Sebagai mematuhi arahan dan menghormati pembaharuan yang diperkenalkan oleh kementerian, gotong-royong tetap akan dilaksanakan melainkan berlaku perkembangan sebaliknya. Sesekali amalan sukarela perlu disemaikan supaya menjadi kebiasaan. Pihak kementerian juga dapat mengukur komitmen generasi muda pelajar berganding bahu dengan guru mereka menjayakan program satu negara itu.
Selama ini pun kaum guru menyumbang terhadap daya pengeluaran, keselamatan negara dan ketenteraman awam. Kemajuan teknologi tidak dapat menggantikan peranan guru dalam proses penyampaian pembelajaran dan pemupukan nilai murni. Asalkan dihargai, guru Malaysia sentiasa bersedia dengan segala saranan pembaharuan untuk membawa negara ke tahap kecemerlangan yang lebih tinggi.
Khabarnya ada berita baik untuk kaum guru bakal diumumkan. Adakah skim perkhidmatan yang lebih berdaya saing, atau gred perjawatan yang lebih baik? Adakah sebarang insentif diberikan kepada guru yang memiliki ijazah lanjutan sarjana dan Ph.D?
Sebanyak 70 tempat tambahan untuk peringkat sarjana dan 30 Ph.D diperuntukkan di bawah hadiah latihan persekutuan (HLP) cuti belajar bergaji penuh. Buat sementara ini, tawaran biasiswa dihentikan sehingga keadaan ekonomi mengizinkan. Sebelum ini di bawah HLP, lebih kurang 230 tempat pelajar sarjana dan 70 Ph.D disediakan.
Semasa penulis blog (PB) menerima tajaan HLP, biasiswa bulanan sebanyak RM500 sebulan di samping bayaran penuh yuran pengajian dan beberapa tuntutan lain diberikan. Justeru tidak sampai 10 peratus pemohon yang disenarai pendek untuk temu duga ditawarkan HLP, pemegang biasiswa HLP pernah dicop menggunakan pengaruh "kabel". Jenuh menangkis secara berhemah, namun stigma itu tetap melekat jua.
Sebagai membuktikan bahawa tanggapan kabel sebagai tidak benar, kebanyakan pemegang biasiswa HLP mesti menunjukkan perbezaan. PB sendiri meletakkan sasaran gred A dalam setiap kursus yang dipilih. Sekurang-kurangnya tajaan HLP terbukti tidak tersalah pilih calon.
Namun, PB memang "tabik spring" dengan guru yang sanggup berkorban wang ringgit membayar yuran pengajian menggunakan sumber kocek sendiri. Mereka juga terpaksa bersengkang mata menyiapkan tugasan yang tidak putus-putus. Dalam masa yang sama, kerja-kerja di sekolah tidak pernah berkurangan.
Perbelanjaan minimum pengajian peringkat sarjana ialah RM20 ribu. Jika tiada kegigihan, niat suci meningkatkan kelayakan akademik mungkin terbengkalai separuh jalan. Kepercayaan dan sokongan keluarga dalam menghadapi cabaran pengajian, serta sedikit sebanyak godaan persekitaran kampus, sangat didambakan.
Bagi menambah baik profesionalisme guru, peluang memperoleh ijazah lanjutan patut diluaskan. Setakat ini dilaporkan terdapat sejumlah 6,000 orang guru memiliki sarjana, dan 300 orang lagi memiliki Ph.D. Walaupun terdapat suara cemburu mengatakan golongan masters dan Ph.D hanya pandai berteori, kebolehan dan kepakaran mereka dalam melaksanakan penyelidikan tidak seyogia dinafikan.
Guru perakaunan dan teknikal mungkin boleh diberikan opsyen mendapatkan kelayakan profesional seperti ACCA, CA, Ir. dan sebagainya. Guru yang dikenal pasti berbakat dan berpotensi untuk tugas pentadbiran boleh diserapkan dalam skim pegawai tadbir dan diplomatik (PTD). Dengan itu, kontroversi orang luar menguasai KPM, JPN, PPD dan sekolah akan berakhir.
No comments:
Post a Comment