan esei bahagian B dan bahagian C. Namun, sebagai suatu strategi pintar, calon boleh menjawab bahagian D, iaitu kuantitatif terlebih dahulu. Jika calon sudah membiasakan diri dengan soalan kuantitatif, mereka sebenarnya hanya perlu memperuntukkan masa lebih kurang 15 minit bagi 2 soalan yang membawa 20 markah penuh.

Setelah selesai bahagian A dan D, calon sudah boleh yakin bahawa minimum 35 markah (daripada 50) sudah ada dalam tangan. Tugasan esei yang membawa 50 markah ialah untuk penentuan gred yang boleh dicapai. Sekali lagi, strategi yang tepat akan membantu calon memperoleh markah terbaik.

Calon patut menjawab dua esei panjang terlebih dahulu utnuk memperoleh minimum 15 markah daripada 20. Tujuannya ialah supaya calon tidak memperuntukkan terlalu banyak masa untuk esei pendek (bahagian B) yang memang hanya memerlukan jawapan yang pendek, sesuai dengan peruntukan markah sebanyak 6 setiap satunya.

Bahagian esei panjang patut diselesaikan dalam tempoh tidak melebihi 25 minit. Kemudian, bahagian esei pendek, lima esei yang ditulis sepatutnya tidak melebihi 40 minit sahaja. Petuanya mudah sahaja, jawab hanya soalan yang ditanya, tidak lebih tidak kurang.

Setelah dicampur peruntukan masa bagi keempat-empat bahagian, calon telah menggunakan 50 + 15 + 25 + 40 = 130 minit. Baki masa 20 minit yang ada ialah bagi membuat semakan dan penambahbaikan yang perlu. Demikian rahsia calon yang beroleh gred A setakat ini.


Strategi belajar saat akhir

Buat tinjauan menyeluruh tentang teori yang dipelajari bab demi bab. Senaraikan semula istilah dan konsep-konsep penting. Jalan cerita teori lebih mudah diingati jika disebut dalam bentuk cerita lawak atau lirik lagu yang diubah suai. 

Ujian kecekapan masa ialah suatu keperluan yang sangat kritikal. Calon cemerlang akan sentiasa mematuhi strategi peruntukan masa yang dipadankan dengan peruntukan markah. Maka, calon boleh mencuba sendiri jawapan kertas STPM tahun-tahun lalu mengikut saranan yang disebutkan sebelum ini.

Andai kata kertas dimulakan pada pukul 2.00 petang. maka peruntukan waktu berikut boleh dicuba dalam ujian kecekapan masa:

          2.00 - 2.50  Bahagian A: aneka pilihan

          2.50 - 3.05  Bahagian D:  kuantitatif

          3.05 - 3.30  Bahagian C:  esei panjang

          3.30 - 4.10  Bahagian B:  esei pendek

          4.10 - 4.30  Semakan / penambahbaikan

...

...

...

Sunday, September 16, 2012

PENGALAMAN SEBAGAI GURU KAUNSELING (INTROSPECTIVE AND ADJUSTING THE SAIL)

Prinsip utama sesuatu sesi kaunseling ialah penerokaan kendiri, iaitu menggunakan perspektif diri sendiri sahaja dalam melihat sesuatu isu atau masalah. Maksudnya, klien (pengguna perkhidmatan kaunseling) akan dibimbing supaya meletakkan peranan diri sendiri, tanpa membabitkan orang lain atau pihak ketiga. Punca sesuatu perkara ditelek berdasarkan tingkah laku kendiri, bukan untuk menyalahkan sesiapa.

Catatan ini sekadar pengalaman peribadi dan bukan bersifat analisis teori seumpama model Rodgers atau psikoanalisis. Penulis blog (PB) pernah menjadi ketua unit kaunseling di sebuah sekolah selama empat tahun. Ketika itu, jawatan guru kaunseling (kaunselor pelajar) sepenuh masa baru hendak diwujudkan.

Sebagai ketua unit, waktu mengajar PB ialah 12 waktu sahaja, manakala secara rasmi 12 waktu lagi direkodkan sebagai peruntukan khidmat kaunseling. PB dibantu oleh empat orang guru lain, termasuk guru wanita memandangkan sekolah berkenaan ialah sekolah bercampur lelaki dan perempuan. Sebuah bilik kaunseling yang agak selesa disediakan oleh pihak sekolah.

Sebaik sahaja PB dilantik sebagai ketua unit bagi menggantikan Tuan Haji Abdul Rahman yang dinaikkan pangkat ke sekolah lain, perkara pertama yang PB lakukan ialah menggariskan perancangan tahunan menerusi carta Gantt. Langkah pertama ialah naik taraf bilik kaunseling seperti peralatan yang lebih selesa dan unit komputer, pencetak dan mesin imbas sendiri, supaya tidak perlu menumpang peralatan pejabat.

Kali pertama, segala peralatan yang berjaya diperoleh menerusi kerjasama PIBG telah diambil oleh pihak sekolah justeru didapati tidak sesuai, iaitu dianggap sedikit mewah. Kali kedua, peralatan yang sama berjaya diperoleh daripada pejabat kemajuan negeri, tetapi sekali lagi tidak mendapat kelulusan pihak sekolah untuk ditempatkan di bilik kaunseling. Akhirnya, Unit Kaunseling beroperasi dengan peralatan yang sudah sedia ada.

Pengalaman untuk mendapatkan tiga unit papan putih juga agak melucukan. Pihak sekolah hanya meluluskan satu unit, sedangkan keperluan ketika itu memang tiga unit. Maka, pesanan dibuat dalam saiz yang besar, kemudian dipecahkan kepada tiga unit papan putih akhirnya.

Rekod sesi kaunseling individu dan kelompok dicatat dalam sebuah buku log khas. Borang-borang lain yang berkaitan disimpan dalam fail yang berasingan. Pendek kata, pentadbiran unit dilakukan secara profesional.

Program latihan pembimbing rakan sebaya (PRS) juga diberi keutamaan khas. Pengisian ceramah dan latihan dalam kumpulan (LDK) dikendalikan oleh guru kaunseling terlatih. PRS kemudian dilantik secara rasmi bersekali dengan pengawas sekolah, pengawas pusat sumber dan majlis ketua kelas.

Salah satu biro PRS termasuk "Embun Hidayah" yang bertujuan khusus bagi menggalakkan murid yang didapati masih berhadapan dengan kecelaruan identiti mendapat peluang berkongsi luahan perasaan untuk membaiki diri masing-masing. Perubahan positif yang dijelmakan menerusi "Embun Hidayah" telah mendapat perhatian pengetua ketika itu. Beliau sendiri datang merasmikan kolokium khas dan menyampaikan ucapan yang penuh semangat hampir satu jam.

Unit Kaunseling juga menjemput pakar motivasi, termasuk Encik Izuddin (kini Profesor Izi Haji Ali, selebriti Hot.fm) yang datang dari Terengganu menaiki bas bersama isteri. Bayaran beliau ketika itu hanya RM150 untuk slot selama dua jam. Motto beliau "renung-renungkan dan selamat beramal" juga belum terungkap...

Saturday, September 15, 2012

KEPENTINGAN PENCAPAIAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN (SEPARATING RAPID LEARNERS FROM THE STRUGGLING ONE)

Pentaksiran sumatif ialah cara bagi mengukur pencapaian pembelajaran dalam jangka masa tertentu. Peperiksaan percubaan di sekolah dilaksanakan setelah keseluruhan sukatan pelajaran (dengan kadar ralat 5 - 10 peratus) berjaya diselesaikan. Peperiksaan percubaan pada asasnya ialah urusan dalam sekolah, tetapi seringkali diselaraskan di peringkat daerah, negeri atau kebangsaan.

Dengan mengambil kira jangka masa masa yang munasabah untuk urusan pemeriksaan, penyediaan kad laporan dan analisis data, peperiksaan percubaan biasanya dijalankan dua bulan sebelum peperiksaan sebenar. Pencapaian peperiksaan percubaan ialah petunjuk kritikal kepada pihak sekolah untuk melakukan sesuatu pada detik genting menjelang peperiksaan sebenar. Tempoh sebulan terakhir boleh digunakan sepenuhnya bagi mengenal pasti kesempatan yang masih berbaki untuk pecutan kecemerlangan dan pencapaian minimum.

...

...

...

...

...

...

Friday, September 14, 2012

SISTEM KERETA API METRO MUDAHKAN PERGERAKAN JEMAAH HAJI (SOPHISTICATED TRANSPORTATION IN MECCA)

Projek kereta api laju metro antara lokasi penting ibadah haji di Makkah yang dijangka turut menghubungkan kota Madinah bakal meningkatkan ciri keselesaan dan keselamatan jemaah haji dan umrah sebagai tetamu Allah di dua buah tanah suci. Sebelum ini jemaah haji diangkut dengan menggunakan perkhidmatan bas yang agak uzur, serta menggunakan pemandu dari negara-negara sekitar Arab Saudi seperti Mesir dan Syria. Kesesakan jalan raya tidak dapat dielakkan hingga perjalanan dari Mina ke Makkah yang hanya berjarak 7 kilometer boleh mengambil masa sembilan jam untuk tiba.
sumber ambilan foto: wartashubhi.blogspot.com

Tidak diketahui sama ada perkhidmatan metro berkenaan bakal menyebabkan terowong pejalan kaki dari Mina ke Makkah yang mengambil masa satu jam setengah perjalanan akan menjadi lengang. Namun, caj sebanyak USD27 untuk 4 hari dan USD67 untuk seminggu mungkin masih berat bagi jemaah India, Pakistan dan benua Afrika. Cuma, perkara yang pasti ialah perkhidmatan bas akan tinggal dalam lipatan sejarah.

Projek metro bernilai USD1.8 bilion atau kira-kira RM6 bilion itu menjadi kenyataan setelah pihak istana merestui usaha pembaharuan dua tanah haram (al-haramain) demi keselesaan dan keselamatan jemaah haji. Masjid'il-Haram dan Masjid Nabawi (Madinah) juga telah dibesarkan. Laluan sa'ei ditambah, manakala tempat melontar jamrah pula kini berjumlah lima tingkat dan berupa laluan sehala.

Penceramah kursus haji perlu melakukan penambahbaikan dalam skrip kursus bakal haji. Isu seperti bayaran baksis (tip) dan tempat berkumpul dari hotel ke Muzdalifah, Mina dan Arafah sudah tentu mengalami perubahan dengan maklumat yang kemas kini. Kebarangkalian untuk tersilap jalan seperti yang berlaku dalam perkhidmatan bas juga sangat kecil.

Jika perkhidmatan metro dari Madinah ke Makkah sudah bersedia, jemaah haji dan umrah tidak lagi perlu menempuh perjalanan dalam tempoh lapan jam menaiki bas yang agak berusia. Tambahan pula, kemudahan lebuh raya seperti kawasan rawat dan rehat begitu terhad. Kemudahan menunaikan hajat pula dimiliki oleh pemilik kedai makan dan izin mereka diperlukan.

Pergerakan di dalam gerabak kereta api juga tentu lebih selesa berbanding dengan di dalam perut bas yang sukar diramalkan dari segi kelajuan dan kestabilan. Kemudahan bilik air dan untuk warga emas dapat disediakan dengan lebih baik di dalam gerabak kereta api metro. Ruang tempat duduk dalam gerabak kereta api juga boleh dilaras dengan lebih mudah tanpa mengganggu penumpang yang lain.

Selain itu, perkhidmatan metro akan mengurangkan gangguan perjalanan akibat sekatan lalu lintas dan saman had laju. Hakikat bahawa jumlah warga asing yang melebihi warga tempatan mengakibatkan keperluan tahap kawalan dan pemeriksaan yang lebih ketat. Perjalanan biasa selama lapan jam mungkin bertambah antara satu hingga tiga jam lagi untuk urusan yang itu.

Pengalaman bas mengalami kerosakan juga sering mencemaskan jemaah haji dan umrah. Apatah lagi tiba minggu memulakan kerja haji apabila ribuan bas terkandas dalam kesesakan yang sangat luar biasa. Memang benar bahawa kesusahan yang dialami ialah ujian keikhlasan diri, tetapi nikmat keselesaan dan kesenangan juga ilah ujian yang tidak kurang hebatnya...  Wallahu a'lam.