SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, April 1, 2010

KAJIAN BEBAN TUGAS GURU DIALU-ALUKAN (TO MAKE A CLEAR CUT OF TEACHER'S JOB DESCRIPTION)

Walaupun kajian dan penyelidikan tentang hal yang sama telah banyak dilakukan oleh profesor pendidikan, pelajar ijazah tinggi dan pasukan penyelidik di universiti tempatan, kajian berskala besar yang bakal dilaksanakan sendiri oleh Kementerian Pelajaran Malaysia tentulah memiliki signifikan yang tersendiri. Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Dasar Pendidikan (EPRD), organ penting kementerian, dijangka menggalas tugas penting itu. Kaum guru (di sekolah bantuan penuh kerajaan, dan sekolah bantuan modal) pasti mengharapkan kajian berkenaan segera akan disusuli dengan daya usaha penambahbaikan supaya apabila tumpuan pekerjaan guru terhadap tugas asasi pengajaran dan pembelajaran dikembalikan, manfaatnya akan dipulangkan kepada murid dalam bentuk akses pengalaman pembelajaran yang bermutu dan terbaik.
tugas asasi guru: menyemak hasil kerja murid

Barang diingat bahawa sungutan tentang beban tugas yang melampaui spesifikasi kerja bukanlah bermakna kaum guru yang bilangannya sudah mencecah 400 ribu orang di Malaysia sebagai golongan yang berkira dan enggan berkorban. Isu sebenar ialah keberkesanan dan kecekapan dalam menggembleng segala sumber yang ada untuk memupuk potensi pembelajaran dalam kalangan murid. Profesionalisme keguruan hanya akan tercapai secara tuntas jika guru mempunyai kawalan terhadap kemajuan ikhtisasnya sendiri.

Sebagai perbandingan, ahli ikhtisas lain seperti arkitek, doktor, jurutera, juruukur bahan, pegawai tadbir dan diplomatik, dan peguam barangkali tidak berpengalaman melakukan sendiri kerja perkeranian dan teknikal sebagaimana yang dialami oleh guru sepanjang masa. Guru di sekolah walaupun berada pada gred perjawatan DG 52 (tangga gaji seperti pegawai daerah) masih perlu mengusung amplifier, mikrofon dan peralatan siar raya yang lain. Tugas guru kelas sudah diperluaskan apabila perlu mengisi lebih banyak data yang dikehendaki oleh pelbagai peringkat organisasi.

Bacaan meter tekanan yang dialami oleh guru sesebuah sekolah akan melonjak tinggi apabila kepimpinan sekolah terlalu obses untuk meraih anugerah atau perhatian pihak tertentu. Macam-macam idea dan projek yang muncul. Mula-mula datang dalam bentuk rayuan supaya memberi sokongan, lama-kelamaan bertukar kepada desakan yang merimaskan.

Tanpa prasangka jantina, terdapat persepsi mengatakan bahawa sekolah yang diterajui oleh kepimpinan wanita, dan tidak berkahwin pula, membawa keadaan  yang bertambah sukar. Pemimpin sedemikian mempunyai banyak masa untuk berfikir dan menelek-nelek, serta kurang bersimpati dengan kehidupan peribadi guru yang sudah bekeluarga. Mereka juga begitu cepat melupakan pengalaman diri sendiri semasa masih bergelar guru biasa.

Jika kaum guru hendak diangkat martabatnya ke arah profesional tulen, banyak perkara perlu diberi perhatian. Sekurang-kurangnya 90 peratus bidang tugas guru mestilah menjurus kepada pemupukan pembelajaran murid, sama ada di dalam bilik darjah, mahupun di luar bilik darjah. Guru juga patut diberi kesempatan mengadakan perbincangan profesional tentang saranan kajian terkini daripada jurnal pendidikan dalam bidang opsyen masing-masing.

Kajian tindakan yang dibuat secara individu perlu digantikan dengan kajian tindakan berkumpulan. Sesudah pengagihan tugas diserahkan, kerja berkumpulan diteruskan, iaitu duduk bersama-sama melengkapkan refleksi, bidang keprihatinan, tinjauan bacaan, kaedah, instrumentasi, analisis dapatan dan saranan penambahbaikan. Jumlah masa yang digunakan dalam kajian tindakan diberi pengiktirafan dalam jam kerja p & p.

Kepimpinan sekolah juga mesti menghormati kelayakan akademik dan kewibawaan guru dalam bidang masing-masing. Tiada sesiapa pun di sekolah yang patut berlagak serba tahu. Hubungan yang harmonis, tanpa membiarkan sesiapa mengambil kesempatan, akan meletakkan kedudukan guru lebih selesa dan suci hati dalam melaksanakan amanah keguruan mereka. Pelaburan awam dalam mewujudkan jawatan pembantu guru mungkin merupakan pilihan yang berbaloi kerana tumpuan guru terhadap pembelajaran murid ialah insurans ketenteraman sosial dan keselamatan negara dalam jangka masa panjang...

No comments: