SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, October 11, 2011

BELANJAWAN 2012 BELUM MUKTAMAD? (SEEKING PARLIAMENTARY APPROVAL ON BUDGET 2012)

Desas-desus tentang tanggal 11/11/11 yang dikatakan angka kegemaran Perdana Menteri sebagai tarikh bubar parlimen menyebabkan ada pihak yang beranggapan bahawa belanjawan 2012 yang dibentangkan baru-baru ini memberi isyarat yang lebih jelas. Bagi ahli-ahli politik, ya, mungkin perkara itu yang menjadi perhatian mereka. Namun, bagi rakyat biasa, cadangan-cadangan yang dibentangkan dalam belanjawan berkenaan sangat relevan dengan kehidupan harian mereka.

Berita penarikan balik cadangan menaikkan elaun ahli parlimen menjadi bukti bahawa selain tertakluk kepada kelulusan majoriti mudah di parlimen, cadangan-cadangan dalam dokumen belanjawan masih perlu melepasi sesi perbahasan dan perincian. Belanjawan ialah maruah kerajaan yang memerintah. Jika belanjawan ditolak, kerajaan tidak akan memiliki wang untuk dibelanjakan, hatta bagi membayar gaji kakitangan awam.

Tahun lepas, proses undi kelulusan belanjawan menghadapi detik cemas. Disebabkan banyak ahli parlimen tidak hadir dalam sidang dewan, majoriti mudah yang diperoleh hanyalah satu undi. Ada ahli parlimen yang sedang menghadiri beberapa majlis rasmi di luar parlimen bergegas ke parlimen supaya belanjawan tidak sangkut.

Setelah mendapat kelulusan parlimen, belanjawan akan diwartakan dengan perkenan DYMM Yang Dipertuan Agong. Sementara itu, perincian tentang sistem saraan baru perkhidmatan awam (SBPA) akan dikeluarkan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mengambil kira implikasi kewangan dan nasihat Perbendaharaan. Hingga saat berkenaan, segala butiran atau jangkaan masih bersifat sebagai harapan yang amat mekar.

Sejak krisis mata wang Asia pada lewat 1990-an, belanjawan yang dibentangkan bersifat kurangan, iaitu perbelanjaan melebihi hasil. Untuk belanjawan 2012, nisbah kurangan dianggarkan sebanyak 4.7 peratus, berbanding dengan 5.4 peratus untuk belanjawan 2011. Selisih hasil itu ditampung dengan hutang negara yang diselia ketat oleh Bank Negara Malaysia agar tidak melebihi 55 peratus keluaran dalam negara kasar.

Era emas pertumbuhan ekonomi Malaysia ialah antara tahun 1993 hingga 1997. Dalam tempoh berkenaan, belanjawan yang dibentangkan bersifat lebihan. Namun, dalam persekitaran ekonomi semasa, strategi belanjawan demikian sukar diulangi.

Secara am, dasar-dasar makroekonomi bertujuan menjana pertumbuhan ekonomi tanpa inflasi, tanpa pengangguran, serta mencatat imbangan pembayaran yang positif. Pertumbuhan ekonomi sangat dipengaruhi oleh perbelanjaan agregat yang datang daripada kuasa beli pengguna. Apabila pendapatan pengguna meningkat, sebahagian besar tambahan pendapatan berkenaan akan kembali ke dalam pasaran.

Sebahagian besar hasil kerajaan berpunca daripada cukai keuntungan syarikat (swasta). Secara moral, tanggungjawab pihak swasta membayar cukai bersifat sine qua non. Sebabnya, pihak swasta telah memperoleh faktor pengeluaran (buruh, tanah, modal, usahawan) yang telah menerima pengetahuan, kemahiran dan sikap di institusi-institusi pendidikan dan latihan teknikal hands-on yang ditanggung oleh kerajaan.

Kelihatannya seperti pihak swasta yang menanggung biaya emolumen kakitangan awam menerusi cukai yang mereka bayar. Hakikatnya jumlah cukai yang disumbangkan itu lebih bersifat sebagai balasan atau pampasan kepada pihak kerajaan yang telah menyediakan semua faktor yang diperlukan oleh swasta. Bayangkan jika pihak swasta sendiri yang harus menanggung segala biaya kos latihan pengurusan dan kakitangan mereka dari A hingga Z!

Antara isu lain yang berbangkit ialah rungutan kakitangan yang telah lama berkhidmat. Contohnya, terdapat keluhan bahawa orang-orang lama (old-timer, otai) terpaksa menunggu hingga hampir 30 tahun sebelum menikmati gred perjawatan DG 48 (bagi guru) berbanding dengan orang-orang baru yang hanya memerlukan tempoh 16 tahun. Namun, mereka lupa bahawa peluang bagi orang-orang baru bagi memiliki harta tak alih seperti tanah lot, banglo dan sebagainya lebih sengit berbanding dengan zaman mereka muda dahulu...

bersambung...

No comments: