SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, October 22, 2011

KENANGAN DI SK LELAKI, TELUK ANSON (EARLY URBAN EXPERIENCE)

Apabila datuk dan opah mengambil keputusan berpindah ke Kampung Bahagia dan meninggalkan Sungai Tukang Sidin, sebagai cucu tiada pilihan selain akur sahaja. Dari kawasan rumah seluas hampir 10 ekar ke kawasan rumah kecil dengan saiz tanah kecil. Mungkin faktor usia datuk yang sudah lanjut menyebabkan keperluan tinggal berdekatan dengan anak lelaki tidak dapat dielakkan.

Sekolah aliran Melayu terdekat ialah Sekolah Kebangsaan Lelaki, bersebelahan kilang padi. Dari rumah ke sekolah memakan masa 10 minit dengan kenderaan awam. Kalau berjalan kaki memerlukan 30 minit.

Antara rakan sekelas ialah Jamilul Hayat Haji Ali (kemudian menjadi penyanyi rakaman terkenal, adik kepada "raja pop"), Abdul Ghani (penjaga gol bola sepak sekolah), Hasan, Omar, Zawawi dan beberapa orang lagi. Berbeza dengan sekolah campur di Sungai Tukang Sidin, budak lelaki suka bergumpal. Atas sebab kecil sahaja, meletus pergaduhan fizikal.

Dua orang kanak-kanak saling bergumpal, tetapi dikelilingi sekumpulan kanak-kanak lain yang membuat provokasi. Keadaan tidak ubah seperti perlawanan gusti amatur. Hanya apabila kelibat guru kelihatan, semua sekali bubar dan bersurai serta-merta.

Guru bandar lebih garang berbanding dengan guru kampung. Tangan mereka ringan untuk hinggap di pipi kanak-kanak. Denda berbentuk junjung kerusi, ketuk ketampi dan berdiri di atas meja setiap hari berlaku.

Kanak-kanak menangis dengan kuat, tetapi guru tidak peduli. Sedikit pun simpati tidak terlihat di wajah mereka. Murid juga tidak pernah memanjangkan cerita di bilik darjah kepada ibu bapa.

Berbanding di Sungai Tukang Sidin, cikgu bandar memiliki kereta. Kereta yang menarik perhatian murid ialah Holden, buatan Australia. Guru Besar bernama Jamaluddin, berbadan agak gempal dan memiliki kumis sejemput.

Walaupun sekolah lelaki, tiada seorang pun ustaz yang mengajar. Namun, semua tiga orang ustazah yang ada sangat pemurah dan penyayang. Setiap Jumaat, anak-anak yatim dimuliakan. Kutipan derma dilakukan dalam kalangan warga sekolah untuk diagihkan kepada murid yang tiada ibu atau bapa.

SK Lelaki Teluk Anson berjiran dengan Horley Methodist Secondary School (HMSS). Namun, kebanyakan murid SK Lelaki tidak ke sana untuk pengajian menengah kerana perlu memasuki remove class terlebih dahulu. Sebaliknya, kebanyakan budak SK Lelaki memiliki SMK Seri Perak, sebuah sekolah menengah aliran Melayu di Jalan Changkat Jong...

No comments: