Thursday, October 20, 2011
SENJATA BIOLOGI USIR PENCEROBOH (THE FINAL BATTLE)
Saya bergelar Panglima Immunoglobulin. Bunyi macam nama Russia, tapi saya berdarah Melayu. Saya masih muda, belum mencapai usia 40 tahun pun! Saya tidak boleh beritahu identiti penuh saya kerana kalau bocor kepada musuh, alamat saya berlaku khianat terhadap tugas saya sendiri.
Saya ketua ketumbukan soldadu yang cukup besar bilangannya. Kalau saya katakan bahawa bilangan kami melebihi jumlah penghuni planet bumi, barangkali anda akan ketawa. Baik, tunggu sahaja siapa yang akan kena!
Sebenarnya saya tumpang duka apabila skuad bola sepak negara dibalun oleh Australia sampai 5-0, sedang kita pernah mengalahkan mereka 1-0 dalam kejohanan Jakarta Raya pada tahun 1992 kalau tidak silap bacaan saya. Maka, saya ingin cadangkan kepada pakar taktikal bola sepak supaya mencuba teknik Y kami yang terbukti berkesan yang diwarisi generasi demi generasi.
Kami menggunakan strategi Y bagi mengepung musuh yang kami label sebagai antigen. Jika musuh membuat serangan besar-besaran, kami menghadapi mereka dengan label phatogens. Kami akan membentuk gabungan rawak yang mengelirukan musuh.
Platun kecil monomer digandakan menjadi dimer atau pentamer. Jangan fikir bahawa musuh sahaja yang licik membuat penyamaran. Memang kami sengaja berlakon seolah-olah termakan dengan penyamaran musuh. Hakikatnya, kami sudah lebih awal membiarkan mereka salah baca kemampuan kami.
Kalau tekanan musuh sangat hebat dan kami dalam posisi bertahan sahaja, selaku panglima, saya akan mendapatkan bantuan tentera elit membran. Setakat ini gabungan dua panglima memang akan membuat musuh lari lintang-pukang!
Namun, sebagai makhluk yang tetap ada titik lemah, pihak musuh dapat menyelinap ke dalam. Ya, kami dipecahkan dari dalam. Panglima Immu dan panglima Membran sudah buntu!
Tiba-tiba kami mendapat isyarat bantuan sahabat yang bersimpati. Setelah segala sumber tempatan digembleng, dan harapan menang tipis, apa pilihan kami? Rantaian Y kami banyak yang putus. Bilangan korban tentera makin menakutkan. Apakah empayar kami akan lenyap ditelan bumi?
Mujur bantuan yang kami harapkan cepat tiba. Setelah tiga hari dihujani api dan peluru, kami mendapat suntikan semangat baharu. Skuad khas penembak tepat yang diketuai Panglima Antibiotik segera melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap musuh kami yang muncul entah dari mana.
Dalam tempoh tidak sampai 24 jam, anak buah Panglima Antibiotik berjaya membunuh hampir semua tentera musuh yang membuat penyamaran mutasi persekitaran. Sebenarnya, mereka masih juga ketumbukan bakteria dan virus yang iri dengan keamanan yang dinikmati oleh empayar tuan kami, iaitu jasad jasmani manusia.
Sekarang baharu anda mahu percaya? Variasi atau puak kami sahaja sudah mencapai 10 bilion banyaknya, hitunglah jumlah kami! Walaupun kami ialah para soldadu atau tentera yang tidak kelihatan, amanah melindungi empayar tuan kami tidak pernah gagal. Kami berikrar akan bertahan walaupun jiwa dan raga kami sebagai taruhan akan melayang.
Satu sahaja nasihat kami. Supaya kami tidak cepat lemah, tuan puan jagalah aturan makan minum dan kegiatan fizikal. Jangan jadikan perut sebagi bekas yang paling buruk dipenuhi dengan segala makanan dan minuman yang tidak terkawal. Makan dan minumlah, tetapi janganlah berlebihan. Pesanan al-Quran itu semat dalam minda...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment