SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, October 13, 2011

DISIPLIN PELAJAR PUNCA KEJAYAAN (VICTORY MINDED AMONG YOUNGER GENERATION)

Secara konservatif, disiplin bererti latihan pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri dan patuh pada tatatertib (Kamus Dewan edisi IV, 2005:356). Kejayaan pula bermaksud perihal berjaya, kemenangan atau hasil (Ibid:616). Maka, apakah sebenarnya bentuk kawalan yang perlu dilakukan oleh seseorang pelajar supaya kelak mencapai kemenangan atau hasil yang diharapkan?

Terdapat peribahasa berbunyi bahawa "jika tidak dipecah ruyung di mana boleh mendapat sagu". Maksudnya, tidak akan tercapai cita-cita dengan tidak berusaha kuat (Ibid:1359). Ruyung ialah kulit atau kayu yang keras daripada batang rumbia, enau dan lain-lain.

Pecah ruyung ialah lambang usaha kuat. Sagu ialah hasil dan kemenangan yang diperoleh. Keras pula ialah lambang bagi cabaran yang bakal ditempuh.

Usaha kuat ialah asas disiplin bagi pelajar. Usaha kuat ialah bentuk kawalan kendiri yang paling ampuh supaya pelajar sentiasa memiliki keinginan untuk berjaya walaupun cabaran yang dihadapi bukan kepalang. Jalan pintas untuk berjaya mungkin banyak, tetapi lebih bersifat jangka masa pendek.

Alat kerja kuat bagi pelajar ialah belajar dengan bersungguh-sungguh dan tekun. Cara-cara belajar boleh dibuat secara bersendirian, berguru dan berbincang dengan rakan sebaya. Setiap manusia yang lahir ke dunia mengalami proses pembelajaran menerusi rangsangan persekitaran dan orang lain.

Belajar bersendirian boleh dilakukan menerusi pembacaan buku fizikal, secara maya dan taakulan. Namun, harus diingat bahawa belajar sendirian semata-mata mungkin menjurus kepada kaedah cuba jaya (trial and error), lantas memakan masa yang cukup panjang. Nasihat profesional daripada pakar pembelajaran, terutama guru dan kaunselor harus diambil kira agar proses akses pembelajaran kendiri yang dilakukan mendatangkan hasil yang optimum.

Berguru ialah kaedah paling klasik dalam proses pembelajaran. Murid atau pelajar yang masih serba kekurangan (mentah) dengan suci hati bersedia menerima bimbingan guru-guru yang telah diiktiraf dari segi kelayakan akademik dan ikhtisas. Di sekolah, guru ialah pegawai pendidikan yang telah melepasi proses tauliah mengajar yang khusus.

Untuk berjaya, disiplin berguru yang mesti diamalkan ialah menjaga adab dan tingkah laku apabila berinteraksi dengan guru. Jika pelajar berasa bahawa terdapat kesilapan yang berlaku dalam pengajaran guru, mereka boleh menyatakan pendapat secara baik dan tidak menyinggung perasaan guru. Ahli falsafah Yunani seperti Aristotle, Plato dan Socrates berpegang kepada prinsip " guru dekat denganku, tetapi kebenaran lebih dekat kepadaku".

Disiplin pembelajaran sebaya pula merujuk kepada pembentukan kumpulan belajar yang punya fokus. Terdapat seorang pemimpin yang akan berperanan menjaga aktiviti anggota kumpulan belajar berkenaan supaya akur akan matlamat pembelajaran. Setiap anggota kumpulan belajar pula harus bersedia menyumbang, bukan sekadar penumpang pasif yang menjadi beban.

Selain membaca dan berbincang, pelajar mesti banyak membuat latihan. Disiplin yang perlu diterapkan semasa membuat latihan ialah patuh tugasan dan patuh masa. Pelajar harus ingat bahawa dalam peperiksaan, peruntukan masa menjawab begitu singkat dan tahap kecekapan menyudahkan semua tugasan akan memisahkan antara pelajar cemerlang dengan pelajar biasa-biasa.

Kesimpulannya, segala kaedah belajar yang dipilih akhirnya akan bergantung kepada disiplin sebagai kawalan agar pelajar sentiasa berada tetap pada landasan yang tepat. Kejayaan hanya dapat dikecapi setelah pelajar melalui proses disiplin kendiri dan nasihat pakar. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

No comments: