SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, October 26, 2011

CERITA DARI NILAI 3 (THE PARENT'S SECRET)

Ahad lalu (23.10.11 / 25 Zulhijjah 1432), penulis blog (PB) bersama si cilik memandu bersendirian sejauh 260 kilometer menuju Hotel Empress, Sepang. Alhamdulillah, perjalanan begitu lancar dan label arah jalan dapat dibaca dengan jelas. Hanya sesudah tol Sepang ke arah kiri KLIA, label arah ke sana tiba-tiba lesap.

PB mengambil keputusan singgah di balai polis KLIA bagi memperoleh maklumat. Syukur, justeru PB hanya perlu membelok ke kanan lampu isyarat terdekat ke arah Bandar Baru Salak Tinggi. Sekali lagi tiada sebarang panduan tentang jarak ke hotel berkenaan.

Supaya tidak terlajak, PB memandu di laluan sebelah kiri, kecuali memotong kenderaan yang bergerak perlahan. Tiba-tiba, tanda arah Hotel Empress muncul dan PB perlu membelok ke arah kiri serta-merta. Setelah lima minit, barulah kelihatan hotel yang terletak di tengah-tengah kawasan perumahan.

Tiada caj tempat letak kereta dikenakan. PB dan si cilik terus sahaja menyelesaikan segala urusan. Petangnya, sudah bertiga, kami menghala ke Nilai 3, kira-kira 10 kilometer daripada hotel.

Cerita tentang Nilai 3 sebagai destinasi beli-belah hujung minggu sudah biasa didengar. Namun, ada cerita menarik yang ingin PB kongsikan. Dalam kunjungan singkat itu, PB sempat juga menyelami kisah hidup seorang pemandu lori sebuah firma permaidani yang terbesar di Nilai 3.

Pemandu lori berkenaan berusia dalam lingkungan pertengahan 40-an. Anaknya sudah hendak masuk lima orang, termasuk dalam kandungan. Anak gadis sulungnya sudah berada dalam tingkatan 4.

Sebelum bekerja di firma permaidani sekarang, dia bekerja di kedai lampu dengan pendapatan RM800 sebulan. Dia sekeluarga mendiami rumah pangsa kos rendah. Pendapatan sebanyak itu terlalu kecil untuk menyara seisi keluarga, apatah lagi pembiayaan persekolahan anak-anak yang sedang tumbuh membesar.

Isterinya juga harus keluarga bekerja sebagai pembantu di sebuah butik. Pendapatan bulanan si isteri hanya RM600 sebulan. Maka, dia harus menambah jumlah pendapatan sekeluarga.

Tauke permaidani menawarkan gaji RM1,000 sebulan. Tambahan sebanyak RM200 sebulan sudah cukup besar. Riak wajah si pemandu lori itu menampakkan rasa bahagia.

PB melihat melihat betapa pengorbanan ibu bapa seperti pemandu lori di Nilai 3 itu mungkin tidak dimengerti oleh anak-anak remaja. Mereka hanya tahu merengek meminta itu dan ini. Bayangkan seharian bekerja, si ayah membawa pulang purata RM33 dan si ibu RM20 sehari.

Memang ada peluang lain untuk menambah pendapatan keluarga seperti berniaga kecil-kecilan, atau menyertai skim jualan langsung. Namun, kajian menunjukkan bahawa peratus kejayaan aktiviti sampingan seumpama itu hanya sekecil 20 peratus. Selebihnya berakhir dengan kekecewaan.

Kesusahan ibu bapa perlu disedari oleh generasi remaja. Pekerjaan seperti pemandu lori di syarikat permaidani tiada jaminan tetap. Pendapatan yang diperoleh akan banyak dipengaruhi oleh jumlah jualan dan jumlah untung yang dinikmati oleh firma berkenaan.

Sudah banyak kisah duka tentang pekerja yang terpaksa ditamatkan khidmat kerana firma atau syarikat tidak mampu membayar upah. Ketiadaan kerja dalam usia lanjut ialah cabaran yang sangat pahit untuk ditelan. Kemiskinan dan kemelaratan sudah menjengah di muka pintu.

Rezeki dari Allah. Anak-anak remaja hendaklah memanjatkan doa ke Hadrat Ilahi semoga ibu bapa mereka sentiasa sihat sejahtera dan tidak putus punca pendapatan. Hadiahkan mereka dengan kejayaan sebagai anak yang soleh dan sebagai penyejuk mata ibu bapa...


No comments: