SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, April 12, 2010

BAJU MERAH NEKAD DI BANGKOK (POLITICAL TEST IN THAILAND)

Apabila pasukan tentera mengambil alih pengendalian rusuhan besar-besaran di tengah-tengah kota Bangkok, kita sudah boleh menjangka bahawa fasa baharu ujian politik kerajaan perdana menteri muda negara gajah putih itu, Abhisit Vejjajiva bermula.  Bantahan antikerajaan menerusi tunjuk perasaan secara besar-besaran sudah acapkali berlaku dalam sejarah Thailand. Pada pertengahan dekad 1970-an dahulu, bantahan disemarakkan oleh mahasiswa.

Pelajar universiti yang tidak sehaluan akan bertempur sesama sendiri. Apabila "musuh" dapat ditangkap, dia diikat di dahan pokok, lalu dibakar hidup-hidup. Sisi intelektual dan kasihan belas terpadam sama sekali.

Kali ini kumpulan baju merah dikatakan datang daripada kumpulan rakyat miskin yang menyokong mantan perdana menteri yang digulingkan, Thaksin Sinawat. Mereka telah sampai ke tahap mahu mengusir Abishit daripada tampuk kekuasaan. Bilangan mereka dianggarkan berjumlah 80 -100 ribu peserta.

Thailand merupakan satu-satunya negara Asean yang tidak pernah dijajah. Sebaliknya, negara yang dahulunya dikenali sebagai Siam itu merupakan kuasa besar serantau yang digeruni. Konflik dan perebutan kuasa lebih bersifat dalaman.

Walaupun prinsip Asean menegah negara anggota mencampuri urusan domestik anggota lain, perkembangan politik Thailand diikuti dengan penuh debaran, khususnya negara kita yang bersempadan dengan mereka. Penduduk Perlis, utara Kedah, Perak dan Kelantan sudah biasa keluar masuk menerusi Padang Besar, Wang Kelian, Bukit Kayu Hitam, Pangkalan Hulu, Rantau Panjang, Golok dan beberapa pos sempadan yang lain.

Pergolakan di wilayah penduduk majoriti Muslim di selatan Thai juga mengakibatkan kemasukan pelancong dan peniaga Malaysia ke sana terjejas. Ancaman serangan bom dan senjata api yang lain tidak boleh dipandang ringan. Kumpulan-kumpulan yang bertelagah tidak mengeluarkan sebarang bentuk amaran terlebih dahulu.

Sebagai tetangga, rakyat Malaysia mengharapkan bahawa krisis politik di Thailand akan segera reda. Institusi istana yang masih berpengaruh mungkin dapat memujuk kumpulan baju merah supaya kembali ke meja rundingan dan menggunakan segala saluran demokrasi yang sedia ada. Kekacauan yang berterusan boleh mengganggu kerancakan aktiviti ekonomi kota Bangkok yang begitu terkenal dengan jolokan "Venice Timur" itu.

Kita juga berharap agar pihak berkuasa tentera dapat menggunakan segala kaedah terbaik yang ada untuk mengelakkan korban jiwa dalam kalangan kumpulan baju merah dan pihak tentera sendiri. Masyarakat Thailand terkenal dengan lenggok percakapan yang sangat lemah lembut dan gemalai. Mustahil kompromi tidak boleh diberi ruang.

Ekonomi Thailand antara yang berpotensi untuk mengalami pertumbuhan yang pesat. Dengan bilangan penduduk yang kian menghampiri angka 100 juta jiwa, asas pasaran domestiknya agak kukuh. Jika pendapatan, serta kuasa beli penduduk Thai dapat dilonjakkan, negara berkenaan bakal mengukuhkan kemakmuran rantau Asean supaya dapat berdiri sama tinggi dengan blok ekonomi dunia yang lain seperti Kesatuan Eropah (EU) dan Perjanjian Perdagangan Amerika Utara (Nafta). Asean juga mungkin berjaya mengimbangi pengaruh kumpulan negara kaya (G8) dan kemaraan BRIC (Brazil, Russia, India, China) yang semakin jelas.

Kesimpulannya, kebijaksanaan pemimpin Thailand, di samping perpaduan rakyatnya sangat penting. Proses bantahan antikerajaan mungkin dianggap epilog kepada kejatuhan sesebuah kerajaan yang pernah dipilih secara demokrasi. Namun, krisis yang berlarutan tidak seyogia dibiarkan menguasai keadaan...

2 comments:

Anonymous said...

funny lah~

peminat tom yam said...

apa yang lawaknya?