SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, October 25, 2011

"SYAIR PEMBERONTAKAN PATANI" KOMSAS TINGKATAN 5 (THE LOYAL OFFICER)

Pengenalan

Walaupun penyusun antologi berpendapat bahawa syair yang ini sebagai menggunakan bahasa yang teratur dan mudah difahami oleh pembaca, hakikatnya tidak demikian. Syair senggaraan Mohd Yusof Mohd Nor dan Abd Rahman Kaeh yang termuat dalam Dirgahayu Bahasaku, muka surat 9-10 mengandungi 10 rangkap berkisar terhadap tugas mendapatkan cogan Raja Senggora. Laksamana perlu menggalas tugas berat itu demi negara sekalipun ibu saudara dekat beliau terlantar sakit.

Tema syair ialah tentang mendahulukan kepentingan negara daripada kepentingan peribadi. Laksamana memiliki semangat patriotik yang tulen apabila sanggup berjuang untuk negara supaya ancaman asing dapat dipatahkan. Para remaja hendaklah menjadikan Laksamana sebagai contoh dalam membuat keputusan dan tindakan apabila bersabit dengan kewajipan kenegaraan dan perkhidmatan.

Perbincangan Rangkap Demi Rangkap

          Laksamana dititahkan Betara,
          Ke negeri Patani berjalan segera,
          Mendapat cogan Raja Senggora,
          Akan menerima hukum dan dera.

Laksamana menerima perintah istana supaya segera ke negeri Patani (kini di selatan Thai) bagi mendapatkan cogan (lambang kebesaran) daripada Raja Senggora.

          Barang yang hendak dihukumkan,
          Sekalian tidak boleh disalahkan,
          Kesalahan pinta dimaafkan,
          Pegawai yang dipegang itu dipohonkan.

Laksamana membawa misi memohon maaf bagi pihak raja beliau.

          Setelah demikian titah Betara,
          Laksamana tiada berani dura,
          Kerana negeri hendak dipelihara,
          Kelak menjadi huru-hara.

Walaupun berhadapan dengan tugas berat, Laksamana tidak berani menunjukkan rasa gelisah, risau atau susah hati justeru beliau bertanggungjawab menjaga keamanan negara.

          Bonda Duli Mahkota Indera,
          Pada Laksamana emak saudara,
          Sakit terlantar hampir bermara,
          Meninggalkan dia tiada terkira.

Laksamana harus meninggalkan ibu saudaranya yang terlantar sakit tenat.

          Daripada kerja terlalu berat,
          Ke atas negeri hendak mudarat,
          Jadilah dititahkan duli hadirat,
          Bimbang dan masyghul disuruh kerat.

Laksamana mesti menolak ke tepi sebarang perasaan bimbang dan sedih apabila menggalas tanggungjawab negara.

          Tiadalah lagi terkata-kata,
          Sudah dengan titah Sang Nata,
          Diputuslah hati yang bercinta,
          Kepada Allah diserah semata.

Laksamana pasrah terhadap amanah negara yang digalas, sambil berserah kepada Allah.

          Niat Laksamana yang pegari,
          Daulat baginda barang berdiri,
          Jika selamat sentosa negeri,
          Biarlah susah di atas diri.

Hasrat yang terpancar pada reaksi Laksamana ialah untuk mempertahan daulat raja. Beliau sanggup berhadapan dengan susah payah asalkan negeri selamat sentosa.

          Berjalan ia berhati hampa,
          Bonda yang sakit tiada dilupa,
          Kerana sakit berat menimpa,
          Yakin hatinya tiada berjumpa.

Sebagai manusia biasa, Laksamana tetap melangkah dengan perasaan yang hampa apabila terkenang ibu saudara yang sakit. Peluang untuk berjumpa semula sidah tipis.

          Daripada sudah demikian peri,
          Keberatan tertanggung di atas negeri,
          Yang sakit itu seorang diri,
          Bala yang datang meliput negeri.

Laksamana menetapkan pendirian bahawa bala atau kesusahan yang bakal menimpa negeri lebih berat daripada kesusahan peribadi.

          Jadilah dititahkan Seri Betara,
          Tiadalah lagi terkira-kira,
          Berjalanlah pergi bersegera-segera,
          Mendapat cogan Raja Senggora.

Maka, akhirnya tanpa bertangguh, Laksamana segera menuju ke patani bagi mendapatkan cogan daripada Raja Senggora.

Contoh Tugasan

i)   Nyatakan dua bukti bahawa Laksamana lebih mengutamakan kepentingan negara daripada kepentingan diri sendiri.   (3 markah)

ii)   Jika anda ialah Laksamana, jelaskan dua cara anda memastikan bahawa ibu saudara yang ditinggalkan sakit itu beroleh rawatan?   (4 markah)

iii)    Berikan dua persoalan daripada syair.   (3 markah)

Analisis Tugasan Soalan

i)   Aras soalan:  petikan
      Ambilan jawapan:  daripada petikan
      Tumpuan soalan:  dua bukti
      Keperluan huraian:  tiada

ii)   Aras soalan:  kbkk
       Ambilan jawapan:  luar petikan
       Tumpuan soalan:  dua cara
       Keperluan huraian: ya, dua contoh

iii)  Aras soalan:  komsas
       Ambilan jawapan:  luar petikan
       Tumpuan soalan:  dua persoalan
       Keperluan huraian:  tiada

Jawapan cadangan

i)   Dua buktinya ialah Laksamana tidak menunjukkan dura atau susah hati (atas perintah yang diterima), dan sanggup meninggalkan ibu saudaranya (yang terlantar sakit).

ii)  Jika saya ialah Laksamana, saya akan mengupah tabib untuk merawat ibu saudara saya. Selain itu, saya akan mendapatkan pertolongan keluarga terdekat bagi menjenguk ibu saudara saya.

iii)  Dua persoalan dalam syair ialah keutamaan terhadap kepentingan negara, dan kepatuhan terhadap pemimpin.

No comments: