SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, October 4, 2011

KENANGAN DI SK SUNGAI TUKANG SIDIN (DOWN MEMORY LANE)

Sungai Tukang Sidin terletak antara Chikus dengan Permatang Halt dan Sungai Kerawai. Ketika itu pengangkutan utama ialah kereta api. Walaupun dekat dengan Sungai Manik dan Chenderong Balai, belukar tebal dan kawasan berpaya menghalang pembinaan laluan jalan yang lain.

Konon cerita terdapat seorang tukang yang sangat mahir bernama Sidin. Maka, daripada situlah Sungai Tukang Sidin mendapat nama. Sekolah Kebangsaan Sungai Tukang Sidin (SKSTS) hanyalah sebuah sekolah berdinding kayu tanpa bekalan air paip. Kedudukan sekolah ialah bersebelahan landasan kereta api yang menghubungkan Teluk Anson (kini Teluk Intan) dengan Tapah Road.

Kebanyakan ibu bapa murid hanyalah bekerja kampung. Walaupun setiap keluarga memiliki tanah hingga seluas 10 ekar sekeluarga, tetapi pendapatan bulanan mereka sangat kecil. Murid SKSTS hanya mempunyai sepasang pakaian sekolah yang dipakai saban hari hingga kelihatan daki melekat pada leher baju.

Kasut putih yang disarung pula begitu lusuh dan koyak di sana sini. Ada juga murid yang menyarung kasut yang diperbuat daripada getah. Jika dibuka, kaki murid kelihatan berpeluh dan berbau busuk.

Kebanyakan murid juga hanya mampu berjalan kaki ke sekolah. Hanya segelintir murid yang bertuah memiliki basikal. Motosikal dan kereta boleh dikatakan tidak ada di Sungai Tukang Sidin.

Ketiadaan bekalan air paip diganti dengan perigi. Murid memang sudah biasa menggunakan perigi dan timba di rumah masing-masing. Namun, murid ketika itu jarang-jarang ke tandas.

Ubi kayu goreng ialah antara tumpuan murid di kantin. Harganya murah, cuma 5 sen. Saiznya besar, rasanya sedap sekali dan mengenyangkan.

Majalah kanak-kanak popular ketika itu ialah Bambino. Murid hanya mampu membaca majalah seumpamanya di khutub khanah (perpustakaan, pusat sumber) sekolah kerana tidak punya lebihan wang untuk membeli bahan bacaan di kedai.

Sudah lama penulis blog (PB) tidak menjenguk ke laman SKSTS yang kini memiliki bangunan moden dan lanskap yang cantik. Di situlah PB memiliki kenangan lucu berlakon drama pentas sebagai watak tambahan. Di SKSTS juga PB berpeluang menerima hadiah akademik selama tiga tahun belajar di sana...

1 comment:

Berjuang Terus said...

Saya dahulu bersekolah di Sekolah Melayu Sungai Tukang Sidin yang telah dibuka pada 1 April,1949. Kami berpindah dari Sekolah Melayu Chikus. Kamilah generasi pertama bersekolah di sini.
Sekolah ini menggunakan Bangunan Kayu dihujung kedai kearah utara.Guru Besarnya Cikgu Bainamin bin Abdullah.Guru Penolong Kanannya Cikgu Ismail bin Abdullah. Ketika saya Darjah II dan III diajar oleh cikgu Hamzah bin Zainuddin.Tahun 1951 saya naik Darjah IV guru darjahnya cikgu Mohd.Noor dan Naik Darjah 5 Tahun 1952 guru darjahnya Cikgu Ismail Abdullah.

Dzura,Ipoh.